25 July 2011

Kajian: Kos hidup naik, BN boleh rasa tempias di PRU

KUALA LUMPUR, 25 Julai — Peningkatan kos hidup dilihat akan menyulitkan Barisan Nasional (BN) dalam menarik sokongan pada pilihan raya umum ke-13 khususnya di kalangan pengundi kawasan bandar yang berhadapan dengan kesan pendapatan kekal tidak berubah sedangkan paras inflasi pula mengalami kenaikan.

Pugutan suara di kalangan 100 warga kota oleh The Malaysian Insider baru-baru ini menunjukkan 44 peratus menuding jari ke arah kerajaan berhubung kenaikan kos berbanding 41 peratus mengaitkan dengan faktor global dan hanya lima peratus mempersalahkan golongan peniaga.

Minggu lalu, Putrajaya mengumumkan bahawa kadar inflasi Malaysia mengalami peningkatan sebanyak 3.5 peratus pada Jun berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Kadar inflasi pada Mei 2011 adalah 3.3 peratus, masih rendah daripada paras lima peratus yang boleh diterima oleh kerajaan.

Pentadbiran Najib tidak mengatakan bila akan memanggil pilihan raya umum tergempar, tetapi timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam memberitahu ahli-ahli Umno agar bersedia memandangkan pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa.

Daripada 86 orang, yang merupakan pengundi berdaftar, seramai 40 responden berkata kos sara hidup kemungkinan akan memberi kesan ke atas pendirian sokongan mereka dalam pilihan raya umum manakala 31 yang lain mengatakan tidak mungkin ada kesan ke atas mereka. Seramai 15 pemilih berkata kos sara hidup akan memainkan peranan berkecuali dalam menentukan siapa yang mereka akan mengundi kelak.

Seorang pesara Rohani Saad, 57, memberitahu The Malaysian Insider, dia percaya undi ketika pilihan raya umum merupakan satu-satunya cara boleh melahirkan rasa tidak puas hati mengenai kenaikan kos sara hidup.

“Jika kerajaan mengatakan harga tak naik, harga tentu naik,” kata Rohani yang kini bergantung pada simpanannya.

Meskipun Rohani berjimat cermat, membelanjakan sekitar RM100 seminggu untuk barang-barang runcit bagi suami dan dirinya, dia merasakan kedudukan kewangan semakin buruk tahun ini.

Malah mereka yang agak berada pun merasakan mereka “miskin” sekarang ekoran peningkatan inflasi.

Seorang pengurus pejabat yang hanya mahu dikenali sebagai Anne berkata, kerajaan seharusnya memantau harga barang khususnya harga barang-barang keperluan seharian seperti makanan bagi membolehkan kos sara hidup dapat dikawal.

Meskipun pendapatan Anne dan suaminya mencecah RM10,000 sebulan tetapi dia terpaksa memotong bajet membeli ikan sebab ia terlalu mahal sekarang.

“Kami suka makan ikan, tetapi kami juga rasa perit (kenaikan harga),” katanya lagi.

Meskipun pentadbiran Najib menggerakkan program-program transformasi ekonomi tetapi kesannya belum dirasai rakyat memandangkan mereka juga berhadapan dengan kenaikan harga barangan khususnya di kawasan-kawasan bandar berbanding kadar pendapatan.

Perkara ini juga dikesan menerusi pungutan suara yang diadakan.

Kira-kira 34 peratus responden berkata mereka merasakan kedudukan kewangan mereka lebih buruk berbanding setahun lalu manakala 43 peratus merasakan tiada sebarang perubahan dan 23 peratus mengatakan keadaan mereka lebih baik.

“Kehidupan di sini semakin buruk sekarang,” kata Choong, 40, seorang pemilik restoran di Subang Jaya.

Ibu kepada empat orang anak ini berkata, rakyat Malaysia perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk memiliki barangan keperluan berbanding negara-negara lain seperti England.

Selain perbelanjaan isu rumah yang semakin meningkat, katanya, bisnes restorannya merasai kesan memandangkan ramai pelanggan sudah kurang makan di luar ekoran kenaikan kos.

Bagaimanapun beberapa orang yang ditemui tidak bersetuju dengan Choong dengan mengatakan bahawa rakyat Malaysia lebih baik berbanding mereka yang tinggal di luar negara.

“Rakyat Malaysia yang tidak pernah tinggal di luar negara tidak tahu yang mereka sebenarnya bernasib baik kerana semuanya ada di sini,” kata Muhammad Zafran Kadir, seorang pengurus komunikasi dari Subang Jaya.

“Berbanding kepercayaan popular, Malaysia merupakan salah satu bandar raya paling rendah kos hidup. Ketika saya berada di Australia, saya mengeluarkan A$400 (RM1,280) seminggu untuk sewa. Jika bukan kerana pinjaman kerajaan, saya tidak boleh hidup,” katanya lagi.

Pun begitu, penganalisis memberi amaran bahawa kos sara hidup dan keadaan ekonomi negara akan menjadi isu utama pilihan raya.

