10 June 2011

Umno nampak hipokrit kecam konsep negara kebajikan PAS


KUALA LUMPUR, 10 Jun — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Umno memperlihatkan sikap hipokrasi mereka dengan menentang pendirian terbaru PAS, yang minggu lalu mengetengahkan konsep negara berkebajikan.

Sehubungan itu kata Asri (gambar), Umno sebagai parti teras Barisan Nasional (BN) dan mewakili suara orang Melayu, seharusnya mengalu-alukan perubahan pendirian PAS yang sebelum ini dilabel sebagai konservatif dan fanatik.

“Saya tidak tahu apa pendirian Umno sebenarnya. Dulu Umno yang mengecam PAS kata dikuasai oleh golongan ulama, sekarang golongan profesional ada, mereka masih hentam.

“Saya lihat Umno macam hipokrit... dulu dia (Umno) yang mengatakan bahawa PAS ini (parti) jumud, jadi saya lihat ini sikap yang tidak betul,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Kita tidak sepatutnya hentam mereka, sebaliknya perlu terbuka dan mengalu-alukan perubahan pendirian PAS ini... dulu bukan Islam takut dengan konsep negara Islam, sekarang PAS lebih terbuka, lebih ke depan daripada Umno... patut Umno alu-alukan dan bukannya mengkritik PAS,” kata beliau.

Tenaga akademik ini mengulas perkembangan kritikan ke atas PAS sejak pada Jumaat lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan Ke-57 menekankan konsep membangun negara berkebajikan.

Dalam komen balasnya semalam, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata konsep negara berkebajikan dibawa Pakatan Rakyat khususnya PAS adalah selari dengan kehendak Islam.

Katanya, konsep berkebajikan tidak semestinya memberi sesuatu dalam bentuk material, sebaliknya ia boleh diberikan dalam bentuk kebaikan seperti tindakan kerajaan PAS Kelantan menghapuskan riba dan menutup kelab malam.

Justeru kata Menteri Besar Kelantan itu, kedua-dua perkara tersebut membawa kebaikan kepada rakyat dan keluarga lebih selamat daripada menerima masalah tekanan kewangan dan penularan gejala negatif sosial.

Kata Nik Aziz, berkebajikan itu ialah perkara yang boleh memberi keselamatan kepada rakyat sama ada di dunia dan di akhirat.

Ini pandangan kedua Asri mengenai pendirian PAS yang menyentuh konsep negara berkebajikan.

Sabtu lalu, beliau menyifatkan PAS sudah mula memperlihatkan “kemajuan memberangsangkan” memandangkan ia sanggup mengakui bahawa dalam al-Quran tidak disebut negara Islam, cuma ditekankan ialah negara berkebajikan.

Muktamar PAS yang berakhir Ahad lalu dilangsungkan dengan penekanan ke atas tema negara berkebajikan, susulan daripada manifesto pilihan raya umum parti itu tiga tahun lalu.

Kata Asri, sekian lama istilah negara Islam memisahkan PAS atau menyukarkan parti itu bergerak lebih ke hadapan, namun hari ini dengan kenyataan Hadi akan memberi nafas baru yang lebih luas dan fleksibel kepada PAS.

Pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Ke-57 Jumaat lalu, Hadi berkata, belum tiba masanya untuk parti itu meninggalkan usaha membentuk ‘negara Islam’, isu yang disifatkan sebagai duri dalam daging dalam hubungannya bersama DAP sebelum ini.

Hadi dipetik berkata, PAS akan meneruskan gagasan negara berkebajikan yang disepakatinya bersama komponen Pakatan Rakyat kerana perkara yang lebih penting adalah pelaksanaan dan bukannya menumpukan jenama ‘negara Islam’ itu semata-mata.

“Belum tiba masanya (tinggalkan usaha bentuk negara Islam). Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan.

“Sebab itu kalangan DAP melihat sendiri kerjasama kita dengan mereka. DAP kata mereka minum arak, kita tak boleh larang dia. Kita bukan macam kalangan setengah (pemimpin) BN yang boleh minum arak sama,” katanya.

Dalam ulasan terbaru ini, Asri berkata, pendirian Umno seolah-olah menunjukkan bahawa “keadaan sudah terbalik” memandangkan parti itu ditolak ke belakang manakala PAS pula kelihatan dan menunjukkan sikap keterbukaan.

“PAS kini nampak lebih terbuka macam Umno dalam tahun 1980-an, patut Umno lebih mengalu-alukan perubahan sikap PAS... dulu mereka yang hentam ulama PAS, kononnya PAS ini fanatik... sekarang sudah terbalik keadaan,” kata Asri lagi.

“Sekarang PAS sudah berubah, Umno pula menentang. Saya pun tidak tahu apa yang Umno buat, saya rasa Umno sudah silap perhitungan,” katanya lagi.

Petronas untung RM97.8billion, lepas tu kena rompak dengan kerajaan Barang Naik

KUALA LUMPUR, 9 Jun: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) berharap Kerajaan Persekutuan tidak melupakan hak Kerajaan Kelantan dan Terengganu untuk menerima royalti ekoran keuntungan besar yang diperolehi.

