23 May 2011

Kematian Ahmad Sarbani: "Keterlanjuran" pegawai penyiasat cungkil keraguan

"Keterlanjuran" seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mencungkil keraguan balu kepada Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed, yang pada asalnya telah "redha" dengan kematian suaminya.  Maziah Manap, terkejut dengan kenyataan "Bukan saya...Orang saya" dari bibir seorang pegawai penyiasat SPRM bernama Ghani, dalam satu perjumpaan pada 28 April 2011.
Maziah Manap (gambar kiri) membuat repot polis pada 2 Mei 2011 di Balai Polis Kelana Jaya, mengesyaki bahawa Ghani telah "terlepas cakap", semasa perjumpaan di pejabat Kastam dengan mendedahkan siapa yang bertanggungjawab di dalam kes kematian suaminya.  Maziah berharap agar polis akan menyiasat maklumat tersebut.
Dalam perjumpaan pada 28 April, Maziah telah meluahkan perasaannya kepada pegawai penyiasat, termasuk Ghani.  Di akhir luahannya, Maziah menyatakan bahawa dirinya redha dengan kematian suaminya, seterusnya bertanya soalan, "Apakah Encik Ghani akan buat sekiranya Encik Ghani berada di tempat saya?"
Apa yang mengejutkan Maziah adalah "jawapan yang perlahan daripada Ghani, yang menyatakan "BUKAN SAYA... ORANG SAYA".  Maziah menyusul dengan pertanyaan "ORANG?", namun Ghani terus mendiamkan diri dan Jariyana bt Yusof terus mengajak Ghani keluar kerana ada operasi.
Demikianlah repot polis yang dibuat oleh Maziah pada 2 Mei 2011, didedahkan oleh ADUN Teja, Chang Lih Kang dalam satu ceramah di Tualang Seka pada malam 20 Mei 2011.
Serah dokumen peribadi
Menurut repot polis tersebut, sepasukan anggota SPRM telah datang ke pejabat Maziah Manap di Shah Alam pada 27 April 2011.  Bagaimanapun, Maziah tidak berada di pejabat ketika itu, dan anggota keselamatan syarikat itu diberitahu bahawa tujuan lawatan SPRM adalah untuk menyerah dokumen peribadi Allahyarham Ahmad Sarbani kepadanya.
Temujanji diaturkan pada 28 April, setelah Maziah menghubungi Tuan Hj Sarip, Penolong Kanan Pegawai Kastam di bahagian pengurusan.  Pada 10.30 pagi 28 April, Maziah bersama dua orang anaknya Sabtiyah dan Syahirah sampai di pejabat Kastam Subang Jln LTS ASS Subang.  11 dokumen diserahkan oleh Jariyana bt Yusof dari SPRM, sambil disaksikan oleh Sarip, dan pegawai penyiasat kes suaminya, Ghani.  Maziah pula ditemani dua orang anaknya dalam bilik di mana dokumen diserahkan.
Kejadian "terlepas cakap" berlaku selepas penyerahan dokumen, menurut repot polis.  Malah, seorang lelaki Melayu yang memperkenalkan diri sebagai "Ghani dari SPRM" menelefon anak Maziah pada 29 April, untuk meminta nombor telefon Maziah.
Kejadian ini telah mencungkil keraguan Maziah Manap tentang punca kematian suaminya, Ahmad Sarbani.  Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani, 56, dijumpai mati di gelanggang badminton selepas jatuh daripada tingkat tiga bangunan SPRM di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur pada 6 April 2011.
Sarbani antara 62 pegawai kastam yang ditahan dalam "Operasi 3b" yang dijalankan SPRM pada 1 April lalu di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah, penggubahan wang haram dan beberapa kesalahan lain.  Kematian Ahmad Sarbani adalah kes kematian kedua dalam tahanan SPRM, selepas kes Teoh Beng Hock pada 16 Julai 2009.  73 pertubuhan sivil mendesak agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kes kematian ini.
Bagaimanapun, pada 21 April, Ketua Polis Kuala Lumpur Zulkifli Abdullah berkata penelitian penuh yang dijalankan beberapa pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan jabatan kimia merumuskan bahawa punca kematian Ahmad Sarbani adalah kerana kecederaan parah di kepala selepas terjatuh dari tempat tinggi.
Zuklifli Abdullah menambah, laporan kematian mengejut (Sudden Death Report) Ahmad Sarbani (gambar kanan) akan dihantar kepada Peguam Negara dalam masa satu minggu.  Dengan kata lain, laporan tersebut telah dihantar sebelum Maziah membuat laporan polis pada 2 Mei 2011.
Ketika dihubungi MerdekaReview, Ghazali Ramli, iaitu peguam Maziah Manap berkata polis pernah menghubungi Maziah untuk mengambil keterangan.  Namun demikian, sebagaimana yang diketahuinya, polis tidak berbuat demikian setakat ini.
"Laporan media seolah-olah suami saya kaki rasuah"
MerdekaReview juga menghubungi Maziah Manap, dan beliau meluahkan perasaannya bahawa laporan media arus perdana tidak adil untuk dirinya.  Misalnya, media melaporkan bahawa dirinya memiliki empat buah kereta, tanpa menyatakan apa jenis kereta itu.  "Saya pandu (kereta) kancil salah ke?" tanya Maziah Manap, yang bekerja sebagai seorang supervisor.
Jelas, Maziah kelihatan agak berhati-hati dengan media, sepanjang temuramah dijalankan.  Beliau akan merenung sebelum berkata sesuatu kepada wartawan.
"Reaksi masyarakat terbahagi kepada dua, yang kenal I,percaya I, sebab mereka tahu cara hidup saya.  Yang tak kenal I, kutuk I.  Laporan media itu seolah-olah suami saya kaki rasuah.  Saya pasti suami saya tidak makan rasuah dan tidak membunuh diri," kata Maziah Manap.
Pada 12 April, peguam Maziah Manap, Ghazali Ramli mengisytiharkan harta Ahmad Sarbani secara terperinci, iaitu tiga buah kereta (Kancil, Honda CRV second hand, Proton Persona); sebuah motorsikal Modenas Kriss; satu unit apartment di Klang bernilai RM65,872; satu unit apartment di Puncak Alam bernilai RM68,988; satu unit rumah semi-D di Saujana Impian, Sungai Buluh bernilai RM230,000 (dibeli dengan pinjaman kerajaan dan wang simpanan KWSP isterinya), dan simpanan Amanah Saham Bumiputera yang bernilai RM35,000.-Merdekareview-