“Kos hidup sentiasa menjadi isu serius bagi kerajaan apabila berhadapan dengan pilihan raya,” kata James Chin, penganalisis politik dari Monash Univeristy kampus Malaysia.

“Ketika keadaan ekonomi tidak baik, kerajaan berhadapan dengan kesukaran,” katanya.

Ketua Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs, Wan Saiful Wan Jan berkata kos sara hidup merupakan isu paling ketara di kalangan orang ramai.

“Sejauh mana baiknya keadaan ekonomi, ia memainkan peranan signifikan dalam arah aliran pengundian,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Saiful juga berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini berhadapan dengan pilihan sukar memandangkan beliau terperangkap dalam dilema sama ada wajar memotong subsidi, sebagai sebahagian daripada pembaharuan fiskal bagi mengimbangkan bajet kerajaan, tetapi pada masa yang sama berhadapan dengan situasi tekanan kenaikan harga barang.

Menurutnya, pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) oleh Tun Abdul Razak pada 1970 telah membawa kepada pergantungan ke atas campur tangan kerajaan dan subsidi, sekali gus mewujudkan budaya subsidi yang sukar bagi Najib untuk keluar.

“Bagaimana Najib boleh memberitahu publik bahawa subsidi tidak boleh berkekalan?” kata Wan Saiful.

“Beliau tidak boleh kata bapanya salah apabila melaksanakan DEB,” katanya lagi sambil menambah, “sesuatu yang malang bagi kerajaan buat masa sekarang.”

Wan Saiful berkata, Pakatan Rakyat memperoleh kelebihan politik daripada tindakan Putrajaya memotong subsidi dan impaknya ke atas kos sara hidup tetapi menurutnya, ia pendekatan popular dan tidak bertanggungjawab.

Malah kata beliau, sebagaimana kerajaan semasa, Pakatan Rakyat tidak dapat mengekalkan subsidi untuk jangka masa yang panjang.

Kata Wan Saiful, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya lebih mengetahui perkara ini berbanding menentang pelarasan subsidi.

Sementara parti-parti politik berusaha memikat undi, pengundi sendiri kelihatan sinis dengan mendakwa bahawa sokongan mereka hanya dikira ketika pilihan raya tetapi bukan dalam persekitaran realiti.

Seorang penjaja yang hanya mahu dikenali sebagai Lee berkata, meskipun dia sudah banyak kali mengundi tetapi tidak merasakan undinya ada membawa sebarang perubahan.

Lee yang berusia 70 tahun berkata, dia kecewa kerana harapannya agar kehidupan akan bertambah baik tidak mendapat perhatian ahli-ahli politik.

Katanya, bilangan mereka yang mengunjungi gerainya semakin menurun memandangkan ramai mahu makan di rumah.

“Saya tidak tahu ke mana pergi mereka semua,” katanya dengan nada kesal.

24 July 2011

SPRM: Siasatan atau penderaan?

Laporan Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian Teo Beng Hock amat mengejutkan. Ia memperlihatkan bagaimana proses soal-siasat mampu merosakkan minda seseorang hingga membuatkan mangsa hilang pertimbangan dan membunuh diri.

Jika kita menilai kaedah siasatan itu, mungkin kita boleh membandingkan kaedah soal siasat yang dilakukan oleh rejim ganas seperti tentera dan polis Zionis Israel. Antara kaedah dalam setiap siasatan, pasti akan ada ‘penderaan’.

Penderaan ini boleh berlaku secara mental (tanpa sentuhan) dan fizikal (sentuhan). Kesannya tetap sama walau pun tiada ‘body contact’ anggota penyiasat.

Di Israel, walau pun kaedah ini tidak berperikemanusiaan, pihak Zionis berani menyiarkan secara terperinci kaedah atau sistem soal siasat itu kepada rakyat Israel. Sekurang-kurangnya, warga masyarakat tahu tentang kaedah ini, dan boleh menuntut supaya ia dibatalkan atau diteruskan.

Pihak berkuasa siksa orang?

Bagaimana dengan SPRM dan polis di Malaysia? Adakah kita rakyat diberi maklumat dan pengetahuan tentang kaedah yang telah dan sedang digunakan oleh mereka?


Bukankah mereka ini penjawat awam dalam perkhidmatan awam. Ini bermaksud, tanggungjawab mereka adalah kepada rakyat, iaitu kita. Maka kita berhak untuk tahu dan menilai bagaimana dan apakah kaedah siasatan yang digunakan.

Jika ia bersesuaian, maka laksanakanlah, jika tidak mereka perlu akur dengan keputusan rakyat.

Jika SPRM atau polis ini syarikat sendirian berhad, maka terpulanglah kepada syarikat itu. Mereka boleh buat sesuka hati mereka. Tiada siapa ambil peduli tentang kaedah atau hasilnya. Jika rakyat tidak suka, kita boikot mereka.

Tetapi ia tidak begitu apabila melibatkan hak asasi manusia, dan membabitkan pula perkhidmatan awam.

Rakyat perlu menuntut pihak berkuasa, khususnya dalam kes Teo Beng Hock, supaya SPRM mendedahkan secara visual, bertulis dan rakaman audio bagaimana kaedah siasatan yang dikatakan melampau ini dilakukan kepada khalayak.

