07 February 2012

Laporan polis dibuat isu pemecatan 2 pemimpin NUBE



Gara-gara tidak berpuashati dengan pemecatan dua peneraju tertingginya, hari ini anggota Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) cawangan Melaka membuat satu laporan polis.

Mereka melakukan tindakan itu ekoran pemecatan naib presidennya, Abdul Jamil Jalaludeen dan Bendahari Agung, Chen Ka Fatt sebagai pekerja Maybank 31 Januari lepas.


Laporan berkenaan dibuat oleh bendahari kesatuan itu, cawangan Selatan Kamarudin Bujang mewakili 1,000 ahli kesatuan itu.



Menurut Kamarudin, Abdul Jamil yang bekerja di Maybank cawangan Pulau Pinang dan Chen di cawangan Ipoh Perak itu dipecat atas kesalahan memegang sepanduk di luar bangunan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva, tahun lepas yang disiarkan di laman sesawang kesatuan itu.

Bagaimanapun, katanya pemecatan tersebut tidak sepatutnya berlaku dan ia bertentangan dengan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Beliau berkata setiap ahli NUBE dilindungi oleh akta tersebut dan mereka berhak mengadakan piket sekiranya menghadapi pertikaian perusahaan sehingga gagal menemui jalan penyelesaian terbaik.

"Alasan pemecatan itu tidak relevan, kejadian itu telah lama berlaku dan mereka dipecat hanya kerana gambar mereka sedang berpiket bagi memperjuangkan tuntutan 80 bulan bonus prestasi pekerja Maybank sejak 10 tahun lepas.

"Jadi kami anggota NUBE di seluruh negara iaitu seramai 30,000 berharap pemecatan itu dapat ditarik semula.

"Kami berharap satu rundingan dapat dilakukan dengan kadar segera bagi menyelesai segala masalah sedia ada," katanya ketika ditemui di Balai Polis Banda Hilir, di sini.

Setakat ini, menurut Kamarudin, aduan sudah dibuat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Kementerian Sumber Manusia dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Ia dilakukan bagi menyelesaikan pelbagai masalah dalaman dihadapi pekerja Maybank bagaimanapun sehingga kini tiada tindakan diambil.


-MKINI-

TERKINI