22 May 2011

Ulama Aceh minta pertahan kerajaan Kelantan

KOTA BHARU, 22 Mei: Rakyat Kelantan diseru mempertahankan kerajaan Islam yang didokongi PAS, memandangkan pemimpin parti itu menjadi model pada umat Islam di negara lain.

Pengetua Majlis Permesyuaratan Ulama Acheh Besar, Ustaz Fakhruddin Lahmuddin, berkata sejak 21 tahun lalu Kelantan yang dipimpin Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menjadi model pada negara-negara lain, termasuk Acheh.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily selepas majlis pertemuan dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz di kediaman rasmi Menteri Besar, di sini sebentar tadi.

Menurutnya, Kelantan satu-satunya contoh negeri yang dipimpin seorang ulama sebagai Menteri Besar yang tidak memisahkan agama dari politik.

“Inilah yang dilakukan di zaman Rasulullah sebelum ini dan ulama yang memimpin Kelantan ini telah mewarisinya.

“Kerana itu saya berharap rakyat seluruhnya memberi sokongan pada kerajaan Islam Kelantan kerana pentadbirannya menjaga kebajikan manusia menurut kacamata Islam,”ujarnya.

Tambahnya, beliau juga berharap rakyat Acheh turut berdoa untuk kemenangan kerajaan PAS Kelantan sampai bila-bila.

Katanya, beliau tidak dapat menahan sebak apabila mendengar ucapan Tuan Guru yang lebih menjaga kebajikan rakyat sehingga menolak kepentingan diri.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Tuan Guru menjelaskan tindakan paling sukar baginya sepanjang menjadi seorang Menteri Besar, menjaga diri sendiri dari terjebak dalam sebarang salahlaku.

Sambungnya, menjadi pemimpin tertinggi dalam sebuah kerajaan negeri ujian begitu besar kerana mudah terdedah dengan penyelewengan, salah laku lain seperti rasuah.

“Untuk menjaga  itu semua ia bukan sesuatu perkara yang senang kiranya kurang keimanan dalam jiwa kita”,ujarnya.
-harakahdaily-

UMNO PEMBELA MELAYU?

Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno mendakwa hanya Umno pembela Melayu di negara ini. Lain daripada Umno, bukan pembela Melayu. Persoalannya benarkah Umno pembela Melayu. Tidak malukah Khairy yang mendakwa bahawa Umno pembela orang Melayu, hakikatnya Umno hanya mengguna Melayu untuk membela pemimpin Umno bukan bela Melayu jauh sekali untuk mengangkat agama di tempat yang sepatutnya.
Beliau juga menyebut fakta yang tidak betul ketika berucap di Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pontian di Dewan Besar Maktab Rendah Sains Mara (MSRM) Pontian  yang mendakwa PAS ditubuhkan kerana Ustaz Haji Ahmad Fuad  kalah menentang  Datuk Onn Jaafar di dalam mesyuarat Agung Umno. Faktanya bukan Ustaz Haji Fuad kalah melawan Dato' Onn Jaafar, tetapi tewas dengan  dengan Tunku Abdul Rahman merebut jawatan Yang Dipertua Umno. Seorang lagi calon ialah  CM Yusuf. Khairy juga salah fakta mengenai perkara  tersebut, kerana apa yang berlaku ialah tarikh pertandingan dalam Umno ialah 25 Ogos 1951 sedangkan mesyuarat di kalangan ulamak untuk menubuhkan PAS kali kedua pada 23 Ogos 1951 di Padang Kelab Sultan Sulaiman. Mesyuarat ulamak dahulu daripada tarikh pertandingan Haji Ahmad Fuad dengan Tunku Abdul Rahman. Di manakah fakta beliau dapat?
Perlu diingatkan penubuhan PAS bukan kerana kecewa tidak mendapat jawatan dalam Umno, tetapi kerana teguran ulamak mengenai isu agama tidak dipedulikan antaranya isu judi. Ulamak merasakan perlu menubuhkan badan yang bebas untuk memberi tekanan kepada Umno dalam hukum agama.
Menjawab tuduhan yang mengatakan penubuhan PAS memecahbelahkan perpaduan Melayu juga ditolak. Sebenarnya penubuhan Umno menyebabkan Melayu berpecah, kerana sebelum Umno sudah ada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945. Umno ialah parti restu penjajah, sebab itu Umno tidak diharamkan ketika Ordinan Dharurat 1948 walaupun semua parti diharamkan seperti PKMM dan Hizbul Muslimin.
Beliau menuduh  Melayu terbela di bawah Umno? Sudah 54 tahun merdeka, keadaan  ekonomi jauh terkebelakang berbanding dengan Cina, India. Apa yang Umno lakukan untuk orang Melayu sehingga tertinggal ke belakang. Bukankah 2/3 anggota kabinet orang Melayu? Bukankah pegawai tertinggi orang Melayu.
Maka jalan pintasnya untuk menutup bangkai gajah, maka Umno menuduh ini angkara bukan melayu dengan meniupkan sentimen kaum.
Di sini adalah sebahagian jawapan yang  membuktikan Umno gagal membela Melayu.
1. Umno menggunakan konsep "Umno Putera" bukan "Bumiputera", akhirnya yang ketinggalan orang Melayu.
2. Apabila jawatan di dalam Umno untuk mengaut keuntungan bukan untuk bela melayu, akhirnya mereka rebut harta, Melayu merempat merata-rata.
3. Menindas sesama bangsa kerana berlainan ideologi walaupun dari segi merit dan kebolehan ada kepada orang Melayu contohnya dalam soal perniagaan.
4. Menafikan royalti kepada Kelantan walaupun Kelantan negeri majoriti Melayu.
5. Macam mana melayu hendak terbela, minyak yang sepatutnya mendarat di Kelantan sebaliknya dibawa ke pantai Songkla Siam walaupun jaraknya lebih jauh daripada pantai Kelantan. Jarak ke Kelantan hanya 150 kilometer, berbanding ke Songkla Thailand 270 kilometer.
6. Melesapkan RM52 bilion nilai saham bumiputera. Sepatutnya orang Melayu akan memiliki  ekuiti bumiputera melebihi 40 peratus jika benar Umno pembela Melayu.
7. Menyekat 118 projek pusat ke Kelantan sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK 9).
8. Menggadai tanah rezab Melayu 1.3 juta hektar. Penjajah Inggeris tinggal tanah rezab Melayu seluas 3 juta hektar selepas merdeka.  Tahun 1995 tanah rezab Melayu hanya tinggal 1.3 juta hektar. Siapa punya angkara? Adakah ini dalil Umno pembela Melayu.
9. Memperkenalkan sains dan metematik dalam bahasa Inggeris, melibatkan pelajar Melayu luar bandar dizalimi kerana kurang pasarana.  
10. Menyalah guna hak keistimewaan orang Melayu untuk mendapat projek, kemudian mengagihkan kekayaan sesama kroni, akhirnya melayu terus ketinggalan dari segi taraf hidup.
Ini adalah sebahagian daripada bukti Umno tidak boleh membela Melayu. Maka sampailah masanya PAS Ganti Umno. PAS terbukti dan teruji untuk membela Melayu berbanding dengan Umno. Tuduhan DAP dan PKR mengkhianat Melayu sebagai strategi pencuri menjerit pencuri, supaya orang Melayu emosi untuk terus menyokong Umno walaupun hakikatnya Umno menjaga Melayu seperti serigala menjaga kambing.
USTAZ IDRIS AHMAD
KETUA PENERANGAN PAS PUSAT