Dengan itu, rakyat boleh menilai sendiri, sama ada prosedur mereka benar-benar zalim atau tidak, dan siapakah yang harus dipertanggungjawabkan.

Jangan lari dari tanggungjawab

Pihak SPRM tidak boleh lari dari tanggungjawab dengan mengatakan ia rahsia, sulit atau terkandung dalam Akta Rahsia Rasmi atau ia membabitkan isu keselamatan negara. Rakyat berhak untuk tahu sama ada wang cukai mereka serta wang hasil sumber negara digunakan untuk menyiksa rakyat sendiri atau pun tidak.


Alasan untuk lari dari tanggungjawab tidak boleh diterima kerana kes ini sudah menmgakibatkan kematian, dan mangsanya adalah rakyat Malaysia, dan beliau bukan orang kena tuduh, hanya seorang saksi dalam satu kes yang dikatakan pula tidak kukuh.

Jangan beri alasan kononnya SPRM tiada rakaman video, sama ada visual atau audio semasa sesi soal siasat itu. Jika benar tiada rakaman semasa siasatan, maka jelas kaedah siasatan itu tidak profesional dan tidak mengikut piawaian antarabangsa. Ini tidak boleh diterima sama sekali.

Atau, jika SPRM masih gagal mengemukakan bukti itu, maka kita sarankan kepada SPRM untuk melakonkan semula adegan itu.

Bukankah kerajaan memang suka membuat lakonan semula?
Lakukanlah, agar semua rakyat dapat lihat di mana kesilapannya dan siapa yang harus dipertanggungjawabkan.

Ketua SPRM serta Menteri Dalam Negeri sepatutnya meletak jawatan kerana mereka gagal melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah, sebaliknya membiarkan kelemahan sistem sehingga menyebabkan kematian seorang insan yang tidak bersalah.

Contohnya, sebuah kapal terbang tidak akan jatuh menjunam hanya kerana satu skru tercabut, sebaliknya kapal terbang itu hanya akan terhempas apabila wujud pelbagai kelemahan dari banyak aspek, sama ada sistem teknikal, kesilapan manusia dan cuaca. Gabungan inilah yang akan mencetus malapetaka. Ini dinamakan rantaian bencana.

Maka dalam kes Teo Beng Hock, rantaian bencananya adalah sistem dan kaedah yang digunakan. Sistem ini bukan ditentukan oleh satu pihak, sebaliknya banyak pihak termasuk institusi dan individu yang bertanggungjawab.

Dengan itu, pendedahan Suruhanjaya Diraja ini jelas membuktikan bahawa wujud kecacatan, kelemahan dan kesalahan penting dalam sistem yang sedang digunakan oleh institusi ‘penting’ seperti SPRM dan polis. – Roketkini.com

22 July 2011

98% Rakyat Malaysia Bakal Beralih Kepada Media Baru


KUALA LUMPUR: Kira-kira 98 peratus daripada 26 juta penduduk negara ini akan beralih kepada sumber media baru dan laman sosial seperti blog, Facebook serta Twitter sebelum November tahun ini.

Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, jumlah itu tidak mustahil dicapai kerana saluran media baru merupakan landasan paling berpengaruh yangberupaya melakukan perubahan sosial di negara ini.

"Perkara itu bukan mitos tetapi realiti. Saluran media baru berjaya mencetuskan revolusi sosial di Mesir, Tunisia, Amenia dan Ukraine.

"Kini media mempunyai kuasa sepenuhnya malah ia begitu kompleks dan boleh menyebarkan maklumat kepada sesiapa saja setiap saat. Perkara itu turut diakui kebanyakan ahli falsafah," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk 'Nations On Fire: ThePower Of New Media di sini, Khamis.

Menurut beliau, peralihan tersebut turut didorong oleh beberapa faktor seperti rakyat mahukan ruang untuk berkongsi pendapat dan terlibat dalam sesuatu perkara kerana dunia sekarang bersifat terbuka.

Sehubungan itu, Abu Hassan menggesa media konvensional supaya berubah daripada bersifat primitif dalam menyampaikan maklumat kepada lebih interaktif, terbuka dan menekankan kepelbagaian.

"Kita perlu menerima perubahan ini. Kita sudah memasuki era perundingan... media moden mesti mengamalkan kepelbagaian.

"Stesen radio sudah melalui proses perubahan ini. Pelbagai topik turut dibincangkan oleh penyampai radio. Mereka akan berinteraksi secara interaktif bersama pendengar menerusi telefon," jelasnya.

Katanya, jika kita tidak melakukan perubahan dari segi politik, ekonomi dan tingkah laku sosial, saluran media baru akan digunakan untuk merencanakan perubahan.

"Oleh itu, kita perlu menerima Internet sebagai peradaban manusia yang positif. Kita perlu berkongsi emosi, karakter, teknologi sains dan menerima kehadiran media baru," ujarnya.

