25 July 2011

Kajian: Kos hidup naik, BN boleh rasa tempias di PRU

KUALA LUMPUR, 25 Julai — Peningkatan kos hidup dilihat akan menyulitkan Barisan Nasional (BN) dalam menarik sokongan pada pilihan raya umum ke-13 khususnya di kalangan pengundi kawasan bandar yang berhadapan dengan kesan pendapatan kekal tidak berubah sedangkan paras inflasi pula mengalami kenaikan.

Pugutan suara di kalangan 100 warga kota oleh The Malaysian Insider baru-baru ini menunjukkan 44 peratus menuding jari ke arah kerajaan berhubung kenaikan kos berbanding 41 peratus mengaitkan dengan faktor global dan hanya lima peratus mempersalahkan golongan peniaga.

Minggu lalu, Putrajaya mengumumkan bahawa kadar inflasi Malaysia mengalami peningkatan sebanyak 3.5 peratus pada Jun berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Kadar inflasi pada Mei 2011 adalah 3.3 peratus, masih rendah daripada paras lima peratus yang boleh diterima oleh kerajaan.

Pentadbiran Najib tidak mengatakan bila akan memanggil pilihan raya umum tergempar, tetapi timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam memberitahu ahli-ahli Umno agar bersedia memandangkan pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa.

Daripada 86 orang, yang merupakan pengundi berdaftar, seramai 40 responden berkata kos sara hidup kemungkinan akan memberi kesan ke atas pendirian sokongan mereka dalam pilihan raya umum manakala 31 yang lain mengatakan tidak mungkin ada kesan ke atas mereka. Seramai 15 pemilih berkata kos sara hidup akan memainkan peranan berkecuali dalam menentukan siapa yang mereka akan mengundi kelak.

Seorang pesara Rohani Saad, 57, memberitahu The Malaysian Insider, dia percaya undi ketika pilihan raya umum merupakan satu-satunya cara boleh melahirkan rasa tidak puas hati mengenai kenaikan kos sara hidup.

“Jika kerajaan mengatakan harga tak naik, harga tentu naik,” kata Rohani yang kini bergantung pada simpanannya.

Meskipun Rohani berjimat cermat, membelanjakan sekitar RM100 seminggu untuk barang-barang runcit bagi suami dan dirinya, dia merasakan kedudukan kewangan semakin buruk tahun ini.

Malah mereka yang agak berada pun merasakan mereka “miskin” sekarang ekoran peningkatan inflasi.

Seorang pengurus pejabat yang hanya mahu dikenali sebagai Anne berkata, kerajaan seharusnya memantau harga barang khususnya harga barang-barang keperluan seharian seperti makanan bagi membolehkan kos sara hidup dapat dikawal.

Meskipun pendapatan Anne dan suaminya mencecah RM10,000 sebulan tetapi dia terpaksa memotong bajet membeli ikan sebab ia terlalu mahal sekarang.

“Kami suka makan ikan, tetapi kami juga rasa perit (kenaikan harga),” katanya lagi.

Meskipun pentadbiran Najib menggerakkan program-program transformasi ekonomi tetapi kesannya belum dirasai rakyat memandangkan mereka juga berhadapan dengan kenaikan harga barangan khususnya di kawasan-kawasan bandar berbanding kadar pendapatan.

Perkara ini juga dikesan menerusi pungutan suara yang diadakan.

Kira-kira 34 peratus responden berkata mereka merasakan kedudukan kewangan mereka lebih buruk berbanding setahun lalu manakala 43 peratus merasakan tiada sebarang perubahan dan 23 peratus mengatakan keadaan mereka lebih baik.

“Kehidupan di sini semakin buruk sekarang,” kata Choong, 40, seorang pemilik restoran di Subang Jaya.

Ibu kepada empat orang anak ini berkata, rakyat Malaysia perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk memiliki barangan keperluan berbanding negara-negara lain seperti England.

Selain perbelanjaan isu rumah yang semakin meningkat, katanya, bisnes restorannya merasai kesan memandangkan ramai pelanggan sudah kurang makan di luar ekoran kenaikan kos.

Bagaimanapun beberapa orang yang ditemui tidak bersetuju dengan Choong dengan mengatakan bahawa rakyat Malaysia lebih baik berbanding mereka yang tinggal di luar negara.

