07 January 2013

TG Nik Aziz ajar doa hadapi ribut Sonamu


 KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) mengajak umat Islam berdoa agar ribut Tropika Sonamu tidak berlaku bencana besar.

Katanya, beliau membaca dengan cemas dan bimbang laporan akhbar yang memberikan amaran tentang ribut tropika sonamu yang dijangka melanda Semenanjung Malaysia sepanjang minggu ini.

"Saya menyeru kepada semua pihak agar mengambil langkah berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Banyakkan berdoa agar tidak berlaku bencana yang besar, berdoalah di mana juga kita berada dan tidak semestinya ketika solat sahaja.

"Sesungguhnya Allah SWT Maha Kuasa menyelamatkan sesiapa yang dikehendaki dan menguji sesiapa yang dikehendaki.
Antara doa yang sesuai untuk dibaca ialah :

اللهم حوالَيْنَا ولا علينا، اللهم غَيْثًا مُغِيثًا، لَا مُهْلِكًا وَلَامُدَمِّرًا

yang bermaksud : Ya Allah, kesampingkan (bencana) ke sekeliling kami dan bukan ke atas kami. Ya Allah, jadikanlah angin sebagai rahmat, tidak memusnahkan dan tidak menghancurkan...





(Gambaran serangan Ribut Tropika Sonamu ke arah pantai timur Malaysia)



Jabatan Meterologi Malaysia (MMD) dalam laman webnya mengeluarkan amaran angin kencang timur laut lebih 60 kmsj dengan ombak lebih daripada 4.5m berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Samui, Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan.

Situasi ini dijangka berlaku pada 8 Januari, mulai jam dua petang dan berterusan sehingga Jumaat.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DMPM) pula mengarahkan semua unitnya khasnya Jabatan Amal bersiap sedia untuk menghadapi segala kemungkinan.
-Harakahdaily-


No comments:

Post a Comment

Post a Comment

TERKINI