Berdasarkan penelitiannya, beliau percaya kira-kira 92 peratus wartawan di negara ini berkhidmat bersama media konvensional berbanding saluran media baru.

"Kita mempunyai sebilangan besar para wartawan dari media konvensional. Saya yakin anda merujuk kepada Internet kerana ia dapat menjimatkan masa, ruang dan kos.

"Orang pertama yang menyebarkan maklumat akan dapat menguasai dunia. Saya pasti media konvensional tidak dapat mengatasinya kerana perlu melalui proses cetakan dan edaran," katanya.

Sementara itu, beliau mencadangkan supaya media konvensional bekerjasama dengan media baru dalam menyediakan lebih banyak ruanguntuk bersuara dan tidak membataskan hubungan dengan sesiapa saja.

"Media konvensional tidak seharusnya menjadi alat propaganda kepada sesiapa saja. Jika ingin bersaing dengan media baru, media konvensional perlu bersikap lebih terbuka dalam penyampaian berita,"ujarnya.

18 July 2011

Tiga tahun Dr Lo’ Lo’ MP pikat kawan dan lawan

KUALA LUMPUR, 18 Julai — Sejak berita kematian muncul lewat malam tadi, mesej menerusi Twitter tidak putus-putus dihantar oleh pelbagai pihak, tidak kira fahaman politik.

Meskipun Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali merupakan wakil rakyat kerusi Parlimen Titiwangsa dari PAS, namun mesej mengucapkan takziah turut diucapkan oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN).

Salah seorang daripada mereka, Datuk Saifuddin Abdullah yang merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno antara lain menyifatkan Dr Lo’ Lo’ sebagai “antara MP wanita yg bersuara, bernas di Dewan Rakyat. Al-Fatihah.”

Ratusan rakyat mengiringi jenazah Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ ke Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat. — Foto oleh Choo Choy MayBerita kematian beliau juga menarik perhatian Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong, yang turut mengucapkan takziah sambil berkata sumbangan dan jasa Dr Lo’ Lo’ akan sentiasa dikenang.

Wakil rakyat BN dari Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan, Ahli Parlimen Kota Belud dalam laman Twitter berkata Dr Lo’ Lo’ merupakan seorang “pemimpin yang baik selain berpidato secara berhemah (di Dewan Rakayt) dan bertanggungjawab.”

Beliau juga berkata Dr Lo’ Lo’ merupakan kenalannya dan pemergian bekas timbalan ketua Dewan Muslimat PAS itu amat dirasai.

Selain itu, dalam satu laman Twitter yang dinamakan “premesh” berkata, Dr Lo’ Lo’ merupakan antara individu yang memainkan peranan besar untuk membolehkan wanita bertanding dalam pilihan raya mewakili PAS.

Allahyarhamah merupakan antara dua wakil rakyat daripada kalangan doktor, memenangi pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Namun bagi Pakatan Rakyat terutamanya PAS, pemergian Dr Lo’ Lo’ merupakan satu kehilangan besar sambil menyifatkan wakil rakyat penggal pertama itu sebagai “sebutir permata yang sangat bernilai dan tidak boleh diganti.”

Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Siti Zailah Mohd Yusof, Dr Lo’ Lo’ merupakan seorang individu yang tegas, tabah dan cekal dalam perjuangan terutamanya yang melibatkan kebajikan rakyat.

“Kematian beliau (Dr Lo’ Lo’) adalah satu kehilangan yang cukup besar kepada PAS terutamanya Dewan Muslimat kerana beliau diibaratkan sebagai permata yang cukup berharga dan seorang pejuang yang cukup tegas dan gigih.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga beliau dan juga kepada rakyat di (Parlimen) Titiwangsa kerana kehilangan pemimpin yang disegani,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian Dr Lo’ Lo’ di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat di sini.

Jenazah Dr Lo’ Lo’ terlebih dahulu disembahyangkan di Masjid Al-Akram dengan diimamkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Dr Lo’ Lo’, 54, telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang pada pukul 10.13 malam tadi kerana menghidap kanser.

Selain Hadi, pimpinan tertinggi PAS turut hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Dr Lo’ Lo’.

Jenazah Dr Lo’ Lo’ selamat dikebumikan kira-kira pukul 11.10 pagi tadi dengan ribuan orang hadir memberikan penghormatan terakhir.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ahli parlimen Pakatan Rakyat dan juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

“Sepanjang persahabatan saya, beliau adalah seorang pemimpin yang baik, tegas, berdisiplin dan sentiasa menghadapi cabaran dengan hati terbuka.

“Beliau adalah pemimpin yang sentiasa memperjuangkan hak rakyat, menjaga kebajikan rakyat... beliau juga ada berpesan supaya meneruskan mana-mana perjuangan yang belum selesai terutamanya isu Kampung Baru yang diperjuang beliau selama ini,” kata Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Exco kerajaan negeri Selangor yang juga exco Dewan Muslimat PAS Dr Halimah Ali berkata, Dr Lo’ Lo’ adalah seorang pemimpin yang teguh berpegang kepada prinsip perjuangan demi rakyat.