Usahawan IKS dakwa Melaka lebihkan pelabur asing


Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil Dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) mendakwa kerajaan negeri Melaka lebih menjaga kepentingan pelabur asing berbanding peniaga kecil yang terdiri daripada warga tempatan.

Presidennya, Mohd Redzuan Abdullah berkata, sebagai bukti, beberapa isu yang dihadapi kini membabitkan kira-kira 100 peniaga kecil yang diarah berpindah dari premis perniagaan asal mereka atas alasan projek pembangunan.

Menurutnya, antara lokasi yang menjadi pertikaian kini termasuklah peniaga sekitar gerai milik Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bersebelahan bangunan Hatten Square di Banda Hilir, peniaga di Taman Mini Malaysia dan Taman Buaya.

Katanya, kerajaan negeri tidak serius di dalam menangani masalah mereka apatah lagi terus mengabaikan soal kebajikan peniaga terlibat hanya semata-mata ingin memastikan projek pembangunan yang dirancang terlaksana.

"Kami melihat tindakan kerajaan negeri lebih memihak kepada pelabur asing demi untuk menjaga hati mereka sedangkan segala tuntutan peniaga dan kesusahan yang dihadapi peniaga setelah berpindah langsung tidak diendahkan.

"Memang ada mereka beri pampasan atau sagu hati tetapi jumlah yang diberikan bagi kami terlalu kecil berbanding kesulitan terpaksa ditanggung peniaga akibat perpindahan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan perjumpaan dengan lebih 20 peniaga kecil di Banda Hilir yang terlibat dengan arahan berpindah.

Hitam putih

Mohd Redzuan berkata, keadaan yang berlaku menampakkan nasib peniaga kecil tempatan yang sebilangan besarnya terdiri dari kaum Melayu tertindas setelah dikatakan sekadar memberikan pampasan yang dianggap langsung tidak masuk akal.

"Kita tidak mahu kerajaan negeri Melaka menekan peniaga Melayu ini, kerana asyik menyuruh mereka berpindah randah yang belum tentu ada jaminan boleh menempatkan semula di sini berikutan tiada sebarang hitam putih.

"Ikhlas tidak menghalang hasrat kerajaan negeri Melaka untuk menaiktaraf lokasi perniagaan terlibat tetapi biarlah kena dengan caranya.

"Bagi kami, sekurang-kurangnya biarlah pampasan yang diberi munasabah dan sesuai dengan kesulitan yang bakal ditempuhi peniaga," katanya.

Malaysiakini difahamkan, setakat ini, 16 peniaga yang terlibat di Gerai MBMB di Banda Hilir bakal menerima sebanyak RM800 sebulan sebagai saguhati selama projek membina terminal bas pelancong dua tingkat siap sepenuhnya.

Buat sementara, sebahagian daripada mereka akan ditempatkan di gerai sementara di Taman Rempah, Sungai Melaka manakala sebahagiannya ditempatkan di Heritage Bazar, Dataran Pahlawan dan beberapa gerai milik MBMB sekitar bandaraya tersebut.

Dalam pada itu, menurut Mohd Redzuan, nasib berbeza dialami kira-kira 11 peniaga kendalian Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) di Taman Mini Malaysia apabila sekadar diberikan sebanyak RM500 sebulan sepanjang projek menaik taraf premis perniagaan mereka siap.

Tak jaga kebajikan Melayu

Jumlah berkenaan, katanya langsung tidak masuk akal meskipun beberapa kali pihak terlibat menyatakan rayuan kepada PKNM.

"Mereka (PKNM) ingat, jumlah RM500 besar, sedangkan hari ini belanja pasar pun tidak cukup apatah lagi untuk menampung pembayaran lain seperti hutang kereta, rumah, sekolah anak dan pinjaman lain.

"Saya hendak ingatkan PKNM, jangan hendak zalimi peniaga. Ikhlas tidak teragak-agak untuk mengumpul seberapa ramai peniaga kecil bagi menyatakan bantahan terhadap perkara ini.

"Sedangkan Perdana Menteri kata, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan tetapi dalam isu ini mereka lebih mengutamakan pelabur asing daripada peniaga kecil.

"Kalau orang Melayu sendiri tak jaga kebajikan orang Melayu maka siapa lagi. Sudah tentu bangsa lain akan lebih menekan kita," katanya.

Jelasnya, setakatnya setakat ini, peniaga di Taman Mini Malaysia masih tidak diberikan jaminan bahawa mereka akan ditempatkan kembali ke premis asal mereka sebaik projek itu siap nanti.

"Begitu juga, peniaga di Taman Buaya, Ayer Keroh yang turut diarah berpindah sedangkan sehingga kini mereka masih belum menerima sebarang hitam putih
mengenai perkara itu," katanya.


selendangrakyat :
Mana PERKASA? mana UMNO? mana KIMMA? taknak buat demo ke? Mana Utusan Meloya?taknak lancar perang jihad ke? Melayu sedang diperkotak-katikkan ni...

TERKINI