16 May 2011

Dia dah mula dah :K'jaan mansuh diesel super subsidy 9 kategori kenderaan

Kerajaan telah memansuhkan pemberian diesel super subsidy kepada sembilan kategori kenderaan di sektor pengangkutan barangan termasuk teksi limosin berkuatkuasa 1 Jun depan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam satu kenyataan akhbar hari ini, memaklumkan bahawa berdasarkan keputusan Majlis Ekonomi pada 9 Mei lepas, kategori kenderaan itu tidak lagi membeli bahan berkenaan pada harga RM1.481 sen seliter.

Walau bagaimanapun, kenderaan-kenderaan itu masih lagi menikmati subdisi dengan pengambilan di stesen minyak pada harga RM1.80 seliter.

Kategori kenderaan yang terlibat adalah Penggerak Utama, Kargo Am, Luton Kotak, Van (Panel Van, Semi Panel Van dan Window Van), Lori-Rigid Minuman Botol, Lori Tangki Rigid-Tepung, Lori Rigid-Refrigerated, Lori Tangki Air dan teksi limosin.

Menurut kenyataan itu, rasionalisasi pemansuhan itu dilakukan memandangkan trend harga minyak yang terus meningkat sejak Oktober tahun lepas yang mengakibatkan peningkatan dalam tanggungan subsidi kerajaan.

"Selaras dengan keputusan rasionalisasi pemansuhan ini, kerajaan dianggarkan dapat menjimatkan tanggungan subsidi sebanyak RM659.30 juta bagi tahun ini.

Bagaimanapun, kerajaan masih menanggung subsidi bagi sektor pengangkutan awam sebanyak RM116 juta," menurut kenyataan KPDNKK itu.

Sementara itu, KPDNKK memaklumkan bahawa diesel subsidi untuk pengangkutan awam dan bot penumpang sungai dikekalkan selain turut mengekalkan subsidi petrol dan diesel kepada nelayan.

Menurut KPDNKK, subsidi bagi kenderaan pengangkutan seperti bas ekspres, bas henti-henti, bas pengantara, bas mini, bas sekolah, kereta sewa, teksi, bomba, ambulans dan kenderaan mayat dikekalkan pada harga RM1.481 seliter.

Dalam pada itu, KPDNKK berkata kerajaan juga akan memperkenalkan kaedah dan langkah baru pada masa akan datang untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti nelayan.

Oleh kerana itu, katanya, kerajaan mengekalkan subsidi kepada sektor ini pada harga RM1.25 sen seliter.

- Bernama

Kenaikan pangkat guru : Hanya segelintir yang merasa nikmatnya


Lima kaedah kenaikan pangkat iaitu kenaikan pangkat mengisi kekosongan jawatan, kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP), kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan, kenaikan pangkat untuk pengetua atau guru besar cemerlang dan kenaikan pangkat guru cemerlang.

Kaedah baru kenaikan pangkat diperkenalkan khusus kepada guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran (PDP) iaitu guru wibawa dan pendeta guru, yang akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan pertamanya. Pewujudan lapisan tersebut, termasuk guru biasa, guru kanan, guru wibawa dan pendeta guru, akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.

Melalui konsep guru wibawa dan pendeta guru itu, laluan kerjaya guru dalam PDP akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred DG54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.

Bagi mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan mereka boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.

Guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan.

Menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak seratus peratus dengan menambah sejumlah 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep guru wibawa dan pendeta guru.

Menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah Gred DG48 ke gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan sebagai membuktikan lagi kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan profesion keguruan.

Semua guru penolong kanan (GPK) pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum sekolah menengah gred DG44 dinaikkan ke gred DG48, akan melibatkan 6,585 jawatan.

Semua GPK pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum di sekolah rendah kluster turut dinaikkan dari gred DGA32 ke gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan.

petikan Malaysiakini

Hadiah untuk guru: Januari tahun depan baru dapat

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, mengumumkan berita baik buat warga pendidik yang akan menikmati lima kaedah kenaikan pangkat berkuat kuasa 1 Jan depan, dalam usaha menambahbaik skim perkhidmatan guru.
Dalam perutusan khas Hari Guru melalui rakaman video yang ditayangkan sempena pelancaran sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan Ke-40 di sini, beliau berkata kerajaan telah memutuskan sedemikian kerana menyedari bebanan tugas dan pengorbanan yang telah dibuat para guru.

Pelancaran sambutan Hari Guru bertema "Guru Penjana Transfromasi Pendidikan Negara" itu di rasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pendidikan.


