24 May 2011

Mitos karut tentang 'Holy water'


Taip sahaja di internet berkenaan Holy water dan peranannya dalam memurtadkan orang Islam maka pasti anda akan menemui banyak sekali artikel mengenainya. Holy water itu kononnya merupakan air jampi yang amat hebat di mana sekali anda terminumnya, nescaya tidak dapat mengucap dan menjadi murtad.


Jika bernasib baik, anda mungkin dapat mengucap kembali setelah minum air dari tujuh buah kolah masjid. Mengapa hebat sangat air ini? Ada yang mengatakan ia dibancuh khas dari Indonesia oleh Paderi Kristian yang berstatus tinggi. Sesetengah dari mereka pula mendakwa Holy water dibuat di Vatican City oleh Pope Kristian.


Fenomena Holy Water ini cukup menakutkan orang Islam. Tambahan pula, ramai penceramah yang menjaja kisah Holy water ini dalam ceramah-ceramah mereka di masjid-masjid. Kata mereka juga, Holy water bercampur dengan janin yang digugurkan hasil dari persetubuhan haram paderi lelaki dan wanita.


Subhanallah! Itu merupakan satu fitnah terbesar sekali yang dibuat oleh orang Islam terhadap sahabat kita orang Kristian. Mungkin, disebabkan kerana kurangnya ilmu maka kisah mengenai Holy water ini terus di forward melalui email dan diletakkan di blog-blog peribadi mahupun laman sesawang sosial. Ingatlah teguran dari Allah dalam al-Quran


"Dan janganlah sekali-kali kebencian(mu) kepada sesuatu kaum kerana mereka menghalang-halangi kamu dari Masjidil Haram, mendorongmu berbuat aniaya (kepada mereka). Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya." [Q5:2]


Sebenarnya, Holy water hanyalah merupakan air pili biasa yang dibacakan sedikit doa dan diletakkan di luar gereja. Apabila penganut Kristian beraliran Katholik ingin masuk ke dalam gereja. Mereka akan mengambil sedikit Holy water ini untuk membuat simbolik lambang salib pada badan mereka. Perbuatan ini merupakan ablution ataupun berwudhuk bagi orang Kristian. Holy water tidak pernah dibuat sebagai minuman. Orang Kristian sendiri tidak meminumnya, hanya sekadar digunakan untuk "berwudhuk".


Cuba fikirkan, jika benarlah ia begitu berkuasa, mengapa tidak sahaja dicampurkan terus ke sumber-sumber air utama penduduk dunia agar mereka semua terus murtad. Dan akhirnya, ingatlah bahawa dengan mempercayai Holy water mempunyai kuasa, maka anda telah berlaku syirik. Jika benarpun ada kes terpencil yang berlaku, maka ia hanyalah kebetulan dan tidak lain dan tidak bukan melainkan tipu daya Syaitan yang amat lemah.


"...dan tiadalah bagiku (Syaitan) sebarang alasan dan kuasa pengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan aku tetapi salahkan diri kamu sendiri..." [Q14:22]


Semoga artikel ini memberi pencerahan pada kita semua untuk tidak lagi mempercayai cerita karut ini dan seterusnya berhenti 'forward' fitnah terhadap saudara kita yang beragama Kristian.

-Artikel Iluvislam.com

Tanah runtuh: Umno jangan berlagak hero

KUALA LUMPUR, 24 Mei: Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat menasihatkan pemimpin Umno tidak mendabik dada berlagak kononnya mereka 'hero' dan paling awal membantu mangsa tanah runtuh di rumah anak-anak yatim Batu 14 Hulu Langat.

Ketika menceritakan kembali suasana sebenar hari kejadian beliau berkata, bantuan mula tiba seawal jam 3 petang iaitu kira-kira setengah jam selepas kejadian berlaku.

Antara yang terawal tiba di sana menghulur bantuan katanya adalah penyelaras PAS bagi Dun Dusun Tua, Mohd Jan Sulung bersama beberapa rakannya yang mengeluarkan mangsa pertama jam 3.15 petang.

Beliau yang tiba kira-kira jam 3.30 petang kemudiannya turut membantu mangsa bersama Unit Amal dan Briged Amal PAS dengan kehadiran pihak bomba.

"Yang ditonjol media (Adun Semenyih) (Datuk) Johan (Abdul Aziz). Padahal dia datang dah pukul 4 dan tak boleh masuk pun.

"TV3 datang ambil gambar dia seolah-olah Umno lah buat semua," katanya pada sidang media sempena pelancaran Tabung Kemanusiaan Harakah untuk mangsa tanah runtuh tersebut.

Turut serta pada sidang media itu, Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamarudin Jaffar.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang Sabtu lalu 25 pelajar serta warden Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat tertimbus oleh runtuhan tanah ketika sedang berlatih kompang dan nasyid di khemah bersebelahan cerun bukit.

Ekoran kejadian itu, sembilan daripada pelajar yang terlibat selamat dan 16 lagi terkorban.

"Dari segi senarai yang membantu itu tidak nampak la di mana-mana Briged Amal dan Unit Amal.

"Sedangkan petugas kita hampir 250 orang dan paling ramai," katanya sedikit kesal.

Menurutnya lagi, sepanjang tempoh menyelamat itu, petugas PAS antara paling menonjol sehingga mereka lah juga terlibat semasa proses pengkebumian mangsa yang terkorban.

Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun melahirkan rasa kesal kerana sumbangan dari pihak PAS seperti dikesampingkan.

