18 June 2011

Kes Aminul: Siasatan forensik tak ikut prosedur

Seorang saksi berpendapat pasukan forensik tidak mendapatkan hasil keputusan tepat dalam siasatan kes kematian Aminulrasyid Amzah kerana tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dalam siasatan.

Bekas Ketua Unit Forensik (CSI) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Amidon Anan berkata siasatan keseluruhan pasukan itu gagal mengguna pakai beberapa amalan seperti pemprosesan kesan belerang dari tembakan (GSR) yang dilepaskan pada hari kejadian.

Selain itu, katanya, kegagalan pasukan forensik membuat lakonan semula kejadian turut menyumbang kepada kegagalan menghasilkan keputusan yang jitu dalam kes itu.

Katanya amalan mengutip kelongsong peluru dua atau tiga hari selepas kejadian seperti yang dilakukan oleh pasukan forensik dalam kes tersebut jelas tidak mengikut amalan biasa sains forensik.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh peguam Salim Bashir yang mewakili tertuduh dalam kes itu, Koperal Jenain Subi di Mahkamah Sesyen di Shah Alam, semalam.

"Dalam kes melibatkan penggunaan senjata api yang melepaskan tembakan, tidak kira pada bila-bila masa kelongsong yang telah dilepaskan dari apa jua jenis tembakan seharusnya dikutip atau dikumpul secepat mungkin bagi mengelakkan ia terjejas akibat dipijak atau dilenyek oleh kenderaan.

"Jika protokol atau SOP tidak diikuti maka ia akan jejaskan keputusan ujian balistik menyebabkan kita tidak akan dapat mempastikan dari senjata mana kelongsong-kelongsong peluru itu dilepaskan," katanya.

Jenain, 48, diperintah membela diri atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, antara 1.10 pagi dan 2 pagi di Jalan Tarian 11/2 di Shah Alam, pada 26 April 2010.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Aminulrasyid dilaporkan meninggal dunia kerana luka akibat tembakan di kepala.

Saksi kedua pembelaan itu berkata lakonan semula kejadian amat perlu dilakukan oleh pasukan forensik bagi menentukan kesahihan berlakunya sesuatu kejadian jenayah.

Amidon menjelaskan lakonan semula kejadian dalam kes itu adalah bertujuan mengenalpasti arah tembakan dilepaskan, arah kemasukan peluru, jarak tembakan dan kedudukan penembak.

"Dalam kes ini, pasukan forensik tidak lakukan apa-apa lakonan semula, cuma pihak Jabatan Kimia yang melakukan trajektori lakonan semula. Bagaimanapun trajektori Jabatan Kimia tidak banyak sokong perjalanan anak peluru dan memberi keputusan yang tepat," katanya.

Ketika ditanya ke arah mana tembakan dilepaskan dalam kejadian itu, Amidon berkata berdasarkan pemerhatian ke atas gambar-gambar yang dibekalkan kepadanya, jelas sekali tembakan yang dilepaskan disasarkan ke arah bahagian bawah belakang kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid.

Katanya CSI hanya menyiasat kereta mangsa manakala kereta peronda polis di tempat kejadian tidak disiasat oleh pasukan forensik.

NONE"Dalam kes ini, apa kesimpulan awak terhadap siasatan pasukan forensik," soal Salim dan Amidon menjawab: "Berdasarkan gambar-gambar dan dokumen berkenaan, amalan sains forensik tidak banyak digunakan dalam siasatan kes ini.

"Jika digunakan, kita akan dapat kaitkan si penembak kepada GSR, kepada cermin kereta, kepada headrest yang mana keputusannya saya anggap adalah tepat," kata Amidon.

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar bersambung 24 Jun ini.

TERKINI