11 May 2011

80 ribu tong sisa thorium belum ditanam

Mungkin ramai yang menganggap bahawa penduduk Bukit Merah telah bebas dari ancaman radioaktif berikutan penutupan loji pemprosesan nadir bumi, namun pada hakikatnya, terdapat 80,000 tong sisa buangan nadir bumi yang merbahaya tetapi masih belum dikendalikan dengan sebaik-baiknya.
Kes Bukit Merah memperlihatkan kita bahawa pengurusan sisa radioaktif adalah satu projek yang menelan kos yang tinggi, malah mengakibatkan pencemaran alam - satu pelaburan yang mungkin lebih mendatangkan kerugian daripada keuntungan.
Pengerusi Jawatankuasa Anti-Radioaktif Perak (PARC) Hew Yoon Tat (gambar kanan) memberitahu MerdekaReview, tapak pembuangan sisa radioaktif pertama yang terletak di Keledang Hill adalah untuk menanam kemudahan, perkakas kilang Asian Rare Earth dan sebagainya, namun sisa buangan radioaktif yang paling merbahaya hanya disimpan dalam tong besi, ditempatkan sementara di kawasan yang berhampiran dengan tapak pembuangan.
Hew Yoon Tat menjelaskan, tapak pembuangan sisa radioaktif kedua yang dijadualkan siap dibina pada tahun 2006 oleh Asian Rare Earth Sdn Bhd adalah untuk menanam sisa buangan ini di bawah tanah, namun ditundakan kerana masalah teknikal.  Menurut laporan The Star pada 13 Jun 2010, pembinaan tapak pembuangan sisa toksik kedua ini dimulakan sejak Januari 2010, malah New York Times pada 8 Mac tahun ini melaporkan bahawa 80,000 tong sisa buangan ini akan dipindah ke tapak pembuangan pada "musim panas tahun ini".
Menurut Hew Yoon Tat, tempoh waranti selama dua tahun diberikan selepas tapak pembuangan sisa ini siap dibina; dan kerja pengendaliannya akan diambil alih kerajaaan negeri Perak selepas tamatnya dua tahun ini.
MerdekaReview telah menghubungi syarikat Asian Rare Earth, dan pihaknya menyerah kepada bahagian perhubungan awam syarikatnya untuk menjawab soalan wartawan.  Pihaknya mengesahkan laporan New York Times, malah memaklumkan bahawa sisa buangan thorium itu akan dipindahkan ke tapak pembuangan kedua pada Julai atau Ogos, dengan pemantauan wakil daripada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).
Beliau menambah, keseluruhan proses pembersihan ini dijangka siap antara tahun 2013 hingga 2014.
Wartawan MerdekaReview cuba memerhati di kawasan tersebut, namun dihalang ketika cuba mengambil gambar di situ.  Oleh itu, wartawan hanya boleh menangkap gambar luaran tapak itu dari jarak jauh.  Tempat yang hanya tiga kilometer jauhnya dari Papan, mempunyai pemandangan yang indah, dengan tasik ikan, rumpun, sungai malah kambing dan lembu.
Asian Rare Earth yang 35% sahamnya dimiliki Mitsubishi Chemical Holdings telah menutup kilangnya pada 30 April 1994.  Namun, 17 tahun kemudian, pembersihan sisa thorium masih belum disiapkan, malah kerja yang paling menyulitkan sedang menunggu di depan.
Pihak kilang telah menanam bahan radioaktif yang muatannya 11 ribu truk, termasuk bumbung dan batu-batan kilang, ke dalam tanah yang 25 kaki dalamnya, setelah kilang itu ditutup.  Tapak pembuangan sisa toksik ini terletak di hutan simpanan Keledang Hill.
