06 June 2011

Dasar negara gagal, kerajaan pinggir kebajikan rakyat – Dr Abu Hassan


KUALA LUMPUR: Pensyarah Kanan Jabatan pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, banyak dasar negara di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional, gagal mencapai matlamat.

Dalam masa yang sama, katanya, kebajikan rakyat terus dipinggirkan seperti langkah penarikan balik subsidi, sekaligus bertentangan dengan hasrat negara mencapai status negara maju.

“Kita boleh lihat banyak dasar yang gagal, contohnya dasar perumahan negara. Rumah dibina, tetapi boleh ‘membunuh’ kita. Sistem pengangkutan awam teruk. Kadar jenayah meningkat.

“Walhal dengan takrif menuju negara maju, sepatutnya Malaysia telah lama menyelesaikan masalah ini. Takrif negara maju ialah kebajikan yang tak harus menjadi beban. Subsidi adalah kebajikan. Negara maju adalah negara mengutamakan kebajikan rakyatnya,” tegas Abu Hassan.

Menurut nya lagi, pada masa depan, keputusan politik yang ditentukan pengundi tidak lagi bersandar kepada isu peribadi, tetapi melibatkan soal ekonomi dan kebajikan rakyat.

“Pengundi melihat ke arah mana ekonomi negara ini dipacu. Penarikan subsidi dibebankan lagi dengan kenaikan harga barangan keperluan. Dalam masa sama upah kerja tidak meningkat. Ini yang mencengkam kehidupan rakyat,” katanya ketika dihubungi Keadilandaily.com.

Beliau memberikan contoh polisi ekonomi dan politik di negara Eropah yang lebih mengutamakan kebajikan rakyatnya, berbeza dengan Malaysia yang mempunyai sumber kekayaan yang banyak.

“Jika dibandingkan dengan sumber hasil bumi, Malaysia sebenarnya jauh lebih kaya dan berpotensi melebihi negara-negara berkenaan. Justeru mana silapnya?

“Berbanding negara-negara di Eropah yang serius menjaga kebajikan rakyatnya, ia dibuktikan dengan dasar pendidikan percuma dan yuran murah melanjutkan pengajian di Universiti,” katanya yang juga pengasas Zentrum Future Studies, sebuah pusat kajian masa depan mengenai politik dan ekonomi.

Dalam pada itu, beliau memberikan contoh laporan akhbar minggu lalu mengenai kejadian kemalangan melibatkan sebuah lori roti di Terengganu, di mana Penduduk kampung berhampiran lokasi kemalangan berebut-rebut untuk mengambil muatan yang ditinggalkan.

“Perkara ini menunjukkan beban kehidupan meningkat sehingga rakyat terpaksa mengambil apa jua kesempatan untuk meringankan beban, sekali pun dilihat tidak berakhlak,” katanya.

Justeru, beliau menyeru pengundi terutamanya golongan muda supaya mengubah situasi politik hari ini, ke arah politik baru demi kesejahteraan rakyat. “Politik baru ialah politik harapan masa depan yang menjamin kebebasan dan kesejahteraan. Politik baru ialah politik tanpa monopoli. Pengundi harus membuat penilaian ini,” tegasnya.

-keadilandaily-

Rasuah terus membarah : Jurulatih Bola Sepak Negeri Sembilan Dituduh Rasuah


SEREMBAN: Jurulatih pasukan bola sepak Piala Presiden Negeri Sembilan, Yusarman Yusof, 35, didakwa atas 21 pertuduhan mengatur perlawanan di Mahkamah Sesyen di sini, Isnin.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah memberi rasuah berjumlah RM24,900 kepada 11 pemain bola sepak pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan antara 19 hingga 22 April lepas.

Sebelas pemain terbabit ialah D. Adrian, Mohamad Zulfadhlie Mohamad, Muhammad Zaidi Othman, Mohamad Yatim Abdullah, Muhammad Haikal Mohamad Nazri, Norhairi Abd Rahman, Muhammad Rizqi Azman, Anwarul Hafiz Ahmad, Suhairy Johari, Hamirul Fahamie Abu Yazid dan Mohd Hafiz Mohd Nor.

Yusarman dituduh memberi suapan antara RM200 hingga RM2,000 kepada pemain pasukan itu.

Ia sebagai dorongan supaya mereka membantu menjaringkan gol dan memberi peluang kepada pemain pasukan bola sepak Piala Presiden Pulau Pinang SDM Navy menjaringkan gol apabila mendapat isyarat daripada seseorang bagi perlawanan di Stadium Bertam, Pulau Pinang pada 21 April lepas.

Sebelas daripada pertuduhan itu dilakukan di Pusat Komersial Cempaka, Taman Cempaka, Senawang dekat sini pada 5 petang 22 April lepas, manakala sembilan pertuduhan dilakukan di tempat yang sama pada 9 malam 19 April lepas dan satu pertuduhan dilakukan di sekitar Seremban pada 10 malam hari yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mohd Asri Abdul Rahman Sidik dan dibantu Jasmi Buang manakala Yusarman diwakili peguam Mohd Nor Hisham Hussain.

Hakim Datin Nursinah Adzmi membenarkan Yusarman diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Julai ini untuk sebutan kes. -BERNAMA

TERKINI