05 April 2012

'Pas tidak lepas tangan isu murtad'


KUANTAN – Pas tidak melihat pendedahan video murtad dibuat bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali kelmarin sebagai satu konspirasi menjatuhkan parti itu memandangkan isu dibangkitkan langsung tidak memberi kesan memandangkan ia bukan parti yang memerintah kerajaan pusat.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya tidak mahu isu murtad dijadikan bahan polemik, tetapi melihat sebagai perkara serius yang merupakan tanggungjawab bersama bagi menangani sebarang perkara berkaitan akidah orang Islam.

“Tindakan Hasan itu tidak memberi kesan memandangkan selama ini Pas tidak lepas tangan menangani isu murtad yang dianggap perlu ditangani bersama secara tegar.

“Sepatutnya beliau tidak menunggu terlalu lama untuk melakukan sebarang tindakan memandangkan rakaman tersebut dikatakan berlaku sekitar 2002 lagi.

“Pada ketika itu Hasan merupakan Pesuruhjaya Pas Selangor juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, jadi dia mempunyai kuasa bertinda,k namun mengapa baru sekarang ingin membuat tindakan sebegini,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya, justeru tindakan Hasan telah menampakkan kelemahan kepimpinannya ketika itu, yang tidak mampu menangani perkara tersebut.

“Sepatutnya melalui pengakuan tersebut Hasan bertindak dengan segera bersama pihak berkuasa yang bertanggungjawab.

“Melalui rakaman tersebut mereka sudah boleh memanggil mereka yang terlibat untuk disoal siasat bagi mendapatkan penjelasan lebih lengkap dan tepat.

“Bukan dengan mencari jalan menunggu masa sesuai melakukan pendedahan lisan yang boleh mencetuskan kekeliruan,” katanya.

Beliau menegaskan, Hasan perlu membuat laporan di Jabatan Perdana Menteri dan mengambil tindakan susulan berkaitan isu ini.

“Perkara ini perlu ditangani dengan cara betul dan bukannya membangkit isu yang boleh diprovokasi. Banyak lagi perkara yang turut dipandang serius dalam usaha memansuhkan perkara murtad.

“Sebagai contoh, Orang Asli yang sudah memeluk Islam kembali kepada ajaran mereka, pengikut ajaran sesat dan banyak lagi,” katanya.


-SH-




TERKINI