Menurut laporan New York Times pada 8 Mac, salah satu kontraktor Asian Rare Earth, Penasihat GeoSyntec, Anthony Goh berkata, jurutera meratakan sebuah bukit yang jaraknya tiga batu di dalam hutan, kemudian menanam bahan beradioaktif ke pusat bukit itu, dan seterusnya ditutup dengan 20 kaki tanah dan granit.
Namun demikian, Asian Rare Earth pada ketika itu hanya memasukkan sisa thorium yang beradioaktif ke dalam 80,000 tong besi, dan disimpan di sebelah tapak pembuangan sisa tanpa ditanam ke dalam tanah.  Dengan kata lain, penduduk tempatan di sekitarnya masih terdedah kepada ancaman pancaran radioaktif.
Hew Yoon Tat yang menyaksikan sendiri bagaimana sisa radioaktif ini dikendalikan ketika itu berkata, sisa thorium seharusnya disimpan dalam tong keluli, namun pihak kilang hanya menyimpan dalam tong besi "second hand" (terpakai) untuk menjimatkan kos.  Beliau berkata tong besi terpakai itu tidak tahan lama, dan bimbang telah rosak setelah sekian lama.
Tan Ka Kheng yang kini mengajar di kolej swasta, ketika dihubungi MerdekaReview berkata, "Keradioaktifan sisa thorium adalah tinggi.  Pada ketika itu, pakar radioaktif dari Jepun Sadao Ichikawa mendapati kadar radioaktif di tempat simpanan sisa buangan mencecah paras 79,000 mRad, iaitu 790 kali ganda lebih tinggi daripada radioaktif alam persekitaran.  Saya tidak faham mengapa 80,000 tong ini tidak didahulukan pengendaliannya."
Menurut laporan New York Times, kerja pembersihan yang paling sulit bakal dijalankan pada "musim panas" ini, dan Asian Rare Earth akan menggunakan robot dan petugas yang dibekalkan kemudahan keselamatan untuk mengeluarkan 80,000 tong sisa buangan toksik ini, dan ditanamkan ke dalam tapak pembuangan setelah dibaur dengan simen dan kapur.
Mahathir mendakwa ia amat merbahaya
Pengendalian sisa buangan Asian Rare Earth tidak mendapat perhatian untuk sekian lama ini.  Malah Tan Ka Kheng yang pernah terlibat dalam perjuangan anti-radioaktif bersama penduduk Bukit Merah tidak menguasai maklumat mengenainya.  Sehingga Mei 2010, mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa masih terdapat "jumlah kecil buangan nuklear" di negeri Perak, barulah The Star melaporkan bahawa masih terdapat 80,000 tong sisa buangan radioaktif yang belum dipindahkan ke tapak pembuangan kekal.
Bagaimanapun, Mahathir (gambar kiri) mendakwa bahawa dirinya tidak tahu di manakah tempat sisa buangan tersebut ditanam, "Mungkin ia rahsia rasmi negara, tapi saya pasti kita telah menanamkan bahan ini."  Padahal, maklumat Mahathir silap.  Laporan The Star pada 13 Jun 2010 mendedahkan bahawa akhbarnya mendapati 80,000 tong sisa buangan ini belum "ditanam ke dasar tanah" sebagaimana yang dikatakan Mahathir.
Kebimbangan penduduk Papan
Dalam isu Bukit Merah ini, kerajaan dan pihak kilang tidak telus ketika mendedahkan maklumat yang berkenaan.  Penduduk yang berhak untuk mengakses kepada maklumat itu tidak dimaklumkan.  Lawatan wartawan MerdekaReview ke Papan mendapati penduduk tempatan masih diselubungi kebimbangan.
Ketua Kampung Papan Kuan Yuk Lee, 68, memberitahu bahawa terdapat sebatang sungai di tapak pembuangan sisa radioaktif, dan sungai tersebut mengalir ke Kampung Baru Papan.  Seandainya berlaku kebocoran, maka kesihatan penduduk Papan akan terancam.  Kuan Yuk Lee juga Ketua MCA Cawangan Papan, mendakwa bahawa pihak berkenaan tidak melaporkan maklumat terperinci kepada penduduk kampung.
