02 February 2012

KITA akan dibubarkan, umum Zaid

Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA) akan dibubarkan melalui mesyuarat agung luar biasa (EGM) tidak lama lagi, kata presidennya Datuk Zaid Ibrahim.

NONEDalam laman blog beliau, Zaid berkata pembubaran itu bertujuan menghapuskan sebarang keraguan yang mendakwa bahawa mereka tidak memihak kepada  pembangkang.

"(Ini) terutama dengan beberapa anggota kami di Kedah dan Pulau Pinang secara terbuka yang mengkritik Pakatan Rakyat.
"Mereka telah melakukan perbuatan ini secara berterusan. Ini jelas membuktikan bahawa mereka tidak berminat dalam isu-isu sebenar yang memberi kesan kepada negara dan semata-mata mahu memalukan dan mencemuh pihak pembangkang,” katanya.

NONEParti itu yang berusia setahun bulan lalu ditubuhkan selepas Zaid meninggalkan PKR secara tergesa-gesa berhubung dakwaan salah-laku dalam pemilihan parti itu.

KITA bahagian Melaka dibubarkan pada 11 Januari lalu dengan 60 daripada ahli mereka memilih menyertai PKR.
Menurut bekas pengerusi parti KITA Melaka, Leftenan Kolonel (B) Hashim Puteh, tindakan itu diambil berikutan ahli merasakan beberapa perkara telah terkeluar daripada perjuangan asal parti.

29 January 2012

Cuepacs protes Pahang swasta JBA



TEMERLOH - Seramai 1,700 pegawai dan kakitangan Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang akan mengadakan bantahan jika permintaan mereka agar pengkorporatan dan penswastaan agensi itu pada 1 Februari ini ditangguhkan, tidak dipedulikan.

Presiden Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata, penangguhan itu perlu kerana mereka belum mendapat penerangan dan maklumat lengkap mengenai rasional cadangan pengkorporatan serta penswastaan
tersebut.

"Cuepacs tidak ada pilihan lain kecuali akan bertindak mengadakan bantahan besar-besaran yang membabitkan semua kakitangan JBA Pahang sekiranya pengkorporatan ini diteruskan kerajaan, walaupun ia mendapat bantahan rakyat.

"Saya merayu bagi pihak kakitangan JBA Pahang supaya Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob menggunakan kuasanya untuk menangguhkan pengkorporatan ini sebelum semua isu berbangkit dapat diselesaikan demi faedah kedua-dua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penerangan Pemindahan Gaji Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan pengkorporatan JBA Pahang anjuran Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja (KKPP) Jabatan Bekalan Air di Bangunan Persekutuan Temerloh di sini semalam.

Hadir sama Presiden KKPP Jabatan Kerja Raya dan Air Pahang Sayuti Dollah.

Omar juga berkata, penangguhan pengkorporatan itu adalah wajar kerana tiada langsung rundingan rasmi setiap wakil kesatuan yang terlibat sedangkan ia membabitkan masa depan kakitangan JBA Pahang.

Beliau berkata, 80 peratus daripada kakitangan JBA di Pahang menandatangani surat opsyen persetujuan tanpa mengetahui butiran perkhidmatan terbaru atas arahan ketua jabatan masing-masing.

Omar berkata, ketika ini, SBPA dikaji semula bagi memastikan semua pihak mendapat faedah tanpa mengabaikan mana-mana kakitangan, khususnya dalam aspek gaji, kekananan dan sebagainya.

"Sepatutnya, pihak berkenaan terlebih dahulu menyelesaikan isu SBPA sebelum meneruskan agenda pengkorporatan JBA Pahang secara tergesa-gesa sehingga menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak, khususnya kakitangan JBA Pahang sendiri," katanya. - Bernama

TERKINI