17 May 2011

Penulis memang tidak penting buat Pakatan?

Oleh DINSMAN 
Kali ini saya menulis di Yan, Kedah. Sementara menunggu peserta Bengkel Penulisan CAP-Paksi 13-18 Mei semuanya hadir mendaftar diri di Chalet D' Yan, Titi Hayun, saya cuba menyiapkan wacana ini.
Tentunya fikiran saya pun tidak menerawang jauh sangat meninggalkan program yang akan berlangsung di sini, iaitu bengkel penulisan. Saya memikirkan bahawa bengkel penulisan selama enam hari ini bertujuan untuk melahirkan beberapa orang penulis yang benar-benar akan menulis selepas ini, sama ada menulis dalam akhbar dan majalah atau menerbitkan buku sendiri.
Maka saya terfikirkan peranan penulis. Dan saya terfikirkan juga apakah pihak Pakatan Rakyat dan terutamanya PAS benar-benar menyedari akan peranan penulis dalam masyarakat kita hari ini. Dan saya tak perlu berlama-lama sebenarnya memikirkan perkara ini, kerana ia bukanlah satu perkara baru. Ia selalu timbul dalam perbincangan dengan kawan-kawan penulis, budayawan dan pengamal media.
Di kalangan penulis, budayawan dan pengamal media kita memang jelas berpendapat bahawa pihak pimpinan Pakatan Rakyat seperti tidak begitu menyedari pentingnya peranan yang boleh dimainkan oleh penulis dan pengamal media. Ini jelas dapat dilihat pada cara mereka berhubung dengan golongan ini, dan pada program-program yang mereka buat, yang berhubungan dengan golongan ini.
Tetapi peliknya, mereka selalu kita dapati memarahi media-media pro-Umno/BN kerana tidak membuat laporan berita yang adil, dan tidak mengamalkan dasar kebebasan media. Pimpinan PR di pelbagai peringkat selalu mengecam media kerajaan dan yang pro-Umno/BN kerana tidak berlaku adil kepada PR dalam penyiaran berita. Seolah-olah mereka begitu mengharapkan pada media pro-Umno/BN itu untuk berlaku adil kepada mereka, dan seolah-olah mereka masih memberi kepercayaan kepada media-media pro-Umno/BN itu. Pelik 'kan?
Padahal kita memang tahu benar yang pihak media-media pro-Umno/BN itu, baik namanya Utusan meloya atau namanya TV tiga suku atau apa pun namanya, mereka itu tidak akan samasekali berbuat yang baik kepada kita. Mereka itu memang kerjanya memfitnah PR, dan memang tujuannya hendak menjatuhkan PR.
Yang kita duk percaya lagi dengan mereka itu kenapa? Yang kita duk layan sakan lagi mereka itu pasal apa? Padahal kita bukannya tidak ada media kita sendiri. Di zaman Reformasi 1998 dulu populariti media kita pernah mengalahkan media pro-Umno/BN, baik media cetak mahupun media internet. Tetapi selepas itu sokongan terhadap media kita semakin merosot.
Kenapa merosot? Kerana orang-orang kita sendiri pun tidak memberi sokongan kepada media kita. Kerana pemimpin-pemimpin PR di pelbagai peringkat pun menampakkan yang mereka lebih suka berdamping dan didampingi oleh media-media pro-Umno/BN.
Anda jangan terkejut dengan kenyataan ini. Dan anda jangan terkeliru dengan berita yang sesekali meletup menunjukkan pemimpin tinggi PR marah, berang dan tidak mahu melayan media pro-Umno/BN tertentu.
Hanya sesekali sahaja demikian. Sedangkan selalunya adalah seperti yang saya sebutkan itu. Pimpinan PR sendiri seperti tidak membantu bagi memajukan media-media kepunyaan PR.
Selepas saya tulis perihal seorang aktivis PAS di Johor yang mengadu susah nak beli Harakah di tempatnya, ramai pembaca yang respon dengan SMS dan menelefon saya menceritakan masalah yang sama di tempat mereka. Tak kurang juga yang menceritakan AJK PAS kawasan mereka sendiri pun tak membaca Harakah.
Tapi apa pun, tak mengapalah itu, kerana khabarnya ada kawan-kawan telah menubuhkan "Kembang", dan akan menjalankan aktiviti-aktiviti kempen bagi menyedarkan masyarakat khasnya ahli-ahli PAS supaya membaca Harakah (di samping lain-lain aktiviti).
Balik kepada topik wacana ini seperti yang saya mulakan di atas, iaitu mengenai perlunya pihak PR membina penulis dan pengamal media sebanyak-banyaknya, bagi membantu perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan di bumi ini.
Saya fikirkan begini: Kita jangan mengharapkan kepada penulis-penulis dan pengamal media yang pro-Umno/BN itu. Pengalaman saya bersama dengan golongan penulis di negara ini, sejak sebelum zaman Reformasi, di waktu Reformasi dan sehingga sekarang, boleh dikatakan tidak banyak perubahan. Bahkan kadang-kadang mereka ini lebih Umno daripada Umno. Rasuah mereka biarkan saja. Pembohongan tidak menjadi masalah pada mereka. Rakyat dizalimi pun mereka tidak peduli.
Itulah makanya selepas PRU 2008 Paksi pernah menganjurkan seminar "Penulis - Mengepalai atau Mengekori?" Seminar itu membincangkan sikap penulis hari ini yang jauh berbeza dengan penulis di zaman awal kebangkitan nasionalisme dulu. Kalau dulu golongan penulis (seperti Syed Sheikh Alhadi, Zaaba dan Rahim Kajai) menjadi pemimpin masyarakat, hari ini penulis jauh ditinggal oleh masyarakatnya yang mahukan perubahan.
Jadi, elok kita lupakan sajalah niat untuk mengajak mereka ini supaya sedar dan berubah. Lebih baik kita mendidik dan melatih generasi baru. Kita perbanyakkan golongan penulis dan pengamal media yang memahami dan menghayati perjuangan kebenaran dan keadilan yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. dan al-Quran. Dan jadikan ini bahagian penting dalam agenda perjuangan kita, termasuk perjuangan politik.
Cuba bayangkan sekiranya kita mempunyai penulis dan pengamal media yang menyokong perjuangan kita ini lebih ramai daripada penulis dan pengamal media yang menyokong Umno/BN. Apa akan terjadi pada senario politik Malaysia? Dengan sendirinya senario politik Malaysia akan berubah, 'kan!
Memang teorinya sangat mudah. Tetapi teori yang sebaik mana pun, tidak akan ada maknanya kalau tidak dilaksanakan. Maka marilah kita melaksanakannya. Dan memang untuk melaksanakan agenda ini pun tidaklah mudah. Tetapi tidaklah begitu payah. Kalau kita mahu, ia boleh dilaksanakan.
Bengkel penulisan CAP-Paksi ini memang tidak dirancang ke arah itu. Saya hanya terfikirkan perkara ini ketika duduk menunggu untuk memulakan bengkel ini. Rasa-rasanya, selepas ini bolehlah dirancangkan pula bengkel penulisan seperti yang dibincangkan ini.
----