“Bagi saya beliau adalah seorang pemimpin yang berprinsip, beliau bukan pemimpin yang hanya tahu bercakap, tapi beliau adalah pemimpin yang bercakap atas dasar fakta dan apa yang beliau mahu katakan akan dikaji terlebih dahulu.

“Beliau bukan sahaja boleh diibaratkan sebagai sebutir permata tetapi seorang pejuang yang berilmu, apa yang beliau lakukan adalah demi rakyat bahkan semasa sakit pun beliau tetap gagahkan diri untuk bersama dengan rakyat,” katanya.

Allahyarhamah merupakan anak perempuan bekas mufti Perak, Datuk Mohd Ghazali Abdullah.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, pemergian Dr Lo’ Lo’ akan terus dikenang, bukan sahaja pengorbanannya, malah leterannya diibarat sebagai “seorang ibu” dalam menjalankan tugasnya akan terus dirindui.

“Bukan hanya penduduk Titiwangsa, ahli dan penyokong PAS dan gagasan Pakatan Rakyat yang terasa kehilangan satu permata, tetapi saya selaku sahabat ahli Parlimen, masih terasa kata-kata rangsangan, nasihat dan motivasi yang disampaikan arwah dalam bentuk leteran.

“Beliau tampil dalam memberi khidmatnya seperti seorang ibu kepada anak-anak (rakyat) dalam bentuk leteran kerana bagi saya leteran itu sangat bermakna untuk kita bekerja lebih kuat,” katanya.

Datuk Shahrizat Abdul Jalil turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ di Masjid Al-Akram, Datuk Keramat. — Foto oleh Choo Choy MayAhli jawatankuasa kerja pusat Dr Mujahid Yusof Rawa pula berkata jasa dan pengorbanan Dr Lo’ Lo’ akan terus dikenang.

“Ia adalah satu kehilangan besar dan jasa beliau kepada parti dan masyarakat akan terus dikenang, malah perjuangan beliau dalam isu tanah Kampung Baru akan terus kami perjuangkan,” katanya.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sumbangan Dr Lo’ Lo’ kepada parti dan rakyat akan terus diperjuangan parti Islam itu.

“Saya merasakan satu kehilangan besar kerana jasa dan perkhidmatan beliau, malah sumbangan beliau ini akan dikenang sepanjang zaman.

“Beliau seperti sebutir permata yang berharga, beliau juga seorang pemimpin yang tegas, berpegang kepada prinsip dan sentiasa kental dalam memperjuangkan nasib rakyat walaupun berada dalam keadaan tidak sihat,” katanya.

Dr Lo’ Lo’ aktif dalam Dewan Muslimat PAS tetapi sejak 8 Mac 2008, banyak menumpukan perhatiannya ke atas kawasan Parlimen Tititwangsa yang dimenanginya, dengan menewaskan calon BN, Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Menurut Ahli Parlimen Subang dari PKR Sivarasa Rasiah, beliau memahami penderitaan yang dihadapi Dr Lo’ Lo’ kerana turut menderita kanser lebih 10 tahun lalu.

“Bila saya mendapat tahu mengenai kematian beliau, saya rasa sangat sedih kerana saya dan beliau ada persamaan... saya juga pernah menderita kanser lebih 10 tahun lalu tapi kanser yang dihadapi beliau lebih teruk.

“Dr Lo’ Lo’ adalah seorang pemimpin yang dihormati di Parlimen, beliau bukan sahaja dihormati pimpinan Pakatan Rakyat tetapi Barisan Nasional (BN) juga,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata kematian Dr Lo’ Lo’ merupakan satu kehilangan besar kepada penduduk di Kampung Baru.

“Selama ini beliau memperjuangkan isu Kampung Baru dan ia satu kehilangan yang besar kepada kami.

“Beliau juga antara pemimpin yang langtang bersuara di Parlimen,” katanya.

17 July 2011

MP PAS Titiwangsa Dr Lo' Lo' 'kritikal'



dr lo' lo' ghazali
Ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo Mohd Ghazali dikatakan kini dalam kritikal daripada penyakit barah yang dialami pemimpin PAS tersebut.

Ketika dihubungi, seorang ahli keluarganya, mengesahkan aktivis tersebut dalam keadaan kritikal. Anggota keluarga kini berkumpul menemani beliau.

"Beliau hanya diberi sedatif oleh doktor, dan sedang berehat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
"Kami minta orang ramai mendoakan kesihatannya," tambahnya.

Lo'Lo adalah anak perempuan bekas mufti Perak, Datuk Mohd Ghazali Abdullah.
Beliau sangat aktif dalam Dewan Muslimat PAS tetapi sejak 8 Mac 2008, banyak menumpukan perhatiannya kepasda parlimen Tititwangsa, yang dimenanginya, dengan menewaskan calon BN, Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Perhimpunan aman : Cakap tak serupa bikin siapa nak percaya


SEREMBAN: Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata ada pihak tertentu yang kini sengaja memfitnah dan memburukkan polis agar orang ramai hilang keyakinan terhadap pasukan itu.

Beliau berkata tindakan berbentuk hasutan itu harus dihentikan segera atau berdepan dengan tindakan kerana perbuatan mereka turut menjejaskan nama negara.

