29 March 2012

Pemuda Pakatan tawar mansuh Auku, PTPTN

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Pemansuhan Akta Universiti & Kolej Universiti (Auku) dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) antara tawaran Pemuda Pakatan Rakyat kepada anak muda di negara ini.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, ianya hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan tawaran yang akan diisytiharkan secara rasmi pada 29 April ini.

"Salah satunya Auku dan PTPTN dibawah teras Pendidikan.

"Perisytiharan rasmi kita akan buat pada 29 April ini di Melaka sempena pelancaran jentera pilihan raya Pemuda Pakatan Rakyat," katanya.

Selain teras pendidikan, empat lagi teras yang diambil kira adalah Politik, Ekonomi, Sukan dan Seni.

"Buat masa ini kita sedang memperincikan kesemuanya termasuk mengkaji fakta dan figur.

"Secara details kita tak boleh sebut lagi," katanya kepada Harakahdaily.

Terdahulu beliau menyertai sidang media Pemuda Pakatan Rakyat di Pejabat Pembangkang di Parlimen hari ini.


Turut hadir Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua DAPSY, Anthony Loke.

Pada sidang media itu Nasruddin berkata, beliau tidak menolak kemungkinan Bersih 3 akan diadakan jika janji transformasi politik Perdana Menteri tidak dikotakan.

Ianya termasuk melaksanakan semua syor yang akan dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikkan Proses Pilihan Raya.

"Saya tak menolak akan berlaku Bersih 3 atau bantahan lebih hebat dari rakyat kerana kita tidak boleh hadapi pilihan raya dalam keadaan 1001 kepincangan," katanya.


-HRKHDAILY-

19 March 2012

Isu Yahudi-Zionis: Nik Aziz pertahan Hadi

SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan kenyataan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin sambil menegaskan, pihaknya hanya menentang urusniaga dengan kerajaan Zionis, yang menurutnya menguasai tanah Palestin secara haram.


Kelmarin, Abdul Hadi berkata, aktiviti urusniaga dengan Yahudi dibenarkan, tetapi bukan dengan Zionis.


Kenyataan itu mengundang kritikan pemimpin-pemimpin Umno yang menyifatkan Pas sebagai parti tidak konsisten.


"Adapun yang ditentang oleh Pas ialah melakukan urusniaga dengan kerajaan Zionis yang tertegak pada hari ini di atas tanah yang dirampas daripada bangsa Palestin.


"Berurusniaga dengan kerajaan Zionis Israel ertinya mengiktiraf kewujudan mereka dan mengiktiraf kewujudan Israel merupakan satu jenayah yang tidak boleh dimaafkan," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.


Sehubungan itu kata beliau, menjadi rakan dagang negara Israel juga termasuk dalam berurusniaga dengan entiti haram Israel.


Beliau seterusnya berkata, "hairannya, ada sesetengah pihak nampaknya cuba menjadi juara menentang Israel tetapi dalam masa yang sama menjalin hubungan dagang dengan negara Israel."


Dengan merujuk kepada soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd Hatta Ramli di Dewan Rakyat Selasa lalu, Nik Abdul Aziz berkata, agar mengejutkan apabila jawapan diberikan oleh Menteri Kewangan menyebut larangan mutlak ke atas pengimportan barangan dari Israel yang diletakkan di Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) telah dipinda ke Larangan Bersyarat di bawah Jadual Kedua Perintah yang sama pada 26 Mei 1994.


Selaras dengan ini barangan yang diimport dari Israel kini dibenarkan tertakluk kepada Lesen Import dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.


"Tidakkah ini merupakan bukti cerah seterang matahari di siang hari tentang hubungan dagang dengan Israel?


"Hairan saya, tidak malukah akhbar milik Umno memainkan isu ini sedangkan jawapan rasmi dalam Dewan Rakyat menjelaskan keterlibatan hubungan dagang Malaysia- Israel," katanya lagi.


Dalam kenyataannya hari ini, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, hakikatnya menerima akidah Yahudi lebih bahaya daripada menerima wang dari Yahudi.


"Apakah yang dimaksudkan dengan akidah Yahudi? Ia adalah menolak sebahagian ayat-ayat Allah SWT dan hanya menerima apa yang selari dengan hawa nafsu mereka.


"Demikian juga dengan mereka yang mengaku Muslim tetapi menolak Islam sebagai cara hidup dan menerima ideologi kebangsaan sekular untuk menjadi pegangan.


