27 May 2011

Bonus: Utusan dakwa tak mampu, tapi salur subsidiari berjuta ringgit

KUALA LUMPUR, 27 Mei — Utusan Melayu (M) Berhad menyalurkan berjuta ringgit hasil keuntungan operasi kepada anak-anak syarikatnya meskipun ia mendakwa tidak mampu membayar pekerjanya bonus kontraktual, demikian didedahkan oleh Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) hari ini.
Utusan Melayu berhujah bahawa ia tidak perlu membayar ahli-ahli NUJ bonus dua bulan gaji bagi tahun perkhidmatan 2009 sebab ia mengalami kerugian sebagai syarikat individu pada tahun berkenaan.
Artikel 44 Perjanjian Bersama antara Utusan Melayu dan NUJ cawangan Utusan Melayu memperuntukkan bahawa stafnya perlu dibayar bonus kontraktual dua bulan jika membuat keuntungan.
Bagaimanapun Mahkamah Perusahaan diberitahu baru-baru ini bahawa syarikat induk itu telah membayar RM37.5 juta daripada keuntungan operasinya kepada Utusan Media Sales Sdn Bhd, malah membayar mereka bonus dua bulan pada 2009 tetapi menafikan hak ahli-ahli NUJ, yang kebanyakannya bertugas di Jabatan Editorial Utusan Melayu.
Malah, Utusan Melayu juga tidak menuntut bayaran daripada anak syarikatnya Utusan Printcorp Sdn Bhd dan Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd, yang masing-masing berhutang RM19 juta dan RM8.4 juta.
Dokumen yang diperoleh menunjukkan ketua pegawai kewangan Utusan Melayu memberitahu mahkamah bahawa sebanyak RM76 juta daripada anak syarikatnya sehingga 31 Disember 2009 direkodkan sebagai perkara “penerimaan-penerimaan lain.”
Dalam laporan berasingan, The Malaysian Insider melaporkan bahawa Mahkamah Perusahaan memerintahkan Kumpulan Utusan agar membayar bonus dua bulan bagi tahun perkhidmatan 2009 kepada kakitangannya yang bernaung di bawah NUJ.
Dalam keputusan dibuat Selasa lalu, Mahkamah Perusahaan memutuskan syarikat milik Umno itu agar mematuhi artikel 44 Perjanjian Bersama.
“Mahkamah mengarahkan agar responden mematuhi artikel 44 Perjanjian Bersama.
“Oleh itu, (memandangkan) respoden (Utusan Melayu (M) Berhad) telah membayar ex-gratia satu bulan, ia boleh memotong jumlah yang telah dibayar daripada dua bulan bonus, yang ia perlu bayar kepada pekerja-pekerjanya bagi 2009,” kata deklarasi keputusan yang dibuat oleh presiden mahkamah Susila Sithamparam.
Artikel 44 Perjanjian Bersama menyebut bahawa “bayaran bonus dua bulan hendaklah merupakan satu ikatan bagi syarikat mengeluarkannya untuk para pekerja tiap-tiap tahun, jika syarikat mendapat keuntungan dalam tahun yang berkenaan.”
Pada 2009, Kumpulan Utusan, yang menerbitkan Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo! mencatat keuntungan sebanyak RM5.1 juta.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung NUJ V. Anbalagan berharap pengurusan Utusan Melayu akan meneliti keputusan itu dan menjelaskan pembayaran bagi kakitangannya “dalam semangat keharmonian industri.”
Katanya, ahli-ahli NUJ Utusan Melayu merupakan mereka yang paling rendah gaji daripada lapan cawangan menganggotai kesatuan itu.
“Bayaran bonus yang tertunggak juga akan membantu mengurangkan beban kewangan ahli-ahli NUJ yang bekerja di Utusan Melayu memandangkan harga barang-barang keperluan juga telah mengalami kenaikan,” katanya dalam satu kenyataan.
“Ahli-ahli (NUJ) tidak menikmati kenaikan gaji dan pelarasan faedah-faedah lain memandangkan perjanjian bersama 2008-2011 masih diteliti di Mahkamah Perusahaan,” katanya lagi.
Anbalagan menambah, Utusan Melayu juga harus membayar bonus bagi 2010 yang menurutnya masih belum dijelaskan lagi.

Tarif elektrik naik juga akhirnya

Majlis Ekonomi Negara (NEC) hari ini meluluskan kenaikan dalam tarif elektrik tetapi butirannya hanya akan diumumkan Isnin depan.

electric bill 130608NEC yang bermesyuarat di Putrajaya hari ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan dihadiri oleh beberapa anggota jemaah menteri.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin dijadualkan mengadakan sidang media pada jam 4 petang Isnin bagi membuat pengumuman rasmi.

Sejak beberapa minggu lalu, anggota jemaah menteri berulang-kali mengingatkan rakyat supaya bersedia menghadapi kenaikan tarif elektrik dalam usaha kerajaan mengurangkan subsidi negara.

Pada Rabu lalu, kabinet menangguhkan keputusan untuk menaikkan harga bahan api kerana bimbang tindakan itu akan menimbulkan kemarahan rakyat.


Sepanjang 18 bulan lalu, kerajaan telah meningkatkan harga gula lebih 58 peratus dan membenarkan harga petrol RON97 mencatatkan paras tertingginya pada RM2.90 seliter. 

Tok Guru Nik Aziz raikan 200 ahli Umno sertai PAS




SELAYANG, 27 Mei: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka akan meraikan hampir 200 ahli Umno yang menyertai PAS malam ini di Kampung Setia, Kuang.

Hampir 200 ahli Umno dijangka akan menyerahkan borang menyertai PAS malam ini kepada beliau yang juga Menteri Besar Kelantan itu.