16 maut tragedi tanah runtuh Hulu Langat, sembilan cedera

KUALA LUMPUR, 22 Mei — Mayat empat lagi kanak-kanak mangsa tanah runtuh Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat dekat sini, ditemui awal pagi ini.
Dengan itu 16 orang ditemui mati manakala sembilan yang lain cedera, tiga daripadanya kritikal, demikian menurut laporan Bernama.
Operasi mencari dan menyelamat disambung pukul 8 pagi ini.
Mayat tiga daripada empat mangsa itu, dikenali sebagai Riz, Fahad dan Hazim, kesemuanya berumur 9 tahun ditemui pada pukul 4.21 pagi dan mayat kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai Boboy, 11, diitemui pada pukul 5.05 pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang semalam itu, seramai 25 orang yang terdiri daripada penghuni, warden dan kakitangan rumah anak yatim tertimbus.
Laporan semalam menyebut ada 49 orang di lokasi kejadian.
Sementara itu, satu lagi laporan Bernama menyebut, lima daripada lapan mangsa kejadian tanah runtuh yang dimasukkan ke Hospital Ampang dekat sini semalam berada dalam keadaan stabil.
Tiga lagi kritikal, kata laporan itu yang memetik Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab Rashid Ab Wahab.
Mereka yang stabil dikenali sebagai Aizat, 12, yang cedera tangan kiri; Muhd Alauddin Sobri, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Pandan Mewah yang patah tangan kiri; Muhd Syafiq Ibrahim, 21, warden pula patah kaki kanan dan terkehel di bahagian leher; Khairul Anuar Nasri, 9, (luka kaki kanan); dan Siti Fatimah Ibrahim, 21, warden yang dikatakan mengalami trauma akibat kejadian tanah runtuh itu.
Menurut Ab Rashid, kesemua mereka cedera akibat dihempap runtuhan tanah.
Tiga lagi mangsa yang kritikal dikenali sebagai Hairi, Izudin dan Muhd Harris Izzudin Sharul Azmi.
Ada mangsa yang dihantar ke Hospital Kajang.
Pasukan mencari dan menyelamat mengambil masa kira-kira 15 jam untuk mengeluarkan semua 25 mangsa yang tertimbus.
Operasi yang bermula pukul 2.45 petang semalam, berakhir kira-kira 5.30 pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Azman Ayob mangsa yang meninggal dunia di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.
Azman berkata, lokasi mangsa yang berada berdekatan antara satu sama lain membantu memudahkan usaha mencari dan menyelamat.-TMI-

TERKINI