31 March 2011

Bongkar isu seleweng

IPOH – Satu lagi pendedahan dibuat PKR negeri berkaitan isu penyelewengan 1.2 hektar tanah oleh Kerajaan Negeri yang menjadi milik UMNO Bahagian Gopeng sejak 20 Julai 2010.

Naib Pengerusi PKR, Chang Lih Kang berkata, mereka mendapat dokumen dari Pejabat Tanah dan Galian berkaitan sebidang tanah seluas 1.2 hektar diberikan kepada UMNO Bahagian Gopeng nombor hakmilik HSD 6527.

Menurutnya, tindakan Kerajaan Negeri memberikan tanah berkenaan kepada UMNO Bahagian Gopeng dianggap satu penyelewengan serius.

“Ini menunjukkan satu lagi kes rasuah dengan menyalahgunakan kuasa untuk menguntungkan kroni,” katanya pada sidang media, di Pejabat PKR Negeri, di sini semalam.

Hadir sama Ahli Parlimen Gopeng yang juga Timbalan Pengerusi PKR Negeri, Lee Boon Chye; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Chan Ming Kai; Setiausaha PKR Negeri, Anuar Zakaria dan Timbalan Setiausaha PKR Negeri, Tan Kar Hing.

Katanya, PKR mengecam sekeras-kerasnya kerana UMNO tidak ada hak mendapat tanah itu.
“Ribuan petani dan pengusaha tidak mendapat hak masing-masing, sedangkan mereka telah mengusahakannya sejak sekian lama.

“Sikap tamak haloba pemimpin Barisan Nasional (BN) yang merampas khazanah negeri menunjukkan BN telah mereput,” katanya.
Katanya, terdapat beberapa penyelewengan tanah melibatkan Kerajaan Negeri dikesan dan dibongkar PKR, antaranya penyelewengan tanah di Kampung Sungai Itek iaitu sebanyak 10 lot tanah di kampung tersusun orang kanan dalam UMNO Gopeng.

“Di kawasan yang sama, tanah seluas 20 hektar diberikan kepada sebuah syarikat yang juga dimiliki orang UMNO Gopeng dan Hutan Melintang.

“Penyelewengan tersebut bukan hanya berlaku di kawasan-kawasan kampung tetapi di bandar Ipoh yang gunakan UMNO dan MCA,” katanya.
Beliau berkata, PKR menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan tegas terhadap orang yang bertanggungjawab dalam kes berkenaan.

“Pihak SPRM perlu menyiasat dan mendakwa mana-mana pihak yang terlibat.
“Kami turut menggesa jawatan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tanah dibekukan sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya telah menghantar sebanyak dua laporan kepada pihak SPRM berkaitan kes penyelewengan tanah di Perak sejak setahun yang lalu, namun sehingga kini tidak ada sebarang maklum balas diterima.

“Kita boleh menghantar semua laporan kes yang ada kepada pihak SPRM, tetapi dua laporan yang dihantar sebelum ini juga masih belum berjaya diselesaikan.

“Bagaimanapun, kami akan memberikan masa untuk badan itu menjalankan siasatan lebih lanjut terhadap kes-kes yang telah dilaporkan sebelum ini,” katanya. -SINARHARIAN-

Suara Peduli Palestin

  Khamis , 31/03/2011 – Delegasi Hamas pada hari Selasa (29 Mac) telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Mesri, Dr. Nabil Arabi, untuk membincangkan peranan Mesir ke dalam landasan yang betul berkaitan isu Palestin, sempadan Rafah dan fail rekonsiliasi.
Delegasi itu memuji berkenaan pendirian kementerian Arab terhadap serangan Zionis ke atas Gaza, dan kerajaan baru yang strategik dari peringkat nasional, Arab dan Islam. Semasa lawatan ke Kaherah ini, mereka dapat mengesan semangat dan polisi baru yang bakal muncul beberapa hari lagi.
Dr. Mahmoud Zahar, ahli badan politik Hamas, dan Dr. Khalil El-Hayyah, selepas pertemuan mereka dengan Menteri Luar Mesir berkata : “kami meletakkan janji-janji yang banyak bahawa Kerajaan Mesir akan meneliti dan menangani isu Palestin, rekonsiliasi dan rakyatnya. Kami juga bersetuju dalam banyak perkara, termasuklah tindakan yang akan dikenakan ke atas PA Fatah dan badan Palestin di Ramallah, agar kita dapat mencapai rekonsiliasi.”

http://palestinkini.info/

TERKINI