28 December 2011

Keadaan Banjir Di Empat Negeri Tidak Banyak Berubah

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di beberapa negeri tidak banyak berubah setakat 6 petang Selasa dengan Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi mangsa banjir.

Seramai 7,592 mangsa banjir membabitkan 1,632 keluarga dipindahkan ke 20 pusat pemindahan di Sarawak setakat lima petang semalam.

Di KUCHING, jurucakap bilik gerakan banjir negeri ketika dihubungi Bernama berkata 20 kawasan rendah di empat bahagian di negeri berkenaan terjejas teruk akibat banjir berikutan hujan lebat sejak tiga hari lalu dan fenomena air pasang besar.

Empat bahagian tersebut ialah Kuching, Samarahan, Sibu dan Sri Aman, katanya.

"Kawasan paling teruk ialah Kampung Simpok di Kuching dengan 1,610 penduduk terjejas, Sadong Jaya di Samarahan (1,302), Ulu Balingian di Sibu (424) dan Pantu di Sri Aman (74)," katanya.

Menurut jurucakap itu, jumlah mangsa banjir dijangka bertambah pada sebelah malam berikutan hujan berterusan di beberapa kawasan di Sarawak serta air pasang besar.

Di SANDAKAN, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan meningkat kepada 351 orang setakat 5 petang berbanding 194 pada 9 pagi Selasa.

Jurucakap Bilik Operasi Majlis Perbandaran Sandakan berkata kesemua mangsa daripada 101 keluarga dari Kampung Gum-Gum, ditempatkan di Dewan Sri Gum-Gum.

Katanya mangsa banjir yang balik ke rumah pada sebelah pagi diarahkan berpindah semula ke pusat pemindahan ekoran hujan berterusan sejak semalam hingga Selasa, dan dikhuatiri air Sungai Gum-Gum meningkat secara mendadak.

Di daerah Beluran, air banjir telah mula naik di Kampung Pinampadan, Paitan tetapi sehingga petang semalam belum ada penduduk yang dipindahkan.

Penduduk di Kampung Tangkarason, Tanjung Nipis dan Simpangan juga diarahkan bersiap sedia untuk berpindah sekiranya air sungai di kampung itu meningkat secara mendadak.

Di ROMPIN, jumlah mangsa banjir menurun kepada 567 daripada 118 keluarga, berbanding 619 orang pagi semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin berkata pusat pemindahan banjir Dewan Teluk Gading yang sebelum ini menempatkan 52 mangsa, ditutup 3.30 petang semalam.

Beliau berkata 430 mangsa masih berada di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pianggu dan 137 lagi di SK Sarang Tiong.

"Mereka masih perlu berada di pusat pemindahan berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku di kampung mereka yang menyebabkan banjir," katanya ketika dihubungi.

Antara kampung yang terjejas akibat fenomena itu ialah Kampung Sarang Tiong, Kampung Pianggu, Kampung Setajam dan Kampung Garung.

Di JOHOR, 1,177 mangsa banjir berada di pusat pemindahan di tiga daerah sehingga petang ini berbanding 1,214 orang pagi semalam.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara, setakat pukul 6 petang, kesemua mereka ditempatkan di 17 pusat pemindahan iaitu lapan di Segamat, enam di Mersing dan tiga di Batu Pahat.

Jalan tanah merah menuju ke Kampung Orang Asli Peta di Taman Negara Endau Rompin yang sebelum ini ditenggelami air, kini sudah boleh dilalui kenderaan. - BERNAMA 


S/R : Ujian buat negeri yang kuat dengan 'gelombang biru'nya.

TERKINI