24 April 2012

Yahudi bakal kuasai 20% saham FGVH?

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Dr Rosli Yaakub mendakwa sebuah syarikat milik Yahudi, Bunge Limited antara yang bakal menjadi 'rakan kongsi strategik' kepada Felda Global Ventures Holding Berhad (FGVH) apabila disenaraikan di Bursa Malaysia.

Menurutnya, Bunge Limited bakal memiliki saham sebesar 20 peratus di dalam syarikat tersenarai FGVHB di mana usahasama antara FGVHB dan Bunge Limited telah dimetrai pada bulan Disember 2011.

"Bunge Limted adalah syarikat milik orang Yahudi di mana matlamatnya ialah ia mahu menguasai dan memonopoli," katanya ketika berucap membentangkan kertas kerja di Konvensyen Halatuju Felda di Shah Alam Ahad lalu.

Tambahnya lagi, Bunge Limited adalah sebuah syarikat terkemuka di dunia yang menjalankan perniagaan 'agrobusiness' dan makanan.

Kakitangan syarikat itu kata Rosli berjumlah 32 ribu orang di lebih dari 30 buah negara dan ia adalah sebahagian daripada rangkaian syarikat-syarikat 'food cartel' dunia.

"Setakat ini, food cartel ini belum lagi berjaya mendominasi pengeluaran dan pasaran sawit dan produk sawit.

"Apabila ianya kelak menjadi rakan kongsi strategik kepada FGVHB maka Felda akan menyumbang ke arah penyempurnaan pengawalan oleh food cartel ini ke atas makanan-makanan utama dunia," sambungnya lagi.

Di Argentina, Bunge Limited telah berjaya membolot 'tanah perladangan yang keluasan beratus-ratus ribu ekar di kawasan tanah subur di Pampas Plains, malah mereka juga telah berjaya menguasai ekonomi Argentina.

"Akan beruntungkah peneroka-peneroka Felda dan akan selamatkah anak-anak peneroka Felda dan generasi mereka akan datang apabila satu bangsa yang tidak pernah ada belas kasihan.

"Mahukah dan bersediakah peneroka Felda untuk berkongsi tanah dan kilang-kilang minyak sawit yang mereka miliki dengan Yahudi," soal beliau lagi.

-HRKHDAILY-

21 April 2012

PTPTN perlu guna konsep Islam

KUALA TERENGGANU – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak boleh dihapuskan begitu sahaja tetapi perlu melalui proses tertentu yang adil dan tidak membebankan sesiapa, kata pemimpin Pakatan Rakyat.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, konsep Islam menyarankan golongan berada mengambil tanggungjawab untuk membantu golongan miskin.

“Bagi kepada kita (tadbir) kita tahulah nak buat macam mana. Konsep Islam, orang berada mengambil tanggungjawab, orang miskin tidak akan dibebankan, itu akan berlaku,” katanya.

Kata beliau, teori masyarakat Ibnu Khaldum mengatakan pendidikan adalah industri, industri menghasilkan produktiviti, pendidikan juga menghasilkan manusia yang hasilkan produktiviti.

“Oleh itu PTPTN tidak boleh dihapuskan begitu saja, kena ada proses. Proses adil dan tidak membebankan orang miskin tapi orang berada mesti pikul tanggungjawab,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas taklimat pembinaan Dewan Tok Guru di Rusila, Marang, semalam.

Bagaimanapun kata beliau, kerajaan sekarang tidak mampu mengurus dengan baik dan ia dibuktikan banyak wang negara bocor akibat masalah rasuah dan penyelewengan.

Katanya, kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) berbohong kepada rakyat apabila menyatakan negara akan jatuh bankrap sekiranya dana pendidikan itu dihapuskan.

“Pendidikan percuma itu konsep negara berkebajikan yang Pas kemukakan. Masalah dana perlu ditangani dengan bijak, kita nak laksanakan konsep (negara berkebajikan) tapi terpaksa memikul bebanan kesalahan BN.

“Bankrap itu tidak betul, bohong, ia disebabkan salah urus. Banyak negara seperti Britain, Sweeden, Norway dan Jerman beri pendidikan percuma. Apa yang berlaku adalah kerana duit negara bocor sebab rasuah, penyelewengan,” katanya.

Mengulas mengenai perhimpunan sekumpulan mahasiswa di Dataran Merdeka sejak seminggu lalu beliau menafikan dakwaan mengatakan Pakatan Rakyat (PR) dalang di sebalik desakan supaya kerajaan memansuhkan PTPTN.

Kata beliau, dakwaan bahawa pembangkang mempergunakan pelajar demi mencapai kepentingan sendiri adalah satu tuduhan tidak munasabah kerana golongan itu bukan mudah untuk ditipu.

“Pelajar ni orang berpelajaran, berpendidikan tinggi oleh itu tidak mungkin mereka boleh dipergunakan dengan sebegitu mudah,” katanya.

Menurut Abdul Hadi, pelajar di negara ini tidak bebas kerana dikongkong oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan ia menjadi salah satu punca berlakunya perhimpunan seumpama itu di Dataran Merdeka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang itu berkata, akta tersebut tidak lagi relevan untuk digunapakai dan terpulang kepada kumpulan mahasiswa terbabit sama ada terus berkhemah atau menamatkannya, dengan syarat keamanan dan keselamatan terjaga.

TERKINI