Pihak polis juga semasa memberi taklimat tidak menyebut penglibatan Unit Amal dan Briged Amal dan hanya menyebut agensi-agensi lain yang hanya sebilangan kecil terlibat.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, isu publisiti itu bukanlah perkara besar bagi mereka, namun sekadar memberi respon terhadap media yang menonjolkan BN kononnya 'hero' dalam isu itu.

"Saya bagitahu dengan sahabat-sahabat di sana, ini bukan masa nak cari publisiti, tapi masa untuk kita buat kerja selamatkan nyawa seramai mungkin," jelasnya.


selendangrakyat :
Syabas kepada semua Unit Amal dan Briged Amal yang terlibat membantu dalam kejadian tanah runtuh Hulu Langat. Hanya Allah S.W.T yang akan membalas jasa kalian.

RON 95 naik 20 sen?

KUALA LUMPUR, 24 Mei — Harga petrol RON95 dijangka mengalami kenaikan 20 sen bulan depan, mencecah RM2.10 seliter, selepas kos subsidi meningkat tiga kali ganda kesan pergolakan politik di rantau Timur Tengah dan utara Afrika, demikian menurut AmResearch. Firma penyelidikan pelaburan itu menganggarkan Putrajaya kini memperuntukkan subsidi sehingga 90 sen seliter bagi petrol RON95 berbanding 30 sen seliter yang disasarkan selepas harga minyak mentah dunia naik sehingga AS$99 setong daripada AS$79 setong tahun lalu — hampir sama dengan paras AS$100 setong pada 2008.

Kali terakhir harga RON95 naik ialah pada Disember lalu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter. RON97 sudah naik empat kali tahun ini termasuk awal bulan ini untuk dijual RM2.90 seliter sekarang.

Minggu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kenaikan harga petrol RON95 mungkin berlaku dan oleh itu, rakyat perlu bersedia untuk menghadapinya.

Beliau berkata kemungkinan itu adalah memandangkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi dijangka dibuat sekali lagi bulan depan.

Beliau berkata, kerajaan masih mengkaji untuk mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut pasaran minyak dunia.

Kalau kekal dengan keadaan sekarang kemungkinan besar dari segi unjurannya, kata beliau, subsidi akan bertambah daripada RM10.3 bilion kepada RM17 bilion.

AmResearch juga berkata, subsidi petrol akan menyebabkan defisit fiskal kerajaan meningkat sehingga enam peratus berbanding 5.4 peratus jika RON95 kekal dengan harga semasa RM1.90 seliter sepanjang tahun ini.

“Kesemua faktor menunjukkan ke arah kenaikan harga RON95,” kata firma itu sambil menambah, dengan mengambil kira kenaikan berterusan harga global bagi minyak mentah dan kemungkinan naik lagi pada masa depan, kerajaan kini tersepit antara mengamalkan urus tadbir fiskal seimbang dan keperluan menggambarkan ia mengambil berat tentang kebajikan rakyat.

Justeru, AmResearch berkata kerajaan boleh memberi rebat dan menyusun semula skim saraan sektor awam untuk membantu kumpulan berpendapatan rendah, yang dihimpit dengan beban pemotongan subsidi.

Firma itu juga menambah, ia menjangkakan bahawa kadar inflasi akan naik mendadak ke arah empat peratus dalam waktu terdekat susulan pusingan pertama impak potongan subsidi ke atas makanan, pengangkutan dan tenaga.

“Secara purata, inflasi tahun ini mungkin melepasi kadar 3.5 peratus yang telah diramalkan sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, ia akan masih rendah berbanding 8.5 peratus, paling tinggi dalam 25 tahun, yang dialami pada Julai dan Ogos 2008.

Semalam, Ismail Sabri (gambar) berkata, kerajaan pusat akan mengumumkan perkembangan langkah rasionalisasi subsidi termasuk pelarasan harga petroleum minggu ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata kerajaan akan menyediakan kaedah paling sesuai untuk mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan itu.

“Tunggulah (pengumuman) dalam masa seminggu ini... kita akan membuat keputusan sama ada ingin meneruskan subsidi petrol, diesel dan gas memandangkan jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan terus meningkat dari RM8 bilion kepada RM18 bilion,” katanya.

Dalam satu kenyataan petang semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan tarif elektrik dinaikkan bulan depan, tetapi mahu pentadbiran Najib mengkaji balik konsesi pengeluar tenaga bebas (IPP) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar tidak membebankan rakyat.

Di sebalik kenyataan demi kenyataan mengenai kemungkinan pemotongan bakal dibuat oleh Putrajaya, beliau berkata, beliau sudah sekian lama menegaskan sekitar RM22 bilion subsidi gas yang diberi kepada IPP tidak memberi makna kepada rakyat, sebaliknya ia hanya memberi keuntungan kepada ahli perniagaan dan kroni rapat dengan pemerintah.

The Malaysian Insider difahamkan Kabinet dalam mesyuarat mingguannya esok akan menyentuh soal itu.

Ketua Umum Pakatan Rakyat ini berkata, merujuk kepada kenyataan demi kenyataan dikeluarkan oleh beberapa menteri berkaitan, kemungkinan tarif elektrik dijangka naik bulan depan.

Anwar berkata, isu kenaikan tarif elektrik negara ini berkait rapat dengan perjanjian berat sebelah dipaksa ke atas TNB untuk dimeterai bersama dengan IPP terutamanya dengan pengeluar tenaga swasta generasi pertama. 


-TMInsider-

TERKINI