"Bukankah ikrar seringkali dilafazkan di dalam solat bahawa kita memohon dijauhkan terjebak dengan jalan orang-orang yang dimurkai Allah SWT, dan golongan itu ialah Yahudi," katanya lagi.
-SH-

18 March 2012

Pelumba negara terbunuh

Kemalangan

SHAH ALAM - Pelumba pelapis basikal negara, Rafizi Hamdan terbunuh dalam satu kemalangan langgar lari di KM 20.3 Jalan Lingkaran Tengah 2, Taman Melawati, Ampang, pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, Rafizi yang mewakili pasukan Le Tua dan baru menimang cahaya mata kedua dipercayai dilanggar sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke Hospital Orang Asli Batu 12, Gombak.



SR: Al-fatihah buat allahyarham..Moga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

17 March 2012

Budaya ganggu perkahwinan


Budaya ganggu perkahwinan 
KOTA BHARU – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan masyarakat agar tidak terlalu memberi perhatian kepada adat dan budaya Melayu dalam soal perkahwinan sehingga menimbulkan kesulitan.

Menurutnya, urusan perkahwinan sepatutnya dipermudahkan dan tidak wajar membiarkan diri dibebani pelbagai ‘gangguan’ budaya Melayu.

“Soal nikah kahwin dalam Islam adalah perkara yang amat digalakkan dan boleh disempurnakan walaupun hanya dengan mas kahwin ‘cincin besi’.

“Malangnya, pengaruh masyarakat yang mahukan keindahan budaya Melayu ditonjolkan yang menjurus kepada kemewahan dan pembaziran menyebabkan golongan muda yang mahu berkahwin menangguhkan dahulu hasrat tersebut,” katanya.

Nik Abdul Aziz berkata, bakal pengantin dan keluarga sepatutnya hanya memikirkan belanja mas kahwin dan jamuan untuk tetamu sahaja.

Budaya Melayu yang mahu ditonjolkan katanya, menunjukkan banyak duit tapi pada hakikatnya banyak antara masyarakat yang terpaksa berhutang.

”Kita lihat banyak pameran perhiasan, pintu gerbang perkahwinan yang sengaja dibuat-buat sedangkan ia memakan banyak belanja,” katanya ketika menyampaikan kuliah mingguan di Medan Ilmu di sini, semalam.

Beliau berkata, jika tidak kena caranya, si suami mungkin terpaksa mengambil semula mas kahwin dan berhutang dengan isteri kerana mahu melangsaikan pinjaman persiapan majlis perkahwinan.

”Padahal mas kahwin itu seratus peratus milik isteri, tetapi akhirnya habis di tangan suami dek kerana hutang yang banyak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz menyelar pihak yang mendakwa Kelantan sebagai negeri termiskin di negara ini.

Katanya, sindiran sedemikian tidak sepatutnya timbul kerana Kelantan juga negeri dalam persekutuan Malaysia yang sepatutnya dilayan serupa dengan negeri-negeri lain.

”Kalau kita berkereta ke sempadan Terengganu di Bukit Yong, Pasir Puteh, kita dapat lihat dengan jelas perbezaan keadaan jalan antara dua negeri. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana duit yang dibelanjakan kerajaan persekutuan bukannya milik ‘mak bapak’ mereka.

”Sebab tu saya tidak akan halalkan sedikitpun harta Kelantan seperti royalti minyak yang dinafikan sekian lama, saya tidak akan halal sesenpun dan mengajak semua rakyat menuntutnya di hadapan ALLAH SWT di akhirat nanti,” katanya.

-SH-

16 March 2012

'Umat Islam lalai dengan hiburan melampau'

ARAU - Munculnya pusat hiburan dan karaoke yang tumbuh bagaikan cendawan di Perlis menjadi antara punca umat Islam lalai dan kurang mengamalkan ajaran agama.  

Imam Masjid Negeri, Ahmad Mahad Adam berkata, sehingga kini, Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya 300 premis pusat hiburan dan karaoke dibuka di Perlis dan kebanyakannya turut menawarkan perkara ke arah maksiat seperti minuman keras dan dadah.  

Menurutnya, kesan besar kewujudan pusat itu membawa kepada pembaziran masa, kerosakan akhlak, gejala sosial, pendedahan aurat, pergaulan bebas lelaki dan wanita yang menjadi punca penzinaan serta masjid dan surau tidak diimarahkan.  

"Dalam surah Al-An'am ayat 32, ALLAH SWT mengingatkan kita semua tentang hakikat sebenar kehidupan di dunia ini dengan dunia diibaratkan sebagai tipu daya sia-sia dan hiburan melalaikan.  

"Tetapi kebanyakan umat Islam sekarang ini seolah-olah tidak mempedulikan peringatan ALLAH SWT ini serta terjebak dengan budaya hiburan kafir yang melampau dan melalaikan," katanya ketika menyampaikan khutbah Jumaat semalam.  