“Rakyat Malaysia yang tidak pernah tinggal di luar negara tidak tahu yang mereka sebenarnya bernasib baik kerana semuanya ada di sini,” kata Muhammad Zafran Kadir, seorang pengurus komunikasi dari Subang Jaya.

“Berbanding kepercayaan popular, Malaysia merupakan salah satu bandar raya paling rendah kos hidup. Ketika saya berada di Australia, saya mengeluarkan A$400 (RM1,280) seminggu untuk sewa. Jika bukan kerana pinjaman kerajaan, saya tidak boleh hidup,” katanya lagi.

Pun begitu, penganalisis memberi amaran bahawa kos sara hidup dan keadaan ekonomi negara akan menjadi isu utama pilihan raya.

“Kos hidup sentiasa menjadi isu serius bagi kerajaan apabila berhadapan dengan pilihan raya,” kata James Chin, penganalisis politik dari Monash Univeristy kampus Malaysia.

“Ketika keadaan ekonomi tidak baik, kerajaan berhadapan dengan kesukaran,” katanya.

Ketua Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs, Wan Saiful Wan Jan berkata kos sara hidup merupakan isu paling ketara di kalangan orang ramai.

“Sejauh mana baiknya keadaan ekonomi, ia memainkan peranan signifikan dalam arah aliran pengundian,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Saiful juga berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini berhadapan dengan pilihan sukar memandangkan beliau terperangkap dalam dilema sama ada wajar memotong subsidi, sebagai sebahagian daripada pembaharuan fiskal bagi mengimbangkan bajet kerajaan, tetapi pada masa yang sama berhadapan dengan situasi tekanan kenaikan harga barang.

Menurutnya, pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) oleh Tun Abdul Razak pada 1970 telah membawa kepada pergantungan ke atas campur tangan kerajaan dan subsidi, sekali gus mewujudkan budaya subsidi yang sukar bagi Najib untuk keluar.

“Bagaimana Najib boleh memberitahu publik bahawa subsidi tidak boleh berkekalan?” kata Wan Saiful.

“Beliau tidak boleh kata bapanya salah apabila melaksanakan DEB,” katanya lagi sambil menambah, “sesuatu yang malang bagi kerajaan buat masa sekarang.”

Wan Saiful berkata, Pakatan Rakyat memperoleh kelebihan politik daripada tindakan Putrajaya memotong subsidi dan impaknya ke atas kos sara hidup tetapi menurutnya, ia pendekatan popular dan tidak bertanggungjawab.

Malah kata beliau, sebagaimana kerajaan semasa, Pakatan Rakyat tidak dapat mengekalkan subsidi untuk jangka masa yang panjang.

Kata Wan Saiful, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya lebih mengetahui perkara ini berbanding menentang pelarasan subsidi.

Sementara parti-parti politik berusaha memikat undi, pengundi sendiri kelihatan sinis dengan mendakwa bahawa sokongan mereka hanya dikira ketika pilihan raya tetapi bukan dalam persekitaran realiti.

Seorang penjaja yang hanya mahu dikenali sebagai Lee berkata, meskipun dia sudah banyak kali mengundi tetapi tidak merasakan undinya ada membawa sebarang perubahan.

Lee yang berusia 70 tahun berkata, dia kecewa kerana harapannya agar kehidupan akan bertambah baik tidak mendapat perhatian ahli-ahli politik.

Katanya, bilangan mereka yang mengunjungi gerainya semakin menurun memandangkan ramai mahu makan di rumah.

“Saya tidak tahu ke mana pergi mereka semua,” katanya dengan nada kesal.

24 July 2011

SPRM: Siasatan atau penderaan?

Laporan Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian Teo Beng Hock amat mengejutkan. Ia memperlihatkan bagaimana proses soal-siasat mampu merosakkan minda seseorang hingga membuatkan mangsa hilang pertimbangan dan membunuh diri.

Jika kita menilai kaedah siasatan itu, mungkin kita boleh membandingkan kaedah soal siasat yang dilakukan oleh rejim ganas seperti tentera dan polis Zionis Israel. Antara kaedah dalam setiap siasatan, pasti akan ada ‘penderaan’.

Penderaan ini boleh berlaku secara mental (tanpa sentuhan) dan fizikal (sentuhan). Kesannya tetap sama walau pun tiada ‘body contact’ anggota penyiasat.

