23 April 2011

Prof Aziz: Kritik Hadi bukan makna saya orang suruhan Anwar



KUALA LUMPUR, 23 April — Penganalisis politik Prof Abdul Aziz Bari yang awal minggu ini menyifatkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai liabiliti kepada PAS dan agar parti itu menerima perubahan kepimpinan menafikan beliau bertindak sebagai “orang suruhan Datuk Seri Anwar Ibrahim.”
Sebaliknya, ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa ini menegaskan, beliau hanya membuat pandangan sedemikian berdasarkan pengamatannya, selain menerima input daripada pelbagai pemimpin parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu.
“Faktanya ialah saya tidak menjalankan arahan DSAI (Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim).
“Ini fitnah, ini tak betul sebab ia tidak wujud. Persepsi orang itu soal mereka. Tetapi mereka tak boleh kata saya ini orang suruhan DSAI.
“Sebab ini memang tidak wujud. Saya komen sendiri tanpa diarah atau berbincang dengan DSAI,” kata beliau mengulas kenyataan bekas pemimpin Angkatan Muda PKR Johari Md Yassin semalam, yang mendakwa penganalisis itu nenerima arahan daripada Ketua Umum PKR itu.
PR dianggotai PAS, PKR dan DAP.
Sehubungan itu kata Aziz, beliau berani menggertak mereka untuk mengambil tindakan undang-undang jika merasakan tidak betul.
Laporan media sebelum ini memetik Aziz, yang lazimnya memberi pandangan terbuka mengenai PAS menegaskan, kepimpinan parti Islam itu perlu berubah terutama Hadi yang kini dilihat sebagai liabiliti.
Pendirian lantang beliau ini dikeluarkan ketika parti Islam berusia lebih enam dekad ini sedang bersiap sedia untuk mengadakan pemilihan pusat Jun ini.
Lebih-lebih lagi pandangan ini dilontarkan selepas PAS sekali lagi gagal memperoleh sebarang kerusi di Sarawak apabila tewas di kesemua lima kerusi yang ditandinginya Sabtu lalu.
Dalam reaksi balasnya ini, Aziz berkata beliau membuat pandangan berdasarkan pengamatan dan juga menerima maklumat daripada pimpinan tertinggi dalam PAS.
“Tapi saya tak boleh dedahkan mereka. Saya buat pemerhatian berdasarkan kajian yang dibuat oleh pelbagai pengkaji yang disahkan oleh keresahan dalam parti; contohnya Bukit Bintang. Maklumat yang saya perolehi itu hanyalah secebis tip,” katanya sambil menambah, sebab itu media termasuk akhbar arus perdana menghubunginya untuk komen dan ulasan.
Bagaimanapun kata beliau, apa yang diperkatakan oleh bekas pemimpin PKR itu “bukan ‘fair comment’, yakin mengada-adakan sesuatu yang tidak wujud.”
Susulan komen Aziz, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Rabu lalu, mempertahankan Hadi dengan berkata, PAS tidak perlu mengubah pemimpin hanya kerana kekalahan dalam pilihan raya termasuk ekoran kegagalan memperoleh kerusi di Sarawak minggu lalu.
Sambil menegaskan tindakan menukar pemimpin hanya kerana pilihan raya sebagai “langkah kurang tepat”, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, “pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT.”
Malah Rabu lalu, Hadi berkata, beliau sedia ditentang pada pemilihan pusat Jun ini.
“Jika ada pencalonan diterima pemimpin lain untuk menentang (saya), saya sendiri amat mengalu-alukannya kerana saya bukan mahu menjadi pemimpin selama-lamanya.
“Saya sendiri sudah berumur dan memerlukan barisan pelapis,” kata beliau dipetik media.
Kata Hadi, PAS juga mengalu-alukan pertandingan sebarang jawatan untuk membuktikan keterbukaan parti dalam soal pemilihan pemimpin selain memantapkan kepimpinan parti.
“Pertandingan digalakkan bukan sahaja bagi jawatan parti peringkat cawangan dan kawasan, tetapi meliputi kesemua jawatan termasuk peringkat tertinggi melibatkan jawatan presiden, timbalan dan naib,” kata beliau.
Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata pemimpin, ahli dan penyokong perlu sambut baik jika ada pencalonan daripada pemimpin PAS untuk jawatan tertentu daripada latar belakang dan pendidikan yang berbeza.

selendangrakyat : Kadangkala pujian boleh membuat kita leka dan kritikan itulah ubatnya walaupun selalunya ia pahit. Jangan apabila pendapat atau kritikan itu selari dengan kita, kita julang beliau tetapi apabila bercanggah kita melenting. Dr Aziz Bari hanya menyatakan pendapatnya dan S/R cukup bersetuju dengan pendapat Datuk Husam Musa. Pas perlu disegarkan dan Pas harus menjadi parti yang memimpin dalam Pakatan Rakyat. Takbir!

No comments:

Post a Comment

TERKINI