14 March 2012

Kelab Media kecam kenyataan Khairy

SENAI – Kelab Media Johor mengecam kenyataan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin dalam laman twitternya, yang seolah-olah tidak memahami tugas dan tanggungjawab pengamal media dalam melaporkan kisah kanak-kanak malang, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, yang ditemui, semalam.
Presidennya, Mohamad Fauzi Ishak berkata, sudah menjadi tanggungjawab pengamal media untuk melaporkan pelbagai jenis berita yang mempunyai nilai yang tersendiri sekali gus membimbing khalayak ramai dijadikan pengajaran pada masa hadapan.
Menurutnya, tujuan pengamal media melaporkan berita bukanlah sekadar untuk mengaibkan individu tertentu sebaliknya menyampaikan maklumat berguna demi kepentingan semua pihak seterusnya menyampaikan saluran maklumat yang berguna.
“Kenapa sekarang nak timbul isu bahawa kami (pengamal media) sibuk melaporkan berita Dirang telah ditemui? Bahkan sebelum ini, banyak lagi kes lain yang pernah kami turut laporkan. Kesemuanya dilaksanakan demi tuntutan kerja kami atas tunjang menggalas amanah yang diberikan.
“Banyak lagi kisah menyayat hati turut kami laporkan sebelumnya. Kesemuanya mempunyai nilai berita yang dikeluarkan dengan penulisan dan laporan yang beretika dan sebenarnya bertujuan menyampaikan maklumat kepada orang ramai.
“Secara tidak langsung, kami (pengamal media) menjadi medium membantu menyelesaikan siasatan polis. Kami turut menyebar maklumat kepada orang awam agar mereka lebih peka kepada isu dan perkembangan semasa. Bagaimanapun cuba fikir perkara ini dari sudut positif pula,” katanya kepada Sinar Harian.
Khairy dalam laman twitternya mengeluarkan kenyataan “tak faham kenapa perlu ada media dan jurugambar yang merakam reaksi keluarga Nurul Nadirah bila diberitahu mayatnya dijumpa. Baru keluar berita” yang seolah-olah menidakkan tugas sebenar pengamal media.
Mohamad Fauzi turut meluahkan perasaan sedihnya ke atas nasib kanak-kanak malang yang tidak berdosa itu apabila dijumpai dalam keadaan yang menyayat hati setelah usaha mencarinya dilakukan 11 hari.
“Saya selaku wakil media Johor merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Dirang. Harap keluarganya dapat banyak-banyak bersabar dan saya percaya apa yang berlaku itu pasti ada hikmah yang tersendiri.
“Saya turut mengingatkan ibu bapa yang lain agar lebih memberi perhatian kepada anak-anak masing-masing,” katanya yang memberitahu bahawa Kelab Media turut bakal menyalurkan bantuan berupa wang tunai kepada keluarga Dirang dalam masa terdekat ini sebagai meringankan beban mereka.
-SH-

08 March 2012

Skim SBPA dimansuh, pelarasan gaji 7 - 13 peratus

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan Skim Saraan Baru Penjawat Awam (SBPA) dimansuhkan.

Dalam pengumuman di depan ribuan penjawat awam di Putrajaya hari ini, Najib berkata keputusan itu dibuat setelah mendengar rintihan penjawat awam yang tidak berpuas hati.

"Dengan keputusan ini, Skim Saraan Malaysia (SSM) dikembalikan dengan penambahbaikan," katanya pada majlis Perhimpunan Khas Penjawat Awam bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Berhubung pelarasan gaji pula, ia dibuat berdasarkan jadual gaji matriks SSM mengikut peratusan gred yang ditetapkan
seperti berikut:
  • Kenaikan 13 peratus bagi kumpulan pengurusan, profesional dan pelaksana dari gred 1 hingga 54.
  •  Kenaikan 9 peratus untuk gred utama kumpulan JUSA C, B dan A.
  •  Kenaikan 8 peratus untuk turus 3 dan 2.
  •  Kenaikan 7 peratus untuk turus 1 dan ketua setiausaha.
Najib mengakui sepanjang tempoh tiga bulan SBPA diperkenalkan, kerajaan menerima hampir 1,000 aduan dan memorandum, termasuk cadangan daripada 23 persatuan berkaitan.

"Saya harap semua pihak reda dan tak ada lagi yang tak puas hati di semua peringkat. Saya doakan ini jadi penyelesaian terbaik," katanya.
Kerajaan juga bersetuju elaun bantuan sara hidup (COLA) bagi kawasan B dan C masing-masing dinaikkan daripada RM150 kepada RM250 sebulan.

Sebelum ini, COLA bagi kawasan B dan C masing-masing ditetapkan pada kadar RM200 dan RM100.

Najib juga mengumumkan pembentukan suruhanjaya yang dianggotai pihak berkepentingan, seperti kementerian kewangan dan Cuepacs bagi mengkaji tuntutan-tuntutan lain penjawat awam.

Sementara itu, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata, beliau akan membangkitkan  beberapa perkara yang belum diputuskan dalam suruhanjaya yang dibentuk itu.

"Kita rasa lega sikitlah dengan adanya suruhanjaya. Kalau tak, kita kena buat jawatankuasa itu, jawatankuasa ini," katanya.

Omar juga berharap kenaikan gaji yang diberikan tidak diikuti dengan kenaikan harga barangan yang boleh membebankan pengguna.

-MKINI-

TERKINI