"Jika mereka masih meneruskannya, kita akan fikirkan tindakan yang akan kita ambil terhadap mereka. Mana yang melampau itu kita akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita, di sini Sabtu.

Khalid berkata antara cerita yang tersebar ialah polis berlaku ganas dan zalim kepada mereka yang berhimpun secara haram di ibu negara pada 9 Julai lepas.

"Apa yang sebenar dibuat oleh polis pada perhimpunan Bersih 9 Julai lepas ialah melaksanakan tanggungjawab kita dalam menguatkuasakan undang-undang...itu saja. Kita tidak buat lebih daripada menguatkuasakan undang-undang yang ada di negara kita.

"Jadi, saya seru pada masyarakat supaya jangan terpengaruh dengan dakyah dan fitnah mereka ini yang sengaja ingin rakyat percaya bahawa polis bertindak zalim, ganas dan sebagainya," katanya.

Mengenai desas-desus perhimpunan serupa akan diadakan sekali lagi, Khalid berkata tidak salah untuk pihak berkenaan berhimpun asalkan dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Hantar permohonan dulu dan kita akan proses permohonan mereka. Jika perhimpunan ini dibuat mengikut landasan undang-undang yang betul, insyaAllah, kita akan beri kebenaran dan kita akan sokong lagi...kita akan beri bantuan lagi," katanya.

Bagaimanapun kata beliau, jika diketahui penganjur sengaja hendak berhimpun di jalanan dengan niat mencetuskan kekacauan maka polis tidak akan membenarkannya.

-BERNAMA

16 July 2011

Bunuh diri bukan, dibunuh pun bukan.

KUALA LUMPUR, 15 Julai — Pegawai Kastam Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed yang ditemui mati di presmis SPRM Kuala Lumpur April lalu tidak membunuh diri dengan terjun ataupun dibunuh, demikian menurut pegawai forensik hari ini.
DSP Sharul Othman Mansor berkata berdasarkan penelitiannya di kawasan kejadian, Allahyarham Sarbaini cuba untuk melompat ke arah gelanggang badminton tetapi terjatuh menyebabkan kematiannya.
Sharul, saksi kedua memberitahu mahkamah bahawa keadaan Sarbaini di tempat kejadian iaitu dengan mukanya menghala ke arah tingkap menunjukkan tiada kemungkinan dia ditolak.
Para hari kejadian, Sarbaini bertemu dengan pegawai SPRM di tingkat tiga dan ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu.
Malah Sharul berkata, pasukannya menemui beberapa kesan retakan dan kesan tapak kasut pada dinding pantri di tingkat tiga dan bilik di sekitar serta di luar pantri.
Selain itu, Sharul juga memberitahu mahkamah koroner baahwa tiada tanda adanya pergelutan.
“Jika ada pergelutan, maka akan ada tanda-tanda kotor di pantri, kesan kasut dan cap jari,” kata beliau sambil menambah sudah pasti ada tanda-tanda kotor pada badan mangsa dan juga kesan koyakan pada bajunya.
Sharul juga memberitahu bahawa Allahyarham Sarbaini telah menggunakan masa sepenuhnya untuk keluar dari tingkap sebab dia pernah berada di bilik pertemuan dengan pegawai SPRM sebelum ini dan kemungkinan sudah biasa dengan keadaan sekitar.
Menurut beliau, pemeriksaan pihaknya juga menunjukkan bumbung gelanggang badminton kelihatan selari dengan tingkap.
“Ia kelihatan dekat tetapi sebenarnya sembilan kaki (tiga meter) jauh dari hujung tingkap,” katanya lagi.
Sharul juga berkata beliau ada menemui kesan cat pada tali pinggang dan seluar Allahyarham Sarbaini.
Sehubungan itu, Sharul bersetuju dengan tafsiran peguam SPRM Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah bahawa keterangannya menunjukkan kematian Sarbaini bukan kerana membunuh diri ataupun dibunuh.
“Pada pendapat saya dia keluar dengan perlahan dan senyap kerana dia ditinggalkan berseorangan serta biasa dengan bilik-bilik di aras tiga.
“Saya percaya dia bukan keluar dalam keadaan tergesa-gesa. Saya setuju bahawa tingkap disebelah kiri di pilih kerana ia paling dekat dengan bumbung dan sinki diperlukan sebagai tempat bertenggek,” katanya.
Terdahulu ketika memberi keterangan pada hari pertama Inkues, Sharul menyatakan pendapatkan kepada Mahkamah Koroner bahawa hasil pemeriksaannya mendapati Allahyarham Sarbaini cuba keluar dari tingkap pantri di aras tiga kemudian cuba melompat ke bumbung di sebelah kiri dan terjatuh.
Saksi bersetuju bahawa berdasarkan saiz badan, arwah boleh keluar dari tingkap tersebut dan tingkap sebah kiri dipilih kerana ia paling hampir dengan bumbung dan kedudukan tingkap yang tinggi memerlukan sinki sebagai tempat bertenggek.
Sharul juga bersetuju bahawa jam yang dipakai arwah tercabut adalah perkara biasa bagi orang yang mati akibat jatuh dari tempat tinggi.
Katanya dia percaya bahawa arwah jatuh dengan kaki dahulu kemudian terhempap ke depan.
“Sarung telefon bimbit tidak terkesan kerana ia terletak di bahagian tepi pinggang (menunjukkan sisi kiri) dan tidak dihempap oleh tubuh simati.
“Saya juga percaya ketika jatuh si mati menghadap ke pantri bukan membelakangi pantri,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwaraya Hanim Rashid.
Saksi ke 26, Ketua Unit Alkohol dan Toksikologi, Jabatan Kimia Malaysia, Dr Mohd Sukri Hassan maklumkan hasil ujian ke atas semua spesimen urin, darah, kandungan isi perut arwah yang diterimanya tiada kandungan dadah, racun atau racun perosak ditemui.
Katanya bagi spesimen tiub darah yang dianalisa kandungan alkohol dikesan tetapi bukan pada paras ketara.
Sarbaini, penolong pengarah Kastam yang disiasat dalam Operasi 3B, ditemui mati di pejabat SPRM Kuala Lumpur di Jalan Cochrane pada 6 April lalu ketika datang secara sukarela bagi menukar pengakuannya.
Sebanyak 27 saksi telah selesai memberi keterangan di hadapan Koroner Aizatul Akmal Maharani sehingga hari ini.
Inkues akan disambung pada 2 Ogos ini.