Perkhidmatan perguruan adalah satu-satunya perkhidmatan yang diperuntukkan dengan lima kaedah kenaikan pangkat iaitu kenaikan pangkat mengisi kekosongan jawatan, kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP), kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan, kenaikan pangkat untuk pengetua atau guru besar cemerlang dan kenaikan pangkat guru cemerlang. - Bernama

Tok Guru Nik Aziz Saman Pihak Yang Mendakwa Kelantan Rampas Tanah Rakyat

TUMPAT 16 MEI : Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap media dan pihak yang menuduh kerajaan PAS Kelantan merampas tanah rakyat bagi membangunkan projek Ladang Rakyat.
Beliau, yang juga Mursyidul Am PAS, berkata hakikatnya kerajaan PAS Kelantan tidak pernah merampas tanah dan kerajaan hanya membangunkan projek ladang rakyat itu di atas tanah kerajaan negeri.
"Kami mana boleh ambil tanah rakyat. Tanah Rakyat adalah tanah yang ada geran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program hari himpunan anggota koperasi peserta Ladang Rakyat Negeri Kelantan Berhad, di Tumpat, hari ini. 
Beliau berkata demikian mengulas tindakan ratusan anggota badan bukan kerajaan (NGO) dan Pemuda Umno Kelantan yang mengadakan perhimpunan bagi membantah berhubung dakwaan penyelewengan projek ladang rakyat di hadapan kompleks kerajaan negeri di Kota Darul Naim di Kota Bharu.
Perhimpunan yang berlangsung selama sejam itu bermula pada pukul 9.30 pagi disertai Orang Muda Berpadu Anti Korupsi Kelantan (OMBAK), Majlis Belia Kelantan, Majlis NGO Negeri Kelantan, Belia 4B dan Pemuda Umno Kelantan dan penduduk Orang Asli di Gua Musang yang mendakwa kehilangan tanah mereka akibat projek itu.
Nik Abdul Aziz berkata beliau tidak menghalang jika ada pihak mengadakan demonstrasi tetapi kesal dengan fitnah yang dibuat oleh mereka yang berdemonstrasi kononnya kerajaan merampas tanah rakyat.
Pada sidang media yang sama, Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yacob menjelaskan sehingga kini 50,000 hektar tanah di negeri Kelantan telah dibangunkan untuk projek ladang rakyat.
"Projek itu melibatkan 4,500 peserta dengan 10 buah syarikat dilantik untuk membangunkan kawasan projek itu dan hasil keluaran ladang rakyat sejak 2006 sehingga sekarang adalah RM49 juta," katanya.
- Bernama

Berita gembira sempena Hari Guru?

Di saat-saat warga pendidik menunggu janji Muhyiddin Yasin sempena Hari Guru,ini pula berita yang diumumkan:

Kos subsidi naik, TPM bayang kenaikan harga barang

PUTRAJAYA, 16 Mei — Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kos subsidi dijangka meningkat dua kali ganda daripada RM10.32 bilion tahun lalu kepada RM20.58 bilion pada 2011.
Justeru kata timbalan perdana menteri, negara tidak boleh mempertahankan jumlah kos subsidi semasa — syarat yang dilihat kerajaan tidak dapat mengelak kenaikan harga barang-barang keperluan.
“Ya, kita memberi subsidi tetapi kita tidak boleh kekalkan subsidi pada jumlah yang sama. Jadi, ada cara di mana kita sedang cuba untuk mengurangkan kos-kos subsidi seperti menaikkan harga gula. Kami melakukan secara berperingkat-peringkat,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.
Kuasa membeli yang kecil, diapit dengan kenaikan harga barangan telah memberi tekanan ke atas pentadbiran Najib untuk menyalurkan lebih banyak dana awam ke atas pemberian subsidi.
Tindakan ini dikatakan perlu untuk mengelakkan kemarahan rakyat berhubung kenaikan kos hidup selain membalas serangan Pakatan Rakyat terhadap mengurangkan subsidi.
Harga gula mengalami kenaikan 20 sen sekilogram minggu lalu.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kenaikan harga petrol RON95 mungkin berlaku dan oleh itu, rakyat perlu bersedia untuk menghadapi peningkatannya.
Beliau berkata kemungkinan itu adalah memandangkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi dijangka akan dibuat sekali lagi bulan depan.
“Saya ingin rakyat bersedia. Saya tidak mahu nanti rakyat terkejut, kata harga minyak tidak naik tetapi akhirnya naik juga,” kata beliau sebagaimana dilaporkan media tempatan.
Ismail Sabri berkata, kenyataannya sebelum ini bahawa tidak akan naik buat masa ini tidak bererti harga bahan mentah itu tidak akan naik.
“Jadi rakyat kena bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana trend penurunan harga minyak tidak mungkin berlaku. Ini bermakna sama ada harga akan kekal atau pun naik. Jadi ia bergantung kepada kajian itu,” kata beliau.
Kali terakhir harga RON95 naik ialah pada Disember lalu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter.
Tiga hari lalu, Ismail berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa harga minyak petrol RON95 tidak akan dinaikkan buat masa ini.
Harga RON97 mengalami kenaikan 20 sen seliter pada awal bulan ini.

TERKINI