24 August 2011

Saya minta jangan tuduh Dr M tak dengar - Harussani

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria mendakwa beliau pernah meminta bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar jangan membuat tuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim jika tidak cukup bukti.

Namun demikian, nasihat itu tidak didengar oleh Mahathir ketika beliau menjadi perdana menteri dahulu, kata Harussani dalam  wacana Ulama Politik Untuk Dakwah atau Parti? yang bermula jam 11.00 pagi tadi di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf.
“Saya, banyak perkara suruh Dr Mahathir berhenti (tidak lakukan), tapi ada tiga perkara beliau tidak mahu berhenti, yang pertama bila nak pecat, Anwar saya ditahan daripada jumpa perdana menteri.
“Saya kata kepada pembantu (Dr Mahathir) pecat Anwar pengaruh bukan sikit boleh pecah Melayu... bila nak buat tuduhan liwat, saya kata kalau nak pecat Anwar (dari timbalan perdana menteri) buat rombakan Kabinet, letak di kementerian lain... tapi saya tidak dibenarkan jumpa perdana menteri,” katanya pada Wacana Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti hari ini.
Turut serta dalam forum anjuran akhbar Sinar Harian itu adalah Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, ulama muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya manakala moderatornya adalah Datuk Dr Asri Zainal Abidin.

Dalam majlis itu, Mufti Perak itu mendedahkan, bagi memastikan perpaduan Melayu-Islam, beliau pernah mengingatkan Datuk Seri Najib Razak tentang kerajaan yang "lemah, tidak amanah dan rasuah."

"Saya kata pada Najib, Datuk Seri, perpecahan Melayu sebab kerajaan cukup lemah, tak amanah dan rasuah," kata Harussani.

Harussani berkata sebagai orang yang tidak berparti, beliau telah mengambil pendekatan itu sejak zaman Tun Razak Hussein lagi.

Diminta menghuraikan tegurannya itu, Harussani bagaimanapun enggan melakukannya kerana berharap ia "habis di sini sahaja".
Anwar didakwa lagi
Anwar sekali lagi didakwa atas tuduhan meliwat oleh kerajaan yang ditadbir oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Beliau kini sedang dalam peringkat membela diri atas tuduhan itu.
Bekas Duta Amerika ke Malaysia, John Mallot dalam tulisannya mendakwa, pentadbiran Umno dan BN akan mempastikan Anwar akan hidup terus dalam penjara.
Rakan Najib, Datuk Abdul Razak Baginda pernah memberitahu seorang pegawai senior di kedutaan, “Keputusan sudah dibuat. Mereka akan “nuke” (membunuh) Anwar secara politik untuk keseluruhan masa akan datang. Sehingga beliau tidak boleh berdiri lagi dalam politik,” kata Mallot dalam tulisannya.

"Bermaksud, ini adalah satu keputusan politik – untuk memusnahkan Anwar. Itu yang Razak – yang sekarang ini membuangkan diri di London – katakan. Selepas itu, seorang pegawai daripada Special Branch (SB) memberitahu satu pegawai di kedutaan, “Kita akan terus menfailkan dakwaan demi dakwaan terhadap Anwar supaya beliau berada di dalam penjara untuk 100 tahun akan datang," tulisnya lagi.-harakahdaily

22 August 2011

Tumbangnya seorang diktator di tangan rakyat


NONE
Selepas lebih enam bulan berlaku pemberontakan di Libya, rejim Muammar Gaddafi akhirnya tumbang setelah kumpulan pemberontak berjaya menawan hampir seluruh bandar Tripoli.
Bagaimanapun nasib pemimpin Libya itu masih menjadi tanda tanya.
Menurut AFP, anak lelaki bongsu Gaddafi, Seif al-Islam ditangkap oleh pemberontak, manakala anak lelaki sulungnya, Mohammed Al-Gaddafi yang diwawancara oleh televisyen Al-Jazeera di kediamannya dilaporkan menyerah diri, tetapi nasib anak-anaknya yang lain masih tidak diketahui.
Awal pagi ini, Sky News melaporkan pemberontak Libya tiba di Dataran Hijau di tengah Tripoli.

Ramai pemuda mengibarkan bendera merah, hitam dan hijau milik pasukan anti-kerajaan dan bersorak dan menari sambil bertakbir dan melepaskan tembakan ke udara.

Ramai yang menunjuk isyarat jari keamanan sambil menjerit "beritahu Muammar dan anak lelakinya bahawa Libya mempunyai anak jantan".

Sementara itu, Reuters yang memetik televisyen al-Jazeera melaporkan anak lelaki sulung pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, Mohammad, memberitahu awal hari ini bahawa beliau ditahan pemberontak dan dikenakan tahanan di rumah di Tripoli.

“Anggota bersenjata mengepