29 January 2012

Cuepacs protes Pahang swasta JBA



TEMERLOH - Seramai 1,700 pegawai dan kakitangan Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang akan mengadakan bantahan jika permintaan mereka agar pengkorporatan dan penswastaan agensi itu pada 1 Februari ini ditangguhkan, tidak dipedulikan.

Presiden Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata, penangguhan itu perlu kerana mereka belum mendapat penerangan dan maklumat lengkap mengenai rasional cadangan pengkorporatan serta penswastaan
tersebut.

"Cuepacs tidak ada pilihan lain kecuali akan bertindak mengadakan bantahan besar-besaran yang membabitkan semua kakitangan JBA Pahang sekiranya pengkorporatan ini diteruskan kerajaan, walaupun ia mendapat bantahan rakyat.

"Saya merayu bagi pihak kakitangan JBA Pahang supaya Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob menggunakan kuasanya untuk menangguhkan pengkorporatan ini sebelum semua isu berbangkit dapat diselesaikan demi faedah kedua-dua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penerangan Pemindahan Gaji Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan pengkorporatan JBA Pahang anjuran Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja (KKPP) Jabatan Bekalan Air di Bangunan Persekutuan Temerloh di sini semalam.

Hadir sama Presiden KKPP Jabatan Kerja Raya dan Air Pahang Sayuti Dollah.

Omar juga berkata, penangguhan pengkorporatan itu adalah wajar kerana tiada langsung rundingan rasmi setiap wakil kesatuan yang terlibat sedangkan ia membabitkan masa depan kakitangan JBA Pahang.

Beliau berkata, 80 peratus daripada kakitangan JBA di Pahang menandatangani surat opsyen persetujuan tanpa mengetahui butiran perkhidmatan terbaru atas arahan ketua jabatan masing-masing.

Omar berkata, ketika ini, SBPA dikaji semula bagi memastikan semua pihak mendapat faedah tanpa mengabaikan mana-mana kakitangan, khususnya dalam aspek gaji, kekananan dan sebagainya.

"Sepatutnya, pihak berkenaan terlebih dahulu menyelesaikan isu SBPA sebelum meneruskan agenda pengkorporatan JBA Pahang secara tergesa-gesa sehingga menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak, khususnya kakitangan JBA Pahang sendiri," katanya. - Bernama

PAS Sarawak: ‘Negara Berkebajikan’ jalan keluar kemiskinan rakyat Sarawak


KUALA LUMPUR, Jan 28 — Pemuda PAS Sarawak hari ini berkata konsep Negara Berkebajikan yang dianjurkan oleh parti Islam itu mampu untuk membantu rakyat Sarawak keluar daripada kepompong kemiskinan dan diskriminasi.

Ketua Pemuda PAS negeri itu, Mohammad Arifiriazulbin Paijo berkata demikian dalam kenyataan balasnya terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam laporan The Borneo Post semalam yang mempertikaikan kewibawaan parti Islam itu di Sarawak.

Namun begitu, Arifiriazulbin hari ini berkata, PAS telah berjaya mentadbir urus Kedah dan Kelantan membalas kenyataan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Jaafar yang berkata "kita tidak boleh bergantung kepada PAS untuk menjaga kebajikan rakyat."

"Data yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) oleh Pejabat Perdana Menteri telah membuktikan Kelantan mempunyai kadar kemiskinan hanya pada 4.8 peratus, berbanding Sarawak sebanyak 5.3 peratus.

"Walaupun Kedah menunjukkan jumlah sama seperti Sarawak, 5.3 peratus, pada 2009, kerajaan negeri PAS ini hanya mempunyai kadar 0.8 peratus kumpulan miskin tegar, sedangkan Sarawak menunjukkan 1.0 peratus," tambahnya.

Pemimpin PAS ini turut menegaskan Kelantan telah membuktikan negeri berkenaan berjaya mengurangkan kadar kemiskinan sebanyak 25 peratus dari 1989 kepada 2009 sedangkan Sarawak hanya mampu mencapai 16 peratus untuk tempoh sama."

Tambahnya, tuduhan yang dibuat oleh Pembantu Menteri Belia Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah yang menyatakan PAS mengalakkan ketidak bersatuan kaum di negeri itu tidak berasas.

“Apa yang dibuat oleh PAS dan penyokongnya adalah untuk bersama-sama menolak rasuah dan ketidakadilan yang dilakukan BN sejak 50 tahun dahulu."

-TMI-

TERKINI