27 May 2011

Kesatuan akui kos hidup tinggi antara punca masalah kurang guru di KL

KUALA LUMPUR, 27 Mei — Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja mengakui Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berhadapan dengan masalah guru, antara lain disebabkan sesetengah guru memutuskan untuk meninggalkan ibu negara disebabkan kos hidup yang tinggi.
Bagaimanapun kata mereka, masalah itu yang disebabkan kos hidup tinggi bukan sahaja disaksikan di ibu negara, tetapi juga di Johor Bahru dan Pulau Pinang.
“Memang ada guru-guru ini tidak berminat untuk mengajar di bandar kerana kos sara hidup yang tinggi kerana mereka perlu membayar sewa rumah dan sebagainya,” kata Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat Mohamed Sabri Mohd Arshad kepada The Malaysian Insider.
Jelas beliau, masalah tersebut antara lain disebabkan oleh kos sara hidup yang tinggi di bandar.
Beliau berkata, walaupun guru turut menerima Elaun Kos Sara Diri (COLA), antara RM200 hingga RM300 sebulan bergantung pada kelayakan, ia masih tidak mampu untuk menampung kos hidup di bandar.
Katanya lagi, terdapat tiga bandar raya yang kritikal di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Johor Bahru dan George Town yang mana ia kurang menjadi pilihan guru untuk mengajar.
“Perkara ini serius kerana bila ada cikgu yang tak berminat untuk mengajar di bandar, ia akan menyebabkan kekurangan guru dan ia memberi beban kepada guru lain kerana perlu menampung kelas yang tiada guru,” katanya.
Sabri juga berkata, faktor lain guru tidak mahu mengajar di kawasan bandar juga adalah kerana kurang berpengalaman.
“Guru-guru baru biasanya pendapatan mereka tak tinggi. Sebab itu tidak mahu mengajar di bandar. Selain itu, masalah disiplin di bandar juga tinggi dan disebabkan kurang pengalaman untuk menangani situasi itu, mereka lebih suka mengajar di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar elaun khas diberi kepada guru yang mengajar di bandar sepertimana diberi kepada guru di kawasan pendalaman.
Katanya, jika elaun boleh diberi kepada guru yang mengajar di kawasan pendalaman, elaun khas untuk guru di bandar juga perlu diberi.
“Guru-guru pendalaman akan dapat elaun khas kerana mereka mengajar di kampung-kampung pendalaman yang adakalanya tiada bekalan elektrik. Jadi mereka akan dapat elaun kerana tiada bekalan elektrik itu.
“Justeru, elaun seperti itu juga perlu diberi kepada guru-guru yang mengajar di kawasan kritikal,” katanya.
Beliau juga berpendapat, kerajaan harus mempunyai perancangan untuk membendung perkara itu.
“Sama ada dengan membuat rumah guru dalam kawasan sekolah untuk menarik minat guru-guru ini mengajar atau tambah elaun khas untuk guru di bandar,” ujarnya.
Semalam, Pengerusi Biro Pendidikan Parti Keadilan Rakyat Abas Awang mendakwa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berhadapan dengan masalah kekurangan guru, seperti yang dialami Sabah tetapi di ibu negara ia disebabkan ramai keberatan mahu mengajar ekoran kos hidup yang tinggi.
“Statistik terbaru saya tidak peroleh lagi. Tetapi berdasarkan pengalaman saya dahulu menjadi pengarah pelajaran bahagian Wilayah Persekutuan dan timbalan pengarah bahagian sekolah Malaysia, sebuah sekolah akan ada lima hingga enam orang guru sementara di Kuala Lumpur,” katanya.
Kata beliau, pengurusan sekolah terpaksa mengambil guru-guru sementara berikutan kekurangan guru memandangkan tidak ada guru yang hendak berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Peng berkata, isu mengenai guru mohon untuk menukar tempat mengajar dari sekolah di Kuala Lumpur ke kawasan lain sememangnya wujud.
Bagaimanapun, beliau tidak pasti berapa jumlah sebenar guru yang memohon untuk keluar dari Kuala Lumpur termasuk atas alasan kos hidup yang tinggi.
“Kekurangan guru di Kuala Lumpur memang ada tetapi banyak mana jumlahnya, saya perlu telefon Jabatan Pendidikan untuk memastikan.
“Saya juga ada mendengar kes guru memohon untuk tukar dari Kuala Lumpur ke kampung halaman selepas mereka mengajar dua, tiga tahun kerana mengikut suami atau isteri dan ada juga disebabkan kos sara hidup di Kuala Lumpur tinggi.
“Apa pun, saya tidak boleh beritahu jumlahnya yang sebenar kerana saya perlu semak semula,” katanya yang juga Setiausaha Agung Cuepacs.

No comments:

Post a Comment

TERKINI