Sehubungan itu, ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan dan kakitangan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang berjaya melonjakkan hasil pendapatan syarikat itu sebanyak 14.4 peratus iaitu kenaikan dari RM210.8 bilion tahun sebelumnya kepada RM241.2 bilion bagi tahun lepas yang berakhir 31 Mac baru-baru ini.

Petronas berjaya mencatatkan keuntungan kasar sebanyak RM97.8 bilion dan keuntungan bersihnya meningkat kepada RM63.01 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 38.5 peratus berbanding RM45.49 bilion yang diraih pada tahun 2009.

“DPPP yakin, hasil ini diperolehi dengan kerja kuat dan keberanian pengurusan Petronas meneroka sumber-sumber baru didalam dan luar negara di samping pengurusannya yang lebih efisien berbanding GLC kerajaan lainnya yang kebanyakkannya gagal memberikan pulangan kepada negara,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, antara kelainan Petronas yang dapat dilihat berbanding GLC lain adalah penglibatan lebih ramai anak-anak muda yang diberikan peluang menyertai syarikat ini dan kesungguhan mereka untuk belajar lebih cepat di dalam industri petroleum.

Menurutnya, Petronas berjaya membuktikan bahawa anak-anak Melayu mampu ke depan sebagai kumpulan profesional dan berdaya saing.

Beliau turut mengucap tahniah kepada anak-anak muda Petronas bermula dari mereka yang bekerja di pelantar hinggalah ke menara KLCC yang telah membawa banyak perubahan kepada syarikat gergasi negara ini.

Petronas turut mengumumkan pemberian dividen sebanyak RM30 bilion kepada kerajaan sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Walaubagaimanapun, ujarnya DPPP berharap agar Petronas tidak terikat dengan jumlah itu kerana sepatutnya kadar dividen yang disalurkan itu dikira berdasarkan nisbah peratus keuntungan bukan secara tetap RM30 bilion setahun.

Katanya, kerajaan harus menerima hakikat bahawa graf keuntungan Petronas ada masa turun naiknya, jadi perlulah pengkadaran nisbah peratus keuntungan dibuat bagi setiap dividen tahunan yang ingin disalurkan kepada kerajaan bagi memastikan syarikat berkenaan dapat beroperasi dengan dana yang mencukupi.

Tambahnya, DPPP juga berharap agar Kerajaan Persekutuan tidak melupakan hak Kerajaan Kelantan dan Terengganu untuk menerima royalti.

“Setiap tahun Kerajaan Persekutuan menerima RM30 bilion sedangkan rakyat kedua-dua negeri ini hanya mampu membaca dan mendengar data-data keuntungan ini diungkapkan tanpa merasai sesen pun hasil dari perut bumi mereka.

“Adalah tidak adil jika RM30 bilion dibolot semuanya oleh Kerajaan BN sedangkan sumber hasil itu adalah dari Kelantan dan Terengganu juga,” ujarnya.

Beliau berkata, DPPP juga yakin jumlah keuntungan Petronas ini dapat ditingkatkan melebihi RM100 bilion jika pendaratan minyak Kelantan dibuat dinegeri itu dan bukannya melalui negara Thailand yang menyebabkan Petronas terpaksa membayar sejumlah royalti kepada negara berkenaan.

Katanya, begitulah nasib Kelantan dan Petronas akibat dari hasad dengki pemimpin politik dalam BN yang kecewa kerana masih gagal merampas negeri berkenaan kerana dendam politik, wang negara dibazirkan.

“DPPP berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat mempergunakan hasil dividen itu untuk kepentingan rakyat dan menstabilkan harga minyak di pasaran bagi mengelakkan kenaikan harga barang-barang pengguna yang lain,” ujarnya.

Tambahnya, tiada sebab harga minyak perlu dinaikkan lagi kerana keuntungan yang diperolehi terus meningkat.

Ini, katanya menandakan bahawa tiadanya bebanan kos di luar kemampuan dan pihak Kerajaan masih mampu menstabilkan harga minyak.

Malah, ujarnya jumlah dividen RM30 bilion Petronas itu belum dicampur lagi dengan cukai yang dikenakan kerajaan kepada syarikat ini dan syarikat minyak lain seperti Shell, Caltex, BP dan Exxon Mobil.

“Kepada pihak pengurusan Petronas DPPP mendesak agar bonus yang berpatutan diberikan kepada kakitangan mereka yang telah bertungkus lumus khususnya di pelantar dan di loji-loji,” katanya.

Di samping itu, DPPP juga berharap agar Petronas turut mempeluaskan penajaan mereka bagi aktiviti sukan dan kemasyarakatan dalam negara.

“Jika mereka boleh melabur dan menaja jutaan ringgit bagi pasukan Formula 1, maka bukanlah perkara yang sukar untuk mereka melabur dan menyumbang lebih banyak bagi aktiviti masyarakat dalam negara.

“Semoga Petronas dapat terus mengekalkan prestasi dan budaya kerja mereka agar dapat menjadi model kepada syarikat-syarikat tempatan lainnya,” ujarnya lagi.
-harakahdaily-

TERKINI