Nak naik, naik je la. Biar rakyat turunkan korang pulak

IPOH: Kerajaan akan mengkaji semula semua harga produk petroleum termasuk petrol RON95 pada bulan depan bagi menentukan harga sedia ada akan kekal atau sebaliknya, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa.
Beliau berkata kajian semula oleh kementerian itu bersama-sama agensi lain seperti Kementerian Kewangan dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) akan menentukan sama ada harga sedia ada kekal atau dinaikkan berdasarkan tanggungan subsidi kerajaan.
"Mengikut pelan Rasionalisasi Subsidi, satu kajian semula akan dibuat enam bulan sekali terhadap subsidi semua produk. Jadi untuk petrol RON95, diesel dan LPG (gas cecair asli) kajian terakhir dibuat pada Disember tahun lepas.
"Ini bermakna bulan ini atau awal Jun akan berlaku kajian semula untuk pertengahan tahun...saya tidak boleh memberi gambaran apa yang akan berlaku, tetapi kajian akan berlaku dan tanggungan subsidi oleh kerajaan adalah tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Ipoh Barat di sini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan semasa harga petrol RON95 berikutan harga petrol RON97 kini meningkat kepada RM2.90 seliter.
Harga RON97, yang diapungkan mengikut harga pasaran minyak semasa, naik 20 sen ke RM2.70 seliter pada 2 April lepas ekoran krisis Timur Tengah manakala kali terakhir harga RON95 naik adalah pada Disember tahun lalu iaitu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter.
Ismail Sabri berkata walaupun sebelum ini beliau berkata harga minyak tidak dinaikkan pada masa sekarang, tetapi ia tidak menjamin harga minyak akan kekal selama-lamanya kerana tanggungan subsidi kerajaan terhadap produk petroleum pada masa sekarang adalah tinggi.
"Tahun lepas, tanggungan subsidi kerajaan (bagi produk petroleum) adalah RM8 bilion apabila harga minyak dunia meningkat, dan tidak nampak trend itu akan menurun. Kalau keadaan itu berterusan, tanggungan subsidi kerajaan akan menjadi RM18 bilion tahun ini iaitu kenaikan RM10 bilion," katanya.
Beliau berkata sekiranya subsidi dikurangkan, jumlah peruntukan RM10 bilion itu dapat digunakan bagi membina lebih banyak sekolah, jalan-jalan kampung, projek perumahan rakyat serta memberi lebih banyak bantuan pelajaran.
Katanya rakyat perlu sedar jumlah subsidi besar yang ditanggung kerajaan sepatutnya dibelanjakan untuk projek yang lebih memberi manfaat kepada pelbagai lapisan rakyat.BERNAMA

