23 June 2011

Kerajaan BN tiada hasrat beri air percuma

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air tidak berhasrat untuk mengusulkan kepada kerajaan program pemberian air "1,000 liter pertama percuma" kerana ia menggalakkan pembaziran.

Timbalannya, Noriah Kasnon, berkata caj yang dikenakan kepada rakyat masih berpatutan dan tidak membebankan berdasarkan tarif air sedia ada bagi semua negeri.

"Kementerian mengambil pendekatan ini ke arah mendidik dan menggalakkan penggunaan air secara berhemah demi memastikan kelestarian sumber air untuk diwarisi generasi akan datang," katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Marcus ingin tahu cadangan kerajaan untuk mengadakan program pembekalan air secara percuma kepada pengguna dan pendekatan yang diambil untuk menangani isu kadar Air Tidak Terhasil (NRW).

Noriah berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersama dengan operator-operator air telah meningkatkan aktiviti-aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan bagi membendung kes kecurian air melalui penyambungan haram yang turut menyumbang kepada peningkatan NRW di sesebuah negeri.

Katanya, SPAN juga telah menetapkan supaya setiap operator air mempunyai program penurunan kadar NRW yang sistematik.

"Program tersebut perlu dilaksanakan mengikut jadual dan Indeks Petunjuk Utama (KPI) yang telah ditetapkan supaya pengurangan kadar NRW di setiap negeri dapat mencapai sasarannya.

"Komitmen kerajaan ini diteruskan lagi dalam "Rolling Plan" 1 Rancangan Malaysia ke-10 dengan peruntukan siling sebanyak RM324.3 juta dan jumlah ini tidak termasuk peruntukan dalaman yang disediakan oleh setiap operator untuk menangani kadar NRW masing-masing," katanya.

Beliau menyeru setiap operator air di negara ini untuk memberikan komitmen yang berterusan kepada program-program pengurangan kadar NRW yang ditetapkan.

- Bernama 

SR: Yang boleh membazir hanya menteri-menteri kerajaan BN sebab diorang ni dapat air percuma.

TERKINI