25 May 2011

Penangguhan kenaikan elektrik & RON 95

Tiada keputusan kenaikan tarif elektrik, RON95

Jemaah menteri tidak membuat sebarang keputusan berhubung kenaikkan tarif elektrik atau isu lain berkaitan subsidi pada mesyuarat mingguannya hari ini.

Sebaliknya menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Ekonomi Kebangsaan (NEC) bagi keputusan muktamad. Selain itu, katanya, kemelut pengagihan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan juga dibawa ke mesyuarat tersebut.

Panel NEC dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga adalah menteri kewangan dan dianggotai oleh 12 ahli, termasuk, menteri kabinet dan pegawai kanan seperti Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek juga menganggotai majlis itu.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan sidang akhbar petang ini berhubung isu subsidi.Dalam perkembangan berkaitan, taklimat media dan sidang akhbar oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin dimana pengurangan subsidi petrol RON95 dan kenaikkan tarif elektrik dispekulasi akan diumumkan telah dibatalkan.

Taklimat media itu dijadualkan di pejabat kementerian berkenaan di Putrajaya pada jam 12.30 tengahari dan diikuti sidang akhbar pada jam 2 petang.

Ia dipercayai berhubung kenaikan tarif elektrik dan pengurangan subsidi petrol setelah jemaah menteri bermesyuarat pagi tadi.

Bagaimanapun menjelang tengahari, media dimaklumkan bahawa kedua-dua acara itu telah dibatalkan.

Tiada alasan diberikan tetapi seorang pembantu menteri itu memberitahu wartawan bahawa Chin masih bermesyuarat sehingga jam 12.30 tengahari tadi.

Beliau juga enggan mendedahkan sebarang butiran berhubung pembatalan itu.

Beberapa akhbar juga melaporkan bahawa jemaah menteri akan membincangkan sama ada untuk menaikkan tarif elektrik dan mengurangkan subsidi petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair pada mesyuarat mingguannya itu.

No comments:

Post a Comment

TERKINI