Tahi ayam candu punya alasan bila nak merembat duit rakyat

Najib: Subsidi ibarat candu, kos politik tak boleh dielak

selendangrakyat :
Inilah hebatnya pemimpin BN. Macam-macam alasan digunakan kalau nak menyusahkan rakyat.Kalau untuk anak bini dengan kroni semua boleh. Hancur Malaysia kalau BN terus jadi kerajaan. 

Insentif guru: Kesatuan sekerja kecewa tak menyeluruh

KUALA LUMPUR, 17 Mei — Beberapa kesatuan sekerja perkhidmatan guru mendesak kerajaan meneliti semula insentif yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam, yang disifatkan sebagai tidak memenuhi permintaan dan keperluan utama warga pendidik keseluruhan peringkat.
Desakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) dan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) lahir daripada rasa tidak puas hati terhadap insentif yang disifatkan tidak memberi manfaat kepada keseluruhan guru.
Laporan Berita Harian memetik mereka kecewa kerana enam tuntutan yang dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada pertemuan 28 April lalu tidak diberi perhatian termasuk tuntutan kenaikan gred guru besar di sekolah kurang murid.
Selain itu, tuntutan supaya kerajaan mewujudkan jawatan gred DG40 iaitu gred tertinggi dalam Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD), selain memperluaskan gred DGA38 kepada semua guru besar dan pengelola kementerian, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) gagal dilakanakan.
Mereka mendakwa kerajaan juga tidak memberi perhatian terhadap tuntutan gred jawatan pegawai pelajaran daerah di sebanyak 139 PPD membabitkan gred DG52 serta pelaksanaan nisbah seorang guru dengan tujuh murid khususnya bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah.
Dalam perutusan sempena Hari Guru semalam, Najib berkata, sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam perkhidmatan perguruan dan dalam memartabatkan profesion keguruan di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya ‘time-based’ perlu diberi nafas baru.
“Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun.
“Makanya, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya,” katanya.
Oleh itu kata beliau, kerajaan memperkenalkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran atau PDP yakni Guru Wibawa dan Pendeta Guru di mana guru akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru.
“Jelasnya, pewujudan empat lapisan jawatan tersebut akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan,” kata Najib.
Selain itu, melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.
Najib berkata, mereka juga boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.
“Namun, untuk guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan.
“Untuk ini, kerajaan bersetuju menambah lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100 peratus dengan menambah jumlah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru,” kata beliau.
Selanjutnya, Najib menambah, sebagai membuktikan lagi kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan profesion keguruan, kerajaan bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan.
Sementara itu, semua Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 akan melibatkan 6,585 jawatan.
Seterusnya, semua GPK Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum di sekolah rendah Kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan.
Dalam pada itu, Presiden NUTP Hashim Adnan berkata insentif yang diberikan tidak membabitkan guru yang mengajar di sekolah rendah dan menengah, walhal permintaan sudah beberapa kali disuarakan sebelum ini.
Dipetik akhbar harian itu, beliau berkata, NUTP kecewa kerana kenaikan gred hanya dikuatkuasakan bermula 1 Januari depan, menyebabkan pengetua dan GPK yang bersara tahun ini tidak dapat menikmati insentif berkenaan.
Yang Dipetua GMGBM Ruslan Madon pula berkata apa yang diperjuangkan gabungan itu sejak empat tahun lalu gagal direalisasikan sedangkan kenaikan gred bagi guru besar sekolah kurang murid jika dilaksanakan hanya membabitkan RM5 juta stahun.
Sementara itu, Presiden KKGLMSM Jamale Paiman memberitahu pihaknya berharap kerajaan mengambil tindakan segera bagi memastikan kebajikan 160,000 PPPLD daripada jumlah keseluruhan 430,000 guru terjamin.-malaysianinsider-