S/R : Bahaya bangunan SPRM ni, kena pindah sebelah hospital sebelum banyak lagi kes-kes pelik berlaku.Tapi kat Malaysia je perkara ni berlaku.

14 July 2011

Demam kuning terus melanda Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Julai — Warna kuning terus menjadi isu, kali ini penganjur program Larian Untuk Kehidupan atau Relay For Life menafikan ia ada kaitan dengan perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu.

Selain mengharamkan Bersih 2.0, Putrajaya juga mengisytiharkan bahawa kemeja-T berwarna kuning yang tertera mesej tuntutan pembaharuan pilihan raya juga diharamkan.

Larian anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) itu akan berlangsung di stadium Universiti Kebangsaan Malaysia pada Sabtu dan Ahad ini.

Penasihat Kehormat NCSM Datuk Zuraidah Atan berkata, warna kuning merupakan warna simbolik antarabangsa bagi kanser dan program ini telah masuk kali ketujuh.

“Kebetulan tahun ini kami memilih warna kuning untuk baju larian,” kata beliau dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Zuraidah berkata terdapat dua warna yang telah dipilih sempena program tersebut iaitu penghidap kanser akan memakai baju berwarna ungu manakala bukan pesakit akan memakai baju berwarna kuning.

“Selain merah, jambu, hijau dan biru, kuning juga merupakan warna yang sering digunakan untuk program-program kanser.

“Saya berharap tidak ada pihak yang salah faham atau cuba mengambil kesempatan di atas kebetulan ini kerana kami hanya menjalankan tugas murni untuk membantu pesakit kanser dan berharap orang ramai turut memberi sokongan yang sepenuhnya,” katanya.

Peserta akan berjalan kaki selama 16 jam tanpa henti di trek stadium sebagai lambang usaha yang berterusan melawan kanser.

Penganjur dan penyokong Bersih 2.0 mahu menjadi setiap Sabtu sebagai hari mengenakan simbol berwarna kuning bagi meneruskan kempen pembaharuan pilihan raya di Malaysia.

Sejak sebulan lalu, penggunaan warna kuning dan perkataan “bersih” menjadi polemik di kalangan rakyat negara ini.

11 July 2011

Video bukti menunjukkan 'KEMESRAAN' Polis Malaysia membersihkan peserta BERSIH








Samad Said: PRU-13 ada sinar harapan perubahan



KUALA LUMPUR, 11 Julai — Di sebalik perkembangan sosiopolitik semasa, Datuk A. Samad Said yang dilihat sebagai “ikon baru” berkata, sudah tiba masa tampuk kepimpinan negara memperlihatkan perubahan dengan diterajui oleh kalangan rakyat dan pilihan raya umum ke-13 akan membawa sinar harapan.

“Sudah tiba waktunya, rakyat pula yang berada di tampuk kuasa,” kata beliau pada satu ceramah di Taman Melewar dekat sini malam tadi.

Kata Sasterawan Negara ini, “selagi (golongan) bangsawan yang berada di atas, sampai bila-bila saya rasa mereka tidak akan dapat merasakan apa yang dirasai oleh rakyat.”

Sehubungan itu, seniman berusia 76 tahun ini yang menjadi tumpuan ketika perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara baru-baru ini menambah, pilihan raya umum ke-13 pasti akan ada sinar harapan untuk melihat perubahan tersebut.

Samad juga berkata sepanjang lima dekad Malaysia hanya dipimpin oleh golongan bangsawan seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Hussein Onn dan Tun Abdul Razak Hussein — kesemuanya golongan yang mempunyai harta dan pangkat.

