26 May 2012

Tok siak pulak jadi samseng AMNO





Baju Bersih kena rentap 

NILAI – Berang dengan tindakan seorang jemaah yang memakai baju Bersih 3.0, seorang siak di sebuah masjid di sini didakwa bertindak di luar kawalan apabila menyentap baju seorang pemandu teksi hingga koyak.

Insiden itu berlaku 20 Mei lalu ketika mangsa, Mohd Azuwar Sulaiman, 36, sedang bersalam-salaman dengan jemaah lain sebaik sahaja selesai menunaikan solat Maghrib di masjid terbabit.

Menceritakan kejadian, Mohd Azuwar berkata, secara tiba-tiba siak terbabit datang ke arahnya dan serta merta menyentap bajunya dari belakang sehingga terkoyak.

“Kira-kira 20 jemaah yang melihat kejadian tersebut terkejut dan tidak menyangka siak terbabit boleh bertindak sedemikian ketika berada di dalam masjid.

“Saya tidak melawan atau melenting dengan tindakannya, tetapi kesal kerana orang beragama sepertinya boleh buat demikian,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia percaya kejadian itu adalah kemuncak kemarahan siak terbabit yang sebelum ini pernah menghalaunya daripada menunaikan solat di masjid berkenaan hanya kerana dia memakai baju Bersih 3.0.

Katanya, ketika itu dia baru tiba di masjid itu untuk menunaikan solat Isyak namun diminta keluar serta merta.

“Saya tidak mahu menimbulkan sebarang provokasi, jadi saya terus keluar kerana menghormati rumah ibadat.

“Tapi saya tidak sangka dia boleh bertindak lebih berani apabila menyentap baju saya sedangkan saya hanya hadir untuk solat bersama jemaah lain,” katanya.

Kecewa dengan insiden kali kedua itu, Mohd Azuwar memaklumkan kejadian berkenaan kepada ketua kampung untuk diambil perhatian.

Mohd Azuwar berkata, dia berharap insiden seperti itu tidak berulang kerana ia boleh menjejaskan institusi rumah ibadat.

“Saya rasa tidak salah memakai baju berkenaan dan tidak ada kena mengena jika mahu solat tidak boleh pakai baju Bersih 3.0 tetapi siak terbabit seolah-olah mahu membesarkan isu,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd Taufek Abd Ghani berkata, mempunyai fahaman politik berbeza tidak sepatutnya menjadi penyebab seseorang itu bertindak di luar kawalan sehingga membawa kepada pergaduhan.

Menurutnya, sebagai seorang Muslim, setiap orang perlu menjaga adab dan memastikan perpaduan sesama umat Islam sentiasa dipelihara walaupun berbeza pendapat.

“Kita perlu menghormati perbezaan pendapat. Kita perlu ubah sikap kepada politik lebih matang.

“Agama Islam mengajak perpaduan dan perpaduan boleh diwujudkan walaupun berbeza dalam politik,” katanya mengulas insiden berkenaan.

Mohd Taufek berkata, pihaknya berharap kejadian seumpama itu dapat diberi perhatian serius dan dibendung sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

S/R: Demokrasi ala AMNO.

No comments:

Post a Comment

TERKINI