Penduduk akui Ladang Rakyat tak rampas tanah

GUA MUSANG, 16 Mei: “Ladang Rakyat tidak pernah rampas tanah rakyat. Kalau ada tanaman mereka tidak masukkan dalam kawasan projek.
“Lagi pun kawasan yang diambil Ladang Rakyat kesemua tanaman yang pernah ditanam tidak menjadi akibat dimakan binatang liar,” kata Ramli Abdul Rahman, 57 ketika ditemui di Kampung Baru Star.
Kampung tersebut terletak kira-kira 25 km dari bandar Gua Musang. Kedudukannya di laluan yang menghubungkan Gua Musang dan Jeli melalui Jelawang, Dabong.
Di sebelah timur bukit di kampung itu, tidak jauh dari masjid terletak projek perladangan sawit diusahakan Ladang Rakyat.
Kelapa sawit yang ditanam tiga tahun lalu kini ada yang sudah berbuah.
Ramli memberitahu Ladang Rakyat tidak pernah merampas tanah penduduk kampung seperti didakwa sesetengah pihak melalui media massa sebelum ini.
”Saya masih ingat lagi sewaktu Allahyarham Chek Hashim Sulaiman menjadi Penyelia Dun Galas acap kali beliau datang menemui penduduk membincangkan cadangan Ladang Rakyat membangunkan ladang sawit di sini.
”Kalau tidak silap enam kali beliau datang. Perjumpaan diadakan di masjid Star Baru dan Madrasah di Kampung Kalai,” katanya.
Menurutnya dua tahun berbincangan diadakan dan penduduk berpuas hati apabila kawasan yang sudah ditanam dikeluarkan daripada projek Ladang Rakyat.
Beliau juga meluahkan rasa pelik selepas lebih empat tahun projek Ladang Rakyat dijalankan mengapa pula baru sekarang ada penduduk di sesetengah tempat mempertikaikan.
Oleh itu beliau mengsyaki ada orang tengah yang menjual tanah milik kerajaan cuba menimbulkan pelbagai dakwaan bukan-bukan terhadap Ladang Rakyat.
Seramai 10 penduduk ditemui di Kampung Star Baru Sabtu lalu menjelaskan perkara serupa seperti diberitahu Ramli.
Di majlis berasingan pada malam bertempat di padang Majlis Daerah Gua Musang lebih 1,000 penduduk hadir mendengar penjelasan mengenai isu membabitkan Ladang Rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi tampil menjelaskan isu tersebut yang turut dihadiri Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota Exco, Datuk Mohd Amar Abdullah.
Turut hadir Penyelia Parlimen Gua Musang, Ustaz Abdullah Hussin, Penyelia Dun Galas, Dr Zulkefli Mohamad dan Penyelia Dun Paloh, Hamdan Jusoh.
Biar pun hujan pada sebelah petang, namun orang ramai tetap hadir bagi mendengar penjelasan sebenar mengenai isu Ladang Rakyat selepas diberi imej negetif media harian proUmno.
Umno tentang program kebajikan
Dr Nazmi berkata, sejak daripada awal lagi pemimpin Umno cuba menggagalkan projek Ladang Rakyat apabila mereka menentang ketika Enakmen Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat dibentang pada persidangan Dun Kelantan.
Katanya, selama dua hari setengah enakmen tersebut dibahas dan akhirnya perbadanan tersebut berjaya diwujudkan dengan undian 23 Adun PAS menyokong dan 22 Adun BN menentang.
”Umno menentang kewujudan program Ladang Rakyat kerana program ini memberi kebajikan kepada rakyat di mana sehingga akhir tahun lepas sebanyak RM40 juta dibayar kepada lebih 4,300 peserta.
”Kejayaan program ini dapat dilihat apabila pada pilihan raya umum Mac 2008 Adun BN yang menentang penubuhan Ladang Rakyat kecundang dalam pilihan raya sehingga tinggal enam orang,” ujarnya.
Beliau juga menjelaskan biar pun Umno mendesak kerajaan negeri mengeluarkan kertas putih kononnya berlaku penyelewengan membabitkan Ladang Rakyat, namun audit yang dilakukan Jabatan Audit Negara tidak menemui sebarang penyelewengan.
Menteri Besar pula menyokong cadangan Ladang Rakyat menyaman pihak yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap agensi terbabit.-harakahdaily-

TERKINI