01 August 2011

SPRM sahkan Bazar Tok Guru bebas rasuah

KOTA BHARU, 1 Ogos: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan mengesahkan tiada unsur rasuah dalam isu Bazar Tok Guru selain tidak menerima laporan rasuah daripada mana-mana pihak mengenai isu Ladang Rakyat.

Pengarahnya, Nasaruddin Mohd Noor seperti dilapor Sinar Harian berkata, pihaknya menjalankan siasatan rapi dan telus terhadap kes terbabit dan menyangkal dakwaan pihak tertentu bahawa SPRM tidak melakukan siasatan.

“Saya ingin ulangi kenyataan sebelum ini bahawa tiada elemen korupsi dalam isu Bazar Tok Guru dan kami menyangkal tidak buat kerja berhubung kes ini. Jika ada rasuah dan penyalahgunaan kuasa kami masuk, tapi setakat ini tidak terima (laporan berasas mengenainya)," katanya pada sidang media di Bangunan SPRM, Jalan Sultan Yahya Petra, di sini.

Sebelum ini ada pihak termasuk Umno Kelantan mempolitikkan isu Bazar Tok Guru dengan mendakwa kerajaan negeri kerugian RM50 juta untuk projek itu.

Mereka juga telah membuat laporan kepada SPRM agar kes itu disiasat.

“Mengenai isu Ladang Rakyat pula, setakat ini tiada mana-mana pihak yang membuat laporan mengenainya, tetapi kami menjalankan siasatan berdasarkan laporan dalam media dan pemantauan masih dilakukan,” katanya lagi.

Katanya lagi daripada 174 maklumat yang diterima berhubung kes rasuah di negeri itu, hanya 17 kertas dibuka untuk siasatan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Pengerusi Orang Muda Berpadu Anti Korupsi Kelantan (Ombak) yang juga Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian, bahawa terdapat pegawai SPRM Kelantan lebih berpihak kepada PAS.

Terdahulu beliau menyerahkan tugas kepada Pengarah SPRM negeri yang baru, Nor Rasmi Shari, disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Putrajaya, Datuk Sutinah Sutan.

Nasaruddin juga menolak dakwaan pertukarannya ke ibu pejabat SPRM Putrajaya sebagai Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme disebabkan tekanan pihak tertentu.

TERKINI