27 May 2011

Bonus: Utusan dakwa tak mampu, tapi salur subsidiari berjuta ringgit

KUALA LUMPUR, 27 Mei — Utusan Melayu (M) Berhad menyalurkan berjuta ringgit hasil keuntungan operasi kepada anak-anak syarikatnya meskipun ia mendakwa tidak mampu membayar pekerjanya bonus kontraktual, demikian didedahkan oleh Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) hari ini.
Utusan Melayu berhujah bahawa ia tidak perlu membayar ahli-ahli NUJ bonus dua bulan gaji bagi tahun perkhidmatan 2009 sebab ia mengalami kerugian sebagai syarikat individu pada tahun berkenaan.
Artikel 44 Perjanjian Bersama antara Utusan Melayu dan NUJ cawangan Utusan Melayu memperuntukkan bahawa stafnya perlu dibayar bonus kontraktual dua bulan jika membuat keuntungan.
Bagaimanapun Mahkamah Perusahaan diberitahu baru-baru ini bahawa syarikat induk itu telah membayar RM37.5 juta daripada keuntungan operasinya kepada Utusan Media Sales Sdn Bhd, malah membayar mereka bonus dua bulan pada 2009 tetapi menafikan hak ahli-ahli NUJ, yang kebanyakannya bertugas di Jabatan Editorial Utusan Melayu.
Malah, Utusan Melayu juga tidak menuntut bayaran daripada anak syarikatnya Utusan Printcorp Sdn Bhd dan Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd, yang masing-masing berhutang RM19 juta dan RM8.4 juta.
Dokumen yang diperoleh menunjukkan ketua pegawai kewangan Utusan Melayu memberitahu mahkamah bahawa sebanyak RM76 juta daripada anak syarikatnya sehingga 31 Disember 2009 direkodkan sebagai perkara “penerimaan-penerimaan lain.”
Dalam laporan berasingan, The Malaysian Insider melaporkan bahawa Mahkamah Perusahaan memerintahkan Kumpulan Utusan agar membayar bonus dua bulan bagi tahun perkhidmatan 2009 kepada kakitangannya yang bernaung di bawah NUJ.
Dalam keputusan dibuat Selasa lalu, Mahkamah Perusahaan memutuskan syarikat milik Umno itu agar mematuhi artikel 44 Perjanjian Bersama.
“Mahkamah mengarahkan agar responden mematuhi artikel 44 Perjanjian Bersama.
“Oleh itu, (memandangkan) respoden (Utusan Melayu (M) Berhad) telah membayar ex-gratia satu bulan, ia boleh memotong jumlah yang telah dibayar daripada dua bulan bonus, yang ia perlu bayar kepada pekerja-pekerjanya bagi 2009,” kata deklarasi keputusan yang dibuat oleh presiden mahkamah Susila Sithamparam.
Artikel 44 Perjanjian Bersama menyebut bahawa “bayaran bonus dua bulan hendaklah merupakan satu ikatan bagi syarikat mengeluarkannya untuk para pekerja tiap-tiap tahun, jika syarikat mendapat keuntungan dalam tahun yang berkenaan.”
Pada 2009, Kumpulan Utusan, yang menerbitkan Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo! mencatat keuntungan sebanyak RM5.1 juta.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung NUJ V. Anbalagan berharap pengurusan Utusan Melayu akan meneliti keputusan itu dan menjelaskan pembayaran bagi kakitangannya “dalam semangat keharmonian industri.”
Katanya, ahli-ahli NUJ Utusan Melayu merupakan mereka yang paling rendah gaji daripada lapan cawangan menganggotai kesatuan itu.
“Bayaran bonus yang tertunggak juga akan membantu mengurangkan beban kewangan ahli-ahli NUJ yang bekerja di Utusan Melayu memandangkan harga barang-barang keperluan juga telah mengalami kenaikan,” katanya dalam satu kenyataan.
“Ahli-ahli (NUJ) tidak menikmati kenaikan gaji dan pelarasan faedah-faedah lain memandangkan perjanjian bersama 2008-2011 masih diteliti di Mahkamah Perusahaan,” katanya lagi.
Anbalagan menambah, Utusan Melayu juga harus membayar bonus bagi 2010 yang menurutnya masih belum dijelaskan lagi.

No comments:

Post a Comment

TERKINI