Ketika ditanya sama ada beliau pergi ke kawasan tersebut untuk menjenguk keadaan sebenarnya, Kuan menjawab, "Dia (pihak pengurusan) tak bagi masuk!"
Banyak rumah di kampung Papan yang ditinggalkan usang begitu sahaja, kata Kuan Yuk Lee (gambar kiri).  Kini, terdapat kira-kira 100 keluarga di Kampung Baru Papan, dengan jumlah penghuni beberapa ratus orang, yang kebanyakannya warga emas.  Isterinya, Chan Swee Yong turut gelisah sisa toksik itu dibawa angin ke tempat mereka.
Pada hemat Tan Ka Kheng, Asian Rare Earth atau badan pemantau seperti Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) perlu mendedahkan indeks pancaran radioaktif di situ, memandangkan pengendalian sisa buangan ini membawa kesan terhadap kesihatan penduduk.  Malah di China, mereka akan mengumumkan indeks buangan air dari kilang setiap bulan, dan jelas Malaysia telah ketinggalan dalam hal ini, kata Tan Ka Kheng.
Selain itu, Tan Ka Kheng berkata, "Menteri Besar Perak pernah berkata, 'Asian Rare Earth adalah syarikat swasta, dan bertanggungjawab kepada AELB.  Maka maklumat itu tidak perlu diumumkan'.  Tapi, jikalau tapak pembuangan sisa radioaktif itu selamat, mengapa takut diumumkan?"
Beliau menambah, ini pentingnya Akta Kebebasan Maklumat, agar rakyat boleh mengakses maklumat-maklumat sebegini.
Perjuangan penduduk Papan
Hew Yoon Tat mengisahkan perjuangan anti-radioaktif yang dimulakan penduduk Kampung Papan pada tahun 1983, dan kemudian merangsang penduduk di kawasan berhampiran seperti Bukit Merah untuk menyertai perjuangan tersebut.  Penduduk Papan mengundang pakar dari Britain dan Jepun untuk membuat kaji selidik di tempat mereka, dan berjaya mendesak agar Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, Musa Hitam untuk mengumumkan agar tapak baru dicari untuk pembuangan sisa pada tahun 1984.
Pada tahun 1986, kerajaan mengumumkan pembinaan tapak pembuangan sisa di Keledang Hill, namun pembinaannya hanya bermula pada 1989, siap pada tahun 1990 dan dipindahkan sisa itu ke situ pada tahun 1991.
Menurut keratan akhbar pada ketika itu, lapan orang penduduk Bukit Merah membawa kes ini ke mahkamah pada 1 Februari 1985 untuk memohon agar Asian Rare Earth dihalang untuk terus beroperasi.  Pada 14 Oktober 1985, Mahkamah Tinggi meluluskan permohonan penduduk.  Namun demikian, pada Disember 1986, AELB yang belum genap setahun ditubuhkan, meluluskan lesen kepada Asian Rare Earth, dan kilang ini kembali beroperasi pada Februari 1987.  Jawatankuasa Anti-Radioaktif Perak (PARC) menganjurkan demonstrasi 20,000 orang pada 12 April 1987.
Pada 11 Julai 1992, Mahkamah Tinggi Ipoh mengeluarkan perintah agar kilang ditutup,dan penduduk menyambut kemenangan perjuangan ini.  Bagaimanapun, Mahkamah Agung menolak penghakiman Mahkamah Tinggi Ipoh pada 22 Disember 1993, dan Asian Rare Earth mendapat lampu hijau untuk kembali beroperasi.  Namun, tekanan kerajaan Jepun dan masyarakat sivil di Malaysia akhirnya memaksa kilang ini untuk berhenti pada 30 April 1994.

No comments:

Post a Comment

TERKINI