Dalam khutbahnya, Ahmad menegaskan kebanyakan ulama Ahli Sunnah Waljamaah sepakat mengeluarkan fatwa haram terhadap nyanyian dan muzik yang melalaikan dan sia-sia berlandaskan dalil Al-Quran dan Sunnah Nabi.  

Beliau berkata, Islam meletakkan batasan agama ketika mencari hiburan agar manusia tidak lalai dan alpa daripada mengingati ALLAH SWT.  

"Orang Islam seringkali diperingatkan segala kenikmatan di dunia hanyalah sementara. Justeru gunakan kenikmatan itu untuk mencari keredhaan dan rahmat ALLAH SWT," katanya.  

Ahmad turut memberi peringatan kepada pihak yang mengeluar dan meluluskan lesen pusat hiburan dan karaoke bahawa mereka akan disoal pada hari akhirat kelak.  

"Hal ini disebabkan mereka bersekongkol dan bersubahat dengan mereka yang berkaraoke serta berhibur secara melampau.  

"Justeru, mimbar menyeru kepada semua terlibat dengan hiburan yang melampau insaf dan bertaubat atas perbuatan maksiat itu. Marilah kita semua kembali mencari hiburan yang mententeramkan jiwa serta berpandukan Al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad SAW," katanya. 

15 March 2012

Bebanan GST sudah dirasai rakyat



PASIR MAS, 15 Mac: Ramai tidak sedar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mana sebelum ini ditangguh kerajaan sebenarnya sudah dikenakan terhadap setiap urusniaga.


Pada Disember 2009 Rang Undang-Undang GST dibentang untuk bacaan kali pertama di Parlimen. Bagaimanapun ditangguh pada Mac 2010.


GST diwujud bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan antara lima dan 10 peratus dicadang dikuatkuasa bagi meningkatkan keberkesanan kutipan hasil negara.


Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, ketika makan di sebuah restoran di Kuala Lumpur baru-baru ini beliau terkejut apabila diberitahu cukai lebih 15 peratus dikenakan.


Katanya, harga makanan yang dipesan sebanyak RM39, namun cukai pula dikenakan sebanyak RM7 menjadikan jumlah yang perlu dibayar RM46.


 

“Tidak ramai orang sedar cukai dikenakan kerajaan terhadap setiap apa yang dibeli, sama ada gula, beras, milo atau sebagainya.


“Sebelum ini ramai orang ingat hanya mereka yang berpendapatan besar sahaja dikenakan cukai pendapatan. Sebenarnya tidak, semua benda yang kita beli dikenakan cukai oleh kerajaan,” katanya pada ceramah isu semasa di Kampung Kasar di sini malam tadi.


Hadir sama anggota jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, Yang Dipertua PAS Pasir Mas, Hanifa Ahmad, setiausaha, Suhaimi Daud, ketua penerangan, Zuraidin Abdullah, ketua pemuda, Rozi Muhamad dan Pegawai Penerangan Urusetia Kerajaan Negeri, Ustaz Abdul Hamid Derani.


Biar pun kerajaan mengumumkan GST ditangguhkan namun banyak resit bayaran termasuk parkir kereta di pusat membeli belah sudah mengenakan GST 6 peratus.


Ustaz Idris pula percaya sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) sekali lagi mendapat mandat pada pilihan raya umum ke-13, rakyat bakal dibebani dengan pelbagai cukai dan kenaikan harga barangan.


“Tuan-tuan mungkin masih lagi ingat cukai 6 peratus yang diumumkan kerajaan terhadap talian telefon prabayar akan dikenakan semula sekiranya BN mendapat mandat lagi.


“Begitu juga harga minyak dijangka naik sehingga 50 sen seliter. Langkah itu dibuat bagi mengutip semula duit yang dibelanjakan kerajaan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia sebanyak RM500 yang dibayar sekarang,” katanya.


Pada September 2011 kerajaan menangguh kutipan cukai perkhidmatan enam peratus ke atas pengguna talian telefon prabayar sehingga perbincangan semula dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).


Menurut Idris banyak cadangan kerajaan bagi mengenakan cukai kepada rakyat ditangguh kerana BN tidak mempunyai kuasa dua pertiga di parlimen.


Sebaliknya kata beliau Pakatan Rakyat menawarkan pelbagai program berkebajikan untuk rakyat dalam tempoh 100 hari sekiranya diberi mandat menguasai Putrajaya, antaranya menghapuskan tol.


Selain itu menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan bagi setiap guru dan sumbangan berupa imbuhan kepada warga emas berusia lebih 60 tahun sebanyak RM1,000 setahun.


Beliau juga berkata, setiap pelajar yang menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi sekarang terpaksa menangung hutang antara RM40,000 hingga RM70,000.

TERKINI