Malaysia kini dipimpin oleh perdana menteri yang keenam iaitu Datuk Seri Najib Razak, anak kepada Razak.

Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi masing-masing merupakan perdana menteri keempat dan kelima.

Dalam ceramahnya, Samad juga berkata, seorang sasterawan tidak perlu hanya menulis semata-mata tetapi mereka juga perlu bertindak.

Oleh itu jelas beliau, sebagai seorang sasterawan, mereka tidak perlu takut dengan penulisan yang dihasilkan, yang mampu bertindak ke atas sesuatu isu.

“Seorang sasterawan, tugasnya ialah mencipta dan merakamkan apa yang berlaku dalam masyarakat. Itu yang saya lakukan lebih 50 tahun. Merakam sahaja. Saya tidak berapa suka untuk merakam sahaja apa yang berlaku. Saya cemburu dengan masyarakat yang boleh bertindak dalam sesuatu perkara,” katanya.

Justeru kata Samad, apabila beliau dijemput menyertai Himpunan Bersih 2.0 secara rasmi, beliau menulis puisi yang bertajuk “Unggun Bersih”.

Samad berkata beliau ada dua lagi karya yang dihasilkan berkaitan Himpunan Bersih 2.

Samad telah membacakan sebuah puisi “Unggun Bersih” pada majlis pelancaran Himpunan Bersih 2.0 pada 19 Jun lalu di ibu negara, sekali gus membawa kepada tindakan pihak berkuasa menyoal siasat beliau atas dakwaan menghasut.

Di sebalik perhimpunan Bersih 2.0 kelmarin, Samad merupakan antara beberapa personaliti bersama 600 penyokong gabungan menuntut pembaharuan pilihan raya tiba di Stadium Merdeka di sebalik halangan dan sekatan ketat pihak polis.

Beliau menyifatkan perhimpunan Bersih 2.0 sebagai “satu kejayaan besar” kerana dapat menarik kehadiran begitu ramai, didakwa dalam lingkungan 50,000 orang.

Polis menganggap hanya 6,000 orang hadir kelmarin.

10 July 2011

08 July 2011

46 peguam PAS mula bertugas malam ini

KUALA LUMPUR, 8 Julai: 46 peguam PAS akan mula bertugas jam 10 malam ini bagi memberikan khidmat kepada peserta perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara esok.

Mereka memenuhi pejabat Agung PAS bagi mengikuti taklimat tugas mereka dan menerima pakaian khas yang akan mereka gunakan sepanjang menjalankan tugas itu.

Pasukan yang diketuai oleh Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS, Haji Asmuni Awi itu akan berada di semua kawasan yang dijangka akan ada orang yang berhimpun sempena perhimpunan itu.

Di samping mempunyai nombor hotline, mereka juga akan berada di stesyen-stesyen yang ditetapkan mengikut giliran tugasan mereka.

46 peguam ini tidak termasuk 120 peguam yang disediakan oleh Majlis Peguam untuk menyeliakan perhimpunan Bersih 2.0 ini.

Selain mengiringi pimpinan PAS, para peguam ini akan berada di pusat-pusat tahanan sementara yang dijangka akan dibuka oleh polis untuk menahan peserta perhimpunan kali ini.

Mereka akan bertugas dari jam 8 pagi esok hinggalah jam 2 pagi ekoran tindakan polis mengetatkan sekatan terhadap perhimpunan ini.

Antaranya mendapat perintah dari mahkamah terhadap 91 pemimpin Bersih, PAS, PKR, DAP, Pemuda Umno dan Perkasa.

Perintah larangan itu diperolehi polis Kuala Lumpur daripada majistret untuk menghalang 91 pemimpin daripada tiga kumpulan utama yang merancang untuk berhimpun pada 9 Julai.

Perintah berkenaan melarang semua individu tersebut – daripada PERKASA, BERSIH 2.0 dan PATRIOT supaya tidak hadir atau mengambil bahagian dalam perhimpunan berkenaan.

Timbalan ketua polis Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Datuk Amar Singh Ishar Singh (kanan, tengah) berkata, pelanggaran perintah berkenaan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan.

"Perintah larangan ini adalah untuk mengelakkan dari perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam atau mendatangkan bahaya kepada nyawa atau keselamatan manusia," katanya yang membacakan satu kenyataan.

Seramai 66 orang invididu yang dinamakan dalam perintah larangan bagi kumpulan BERSIH 2.0 termasuk pengerusinya Datuk Ambiga Sreenevasan, timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dan aktivis Hishamuddin Rais.

Seramai 14 orang daripada kumpulan PERKASA pula termasuk presidennya Datuk Ibrahim Ali serta barisan pemimpin tertingginya – Datuk Ab Rahman Ab Bakar dan Syed Hassan Syed Ali.

Polis turut mendapat perintah larangan bagi menghalang seramai 11 orang pemimpin pemuda Umno yang mendukung Perhimpunan PATRIOT termasuk ketuanya Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta Datuk Megat Firdouz Megat Junid dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Turut disenaraikan adalah beberapa pemimpin Pakatan Rakyat seperti Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang. 
-harakahdaily-

TERKINI