21 October 2011

Bantahan terhadap penggantungan Abdul Aziz Bari semakin hangat


Dalam tempoh sehari, laman sosial "10,000 mahasiswa menyokong penuh Profesor Dr Abdul Aziz Bari" berjaya mencapai sasarannya, sementara satu lagi laman sosial bertemakan "Kami Bantah Penggantungan Dr. Aziz Bari" , mencatat kira-kira 6,000 penyokong, pada jam 2 petang, hari ini.

Kenyataan media dari pertubuhan siswa-siswa, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin politik masing-masing mengecam keputusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menggantung Profesor Abdul Aziz Bari dari tugasnya sebagai seorang pensyarah Undang-Undang.  Pencabulan kebebasan akademik menjadi tema utama ketika pihak berkenaan mengulas isu ini.  Malah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah dilaporkan mendakwa dirinya turut "berasa terganggu dan sedih" terhadap kejadian yang berlaku.

Bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Dr.MAZA) yang sepanjang ini menyokong Abdul Aziz Bari, menyifatkan tindakan UIAM sebagai "tindakan mengampu", malah "tindakan yang paling tidak bertamadun dalam dunia akademik".  Sebelum ini, ketika Abdul Aziz Bari diserang pemimpin dan media kawalan UMNO-BN, selepas kenyataannya dipetik Malaysiakini dalam laporan berjudul "Aziz Bari: Campurtangan perlu selaras ajaran Islam", Dr.MAZA dalam laman sosial rasminya berkata, "antara perkara yang boleh mengancam akidah orang melayu ialah menganggap titah sultan atau raja itu mesti ditaati secara mutlak..tidak boleh derhaka..tidak mungkin salah..raja dan sultan diberikan kemaksuman sehingga titah mereka bagai al-Quran dan as-Sunnah yang tidak boleh dipertikaikan..ini seakan akidah yang menganggap raja adalah dewa..dalam Islam selain Allah dan rasulNya; boleh dikritik dan dipertikaikan.."

Yang berikut adalah antara sedutan kenyataan-kenyataan berhubung keputusan UIAM menggantung tugas Profesor Abdul Aziz Bari:

Bercanggah dengan tradisi intelektual -- Mustafa Kamal Anuar (gambar kiri), ahli akademik
"Tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa Universiti Islam Antarabangsa terhadap pakar perlembagaannya, Prof. Aziz Bari, mengenai isu campurtangan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam kes serbuan Jais terhadap Gereja Methodist Damansara Utama itu amatlah mendukacitakan.  Ini kerana implikasinya amat serius sebab ini bermakna, antara lain, hak untuk menyuarakan pandangan yang berdasarkan kepakaran tidak digalakkan, lebih-lebih lagi jika pendirian itu kelihatan bercanggah dengan pandangan pihak berkuasa.

Penggantungan Prof. Aziz Bari ini juga bercanggahan dengan tradisi intelektual yang seharusnya diwarisi oleh mana-mana institusi pengajian tinggi yang disegani di mana perbalahan pendapat secara ilmiah dan bertamadun bukan saja dibenarkan o
leh pihak berkuasa institusi itu malah disanjung tinggi oleh warga kampus khususnya dan ahli masyarakat amnya.

Beliau melahirkan peguam berjiwa rakyat --S .Arutchelvan (gambar kanan), Setiausaha Agung PSM.
"Tindakan menggantung beliau memberi satu amaran keras bahawa hak mengeluarkan pandangan dan hak akademik hanyalah boleh pakai andai kata seorang itu berkata hujah-hujah yang menyokong parti pemerintah.  Tindakan ini juga sekali lagi menggambarkan bahawa ada campurtangan politik dalam keputusan menggantung beliau memandangkan desakan untuk mengambil tindakan terhadap beliau datangnya dari UMNO dan kuncu-kuncunya.

Tindakan ini sekali lagi mencetuskan persoalan, 'cakap tak serupa bikin'.  Di satu pihak Perdana Menteri berkata bahawa beliau membuat transformasi politik dengan memberikan lebih hak kebebasan dan pentadbiran yang lebih telus.  Tetapi pada realitinya,setiap suara pembangkang diambil tindakan dengan pelbagai cara yang anti demokratik.

Prof Dr Abdul Aziz Bari adalah seorang ahli akademik yang bebas dan bermaruah.  Beliau pernah memberi pelbagai pandangan dan pandangan beliau juga bukannya bias kepada satu kumpulan sahaja kerana beliau juga pernah mengkritik parti pembangkang dan sebagainya.  Beliau juga pernah melahirkan peguam-peguam dari UIA yang berani dan berjiwa rakyat.  Tindakan ke atas beliau adalah satu tindakan yang cukup memalukan untuk UIA dan untuk Negara kita.

PSM meminta pihak Universiti serta-merta meminta maaf selain dari membenarkan beliau bertugas kembali seperti biasa.  PSM bersama gerakan rakyat pelbagai kaum dan agama akan terus memperjuangkan hak dan kebebasan akademik sentiasa dilindungi."
 
UIAM gadaikan prinsip kebebasan akademik -- Lau Weng San (gambar kiri), ADUN Kampung Tunku
"...Tindakan ini mempunyai kesan berpanjangan terhadap imej antarabangsa Malaysia kerana UIAM ditubuhkan sabagai sebuah universiti antarabangsa.  Sebagai sebuah universiti antarabangsa, ianya perlu mencerminkan semangat kepelbagaian, keterbukaan, saling menghormati semasa ahli akademik walaupun berbeza pendapat dan sebagainya.

Malahan, ini juga merupakan semangat yang sepatutnya ada pada sesebuah universiti, tanpa mengira sama ada universiti itu mempunyai nama 'antarabangsa' atau tidak.

Malangnya, pihak pengurusan UIAM sanggup menggadaikan prinsip kebebasan akademik sehingga mereka sanggup menggantung tugas Profesor Abdul Aziz Bari dan meminta beliau memberi surat tunjuk sebab hanya kerana beliau mempunyai pandangan yang berbeza dengan pihak berkuasa dalam bidang kepakaran dan kajian beliau.

Daya saingan sesebuah negara amat bergantung kepada taraf pendidikan rakyatnya, termasuk pendidikan tinggi.  Apa yang berlaku ke atas Profesor Abdul Aziz Bari merupakan sesuatu yang mengaibkan kita semua.

Bagaimana negara kita boleh mencapai negara maju jikalau pihak berkuasa asyik melenyapkan pandangan-pandangan yang berbeza dengan pihak berkuasa melalui cara-cara yang zalim?

Oleh itu, saya mengkritik dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan UIAM terhadap Profesor Abdul Aziz Bari.  Saya juga menyeru pihak UIAM supaya segera menarik balik penggantungan tugas Profesor Abdul Aziz Bari ini dan memulihkan tugas beliau di UIAM dengan serta-merta."

-MERDEKAREVIEW-

TERKINI