02 August 2011

Kontraktor nafi anak 19 tahun dapat projek RM1 juta bina sekolah


GEORGE TOWN, 2 Ogos — Seorang kontraktor menafikan dakwaan kononnya anaknya berusia 19 tahun mendapat projek bernilai RM1 juta daripada kerajaan Pulau Pinang untuk membina sebuah sekolah agama di sini.

Abdul Wahab Abdullah berkata anak lelakinya, Nursufi, hanya bertindak sebagai pengurus projek pembinaan sekolah agama dua tingkat di Batu Maung itu.

“Projek itu diperoleh oleh Syarikat Syamir dan ia adalah projek isteri saya, Rozidah Omar. Projek ini bukan bernilai RM1 juta seperti yang dilaporkan dalam akhbar sebaliknya bernilai kira-kira RM500,000 sahaja,” katanya dipetik Bernama Online.

Projek berkenaan telah siap akhir tahun lalu, kata beliau mengulas laporan akhbar hari ini bahawa pelajar sebuah kolej, Nursufi Abdul Wahab yang baru berumur 19 tahun, berjaya memperoleh projek bernilai RM1 juta daripada kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP.

Dakwaan itu dibuat oleh Ketua Wanita MCA Pulau Pinang Tan Cheng Liang.

Tan dilaporkan mempertikai ketelusan kerajaan negeri Pulau Pinang dalam pengagihan projek di negeri itu dan mendakwa hanya 0.2 peratus projek diberikan kepada bukan Bumiputera sejak 2008.

Abdul Wahab berkata beliau dan isteri sedang memberi pendedahan kepada Nursufi dalam bidang perniagaan.

“Dia sedang belajar di Kolej Damansara Utama dalam jurusan perniagaan. Projek itu untuk dia belajar serba sedikit dalam bidang itu,” katanya.

Abdul Wahab berkata anaknya tidak mempunyai sebarang lesen kontraktor Kelas D seperti yang dilaporkan.

No comments:

Post a Comment

TERKINI