Ia akan diketuai oleh bekas Ketua Umno cawangan Kampung Setia, Mat Senin Mat Lana.

Mat Senin telah lebih 10 tahun mengetuai Umno cawangan  di situ dan beliau juga adalah pengasas kampung Kuang itu sendiri.

Fenomena kemasukan ahli dan pemimpin Umno tempatan ini menjadi rancak apabila kampung jiran mereka, Rahmat  Jaya, Kuang memilih seorang wanita untuk mengetuai cawangan PAS di situ.

PAS mencatat sejarah tersendiri apabila seorang wanita menjadi ketua cawangannya yang pertama iaitu Puan Eisah A Wahid, 53,  untuk PAS Cawangan Rahmat Jaya, Kuang.

Malam ini, kesemua mereka akan diraikan sendiri oleh Mursyidul Am yang juga Menteri Besar Kelantan ini.

Kesatuan akui kos hidup tinggi antara punca masalah kurang guru di KL

KUALA LUMPUR, 27 Mei — Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja mengakui Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berhadapan dengan masalah guru, antara lain disebabkan sesetengah guru memutuskan untuk meninggalkan ibu negara disebabkan kos hidup yang tinggi.
Bagaimanapun kata mereka, masalah itu yang disebabkan kos hidup tinggi bukan sahaja disaksikan di ibu negara, tetapi juga di Johor Bahru dan Pulau Pinang.
“Memang ada guru-guru ini tidak berminat untuk mengajar di bandar kerana kos sara hidup yang tinggi kerana mereka perlu membayar sewa rumah dan sebagainya,” kata Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat Mohamed Sabri Mohd Arshad kepada The Malaysian Insider.
Jelas beliau, masalah tersebut antara lain disebabkan oleh kos sara hidup yang tinggi di bandar.
Beliau berkata, walaupun guru turut menerima Elaun Kos Sara Diri (COLA), antara RM200 hingga RM300 sebulan bergantung pada kelayakan, ia masih tidak mampu untuk menampung kos hidup di bandar.
Katanya lagi, terdapat tiga bandar raya yang kritikal di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Johor Bahru dan George Town yang mana ia kurang menjadi pilihan guru untuk mengajar.
“Perkara ini serius kerana bila ada cikgu yang tak berminat untuk mengajar di bandar, ia akan menyebabkan kekurangan guru dan ia memberi beban kepada guru lain kerana perlu menampung kelas yang tiada guru,” katanya.
Sabri juga berkata, faktor lain guru tidak mahu mengajar di kawasan bandar juga adalah kerana kurang berpengalaman.
“Guru-guru baru biasanya pendapatan mereka tak tinggi. Sebab itu tidak mahu mengajar di bandar. Selain itu, masalah disiplin di bandar juga tinggi dan disebabkan kurang pengalaman untuk menangani situasi itu, mereka lebih suka mengajar di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar elaun khas diberi kepada guru yang mengajar di bandar sepertimana diberi kepada guru di kawasan pendalaman.
Katanya, jika elaun boleh diberi kepada guru yang mengajar di kawasan pendalaman, elaun khas untuk guru di bandar juga perlu diberi.
“Guru-guru pendalaman akan dapat elaun khas kerana mereka mengajar di kampung-kampung pendalaman yang adakalanya tiada bekalan elektrik. Jadi mereka akan dapat elaun kerana tiada bekalan elektrik itu.
“Justeru, elaun seperti itu juga perlu diberi kepada guru-guru yang mengajar di kawasan kritikal,” katanya.
Beliau juga berpendapat, kerajaan harus mempunyai perancangan untuk membendung perkara itu.
“Sama ada dengan membuat rumah guru dalam kawasan sekolah untuk menarik minat guru-guru ini mengajar atau tambah elaun khas untuk guru di bandar,” ujarnya.
Semalam, Pengerusi Biro Pendidikan Parti Keadilan Rakyat Abas Awang mendakwa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berhadapan dengan masalah kekurangan guru, seperti yang dialami Sabah tetapi di ibu negara ia disebabkan ramai keberatan mahu mengajar ekoran kos hidup yang tinggi.
“Statistik terbaru saya tidak peroleh lagi. Tetapi berdasarkan pengalaman saya dahulu menjadi pengarah pelajaran bahagian Wilayah Persekutuan dan timbalan pengarah bahagian sekolah Malaysia, sebuah sekolah akan ada lima hingga enam orang guru sementara di Kuala Lumpur,” katanya.
Kata beliau, pengurusan sekolah terpaksa mengambil guru-guru sementara berikutan kekurangan guru memandangkan tidak ada guru yang hendak berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Peng berkata, isu mengenai guru mohon untuk menukar tempat mengajar dari sekolah di Kuala Lumpur ke kawasan lain sememangnya wujud.
Bagaimanapun, beliau tidak pasti berapa jumlah sebenar guru yang memohon untuk keluar dari Kuala Lumpur termasuk atas alasan kos hidup yang tinggi.
“Kekurangan guru di Kuala Lumpur memang ada tetapi banyak mana jumlahnya, saya perlu telefon Jabatan Pendidikan untuk memastikan.
“Saya juga ada mendengar kes guru memohon untuk tukar dari Kuala Lumpur ke kampung halaman selepas mereka mengajar dua, tiga tahun kerana mengikut suami atau isteri dan ada juga disebabkan kos sara hidup di Kuala Lumpur tinggi.
“Apa pun, saya tidak boleh beritahu jumlahnya yang sebenar kerana saya perlu semak semula,” katanya yang juga Setiausaha Agung Cuepacs.

TERKINI