14 July 2011

Demam kuning terus melanda Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Julai — Warna kuning terus menjadi isu, kali ini penganjur program Larian Untuk Kehidupan atau Relay For Life menafikan ia ada kaitan dengan perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu.

Selain mengharamkan Bersih 2.0, Putrajaya juga mengisytiharkan bahawa kemeja-T berwarna kuning yang tertera mesej tuntutan pembaharuan pilihan raya juga diharamkan.

Larian anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) itu akan berlangsung di stadium Universiti Kebangsaan Malaysia pada Sabtu dan Ahad ini.

Penasihat Kehormat NCSM Datuk Zuraidah Atan berkata, warna kuning merupakan warna simbolik antarabangsa bagi kanser dan program ini telah masuk kali ketujuh.

“Kebetulan tahun ini kami memilih warna kuning untuk baju larian,” kata beliau dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Zuraidah berkata terdapat dua warna yang telah dipilih sempena program tersebut iaitu penghidap kanser akan memakai baju berwarna ungu manakala bukan pesakit akan memakai baju berwarna kuning.

“Selain merah, jambu, hijau dan biru, kuning juga merupakan warna yang sering digunakan untuk program-program kanser.

“Saya berharap tidak ada pihak yang salah faham atau cuba mengambil kesempatan di atas kebetulan ini kerana kami hanya menjalankan tugas murni untuk membantu pesakit kanser dan berharap orang ramai turut memberi sokongan yang sepenuhnya,” katanya.

Peserta akan berjalan kaki selama 16 jam tanpa henti di trek stadium sebagai lambang usaha yang berterusan melawan kanser.

Penganjur dan penyokong Bersih 2.0 mahu menjadi setiap Sabtu sebagai hari mengenakan simbol berwarna kuning bagi meneruskan kempen pembaharuan pilihan raya di Malaysia.

Sejak sebulan lalu, penggunaan warna kuning dan perkataan “bersih” menjadi polemik di kalangan rakyat negara ini.

TERKINI