Di Israel, walau pun kaedah ini tidak berperikemanusiaan, pihak Zionis berani menyiarkan secara terperinci kaedah atau sistem soal siasat itu kepada rakyat Israel. Sekurang-kurangnya, warga masyarakat tahu tentang kaedah ini, dan boleh menuntut supaya ia dibatalkan atau diteruskan.

Pihak berkuasa siksa orang?

Bagaimana dengan SPRM dan polis di Malaysia? Adakah kita rakyat diberi maklumat dan pengetahuan tentang kaedah yang telah dan sedang digunakan oleh mereka?


Bukankah mereka ini penjawat awam dalam perkhidmatan awam. Ini bermaksud, tanggungjawab mereka adalah kepada rakyat, iaitu kita. Maka kita berhak untuk tahu dan menilai bagaimana dan apakah kaedah siasatan yang digunakan.

Jika ia bersesuaian, maka laksanakanlah, jika tidak mereka perlu akur dengan keputusan rakyat.

Jika SPRM atau polis ini syarikat sendirian berhad, maka terpulanglah kepada syarikat itu. Mereka boleh buat sesuka hati mereka. Tiada siapa ambil peduli tentang kaedah atau hasilnya. Jika rakyat tidak suka, kita boikot mereka.

Tetapi ia tidak begitu apabila melibatkan hak asasi manusia, dan membabitkan pula perkhidmatan awam.

Rakyat perlu menuntut pihak berkuasa, khususnya dalam kes Teo Beng Hock, supaya SPRM mendedahkan secara visual, bertulis dan rakaman audio bagaimana kaedah siasatan yang dikatakan melampau ini dilakukan kepada khalayak.

Dengan itu, rakyat boleh menilai sendiri, sama ada prosedur mereka benar-benar zalim atau tidak, dan siapakah yang harus dipertanggungjawabkan.

Jangan lari dari tanggungjawab

Pihak SPRM tidak boleh lari dari tanggungjawab dengan mengatakan ia rahsia, sulit atau terkandung dalam Akta Rahsia Rasmi atau ia membabitkan isu keselamatan negara. Rakyat berhak untuk tahu sama ada wang cukai mereka serta wang hasil sumber negara digunakan untuk menyiksa rakyat sendiri atau pun tidak.


Alasan untuk lari dari tanggungjawab tidak boleh diterima kerana kes ini sudah menmgakibatkan kematian, dan mangsanya adalah rakyat Malaysia, dan beliau bukan orang kena tuduh, hanya seorang saksi dalam satu kes yang dikatakan pula tidak kukuh.

Jangan beri alasan kononnya SPRM tiada rakaman video, sama ada visual atau audio semasa sesi soal siasat itu. Jika benar tiada rakaman semasa siasatan, maka jelas kaedah siasatan itu tidak profesional dan tidak mengikut piawaian antarabangsa. Ini tidak boleh diterima sama sekali.

Atau, jika SPRM masih gagal mengemukakan bukti itu, maka kita sarankan kepada SPRM untuk melakonkan semula adegan itu.

Bukankah kerajaan memang suka membuat lakonan semula?
Lakukanlah, agar semua rakyat dapat lihat di mana kesilapannya dan siapa yang harus dipertanggungjawabkan.

Ketua SPRM serta Menteri Dalam Negeri sepatutnya meletak jawatan kerana mereka gagal melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah, sebaliknya membiarkan kelemahan sistem sehingga menyebabkan kematian seorang insan yang tidak bersalah.

Contohnya, sebuah kapal terbang tidak akan jatuh menjunam hanya kerana satu skru tercabut, sebaliknya kapal terbang itu hanya akan terhempas apabila wujud pelbagai kelemahan dari banyak aspek, sama ada sistem teknikal, kesilapan manusia dan cuaca. Gabungan inilah yang akan mencetus malapetaka. Ini dinamakan rantaian bencana.

Maka dalam kes Teo Beng Hock, rantaian bencananya adalah sistem dan kaedah yang digunakan. Sistem ini bukan ditentukan oleh satu pihak, sebaliknya banyak pihak termasuk institusi dan individu yang bertanggungjawab.

Dengan itu, pendedahan Suruhanjaya Diraja ini jelas membuktikan bahawa wujud kecacatan, kelemahan dan kesalahan penting dalam sistem yang sedang digunakan oleh institusi ‘penting’ seperti SPRM dan polis. – Roketkini.com

TERKINI