01 June 2011

Bank Islam tolak tawaran gabung Bank Muamalat

KUALA LUMPUR, 1 Jun — Lembaga Bank Islam Malaysia Bhd telah menolak tawaran penggabungannya dengan Bank Muamalat Malaysia Bhd, yang dimiliki tokoh perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, atas alasan mereka tidak melihat adanya nilai hasil langkah itu. The Malaysian Insider difahamkan pengarah-pengarah bank Islam pertama negara itu pada awalnya khuatir yang mereka perlu menerima tawaran penggabungan yang diketengahkan memandangkan Syed Mokhtar dilihat sebagai ahli perniagaan rapat dengan pentadbiran Najib ekoran siri peluang bisnes diperolehnya sejak kebelakangan ini.
“Mereka membuat keputusan itu pada satu mesyuarat semalam, untuk menolak tawaran bergabung kerana pandangan di Putrajaya ialah tiada desakan agar diadakan penggabungan sedemikian antara dua bank ini,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.
Bank Islam ditubuhkan pada 1983 dan antara pemegang sahamnya ialah Dubai Islamic Investment Group yang memegang 40 peratus ekuiti.
Keuntungannya meningkat 34.3 peratus kepada RM79.9 juta tahun lalu.
Bidaan Syed Mokhtar bagi Bank Islam muncul selepas kejayaan beberapa syarikatnya, antara lain menguasai 32 peratus pegangan Khazanah Nasional Berhad dalam Pos Malaysia, menjadi rakan penyedia projek Transit Rapid Massa (MRT) dan lanjutan kontrak pengimport tunggal beras ke Malaysia.
Konglomeratnya, DRB-Hicom Bhd pada 13 Mei lalu berkata ia menerokai potensi penggabungan Bank Muamalat dengan Bank Islam tetapi tiada rancangan untuk menjual saham-sahamnya dalam Bank Muamalat.
Bank itu berkata ia telah mengemukakan surat hasrat kepada BIMB Holdings Bhd (BIMB) untuk menerokai potensi penggabungan kedua-dua bank.
DRB-Hicom merupakan syarikat pegangan utama Bank Muamalat dan memiliki 70 peratus pegangan manakala Khazanah Nasional Bhd memiliki baki 30 peratus.
Pada 27 Mei lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata penggabungan Bank Muamalat dan Bank Islam untuk membuka ruang bagi kewujudan satu Bank Islam Mega tunggal sukar untuk dilakukan dalam masa terdekat ini.
Kata beliau, memang ada cadangan daripada pemegang saham kedua-dua bank berkenaan ke arah itu, tetapi ketika ini tiada perancangan untuk meneruskan usaha penggabungan yang dimaksudkan.
“Ia adalah usaha untuk mewujudkan bank yang lebih besar dan mempunyai daya saing yang lebih tinggi,” kata beliau.
“Bank Negara mungkin ingin melihat bank Islam yang besar dan kerana itu ada keinginan untuk memberikan lesen mega itu dalam masa terdekat.
“Untuk mendapatkan lesen Mega Islamic Bank itu memerlukan modal berbayar sebanyak AS$1 bilion,” katanya lagi.
Bank Muamalat memulakan operasinya pada 1 Oktober 1999, yang lahir hasil peralihan perkhidmatan perbankan Islam dalam Bank Bumiputra Malaysia Berhad yang ketika itu bergabung dengan Bank of Commerce (M) Berhad dan BBMB Kewangan.

Berita terdahulu :
Apa sebalik penggabungan Bank Muamalat - BIMB?

Kerajaan digesa perjelas penggabungan Bank Muamalat- BIMB

PAS persoal tindakan Bank Islam ‘selamatkan’ Bank Muamalat

SR :
Tahniah kepada Bank Islam kerana tidak mahu terlibat dengan politik kotor yang cuba digunakan oleh pihak-pihak tertentu.

No comments:

Post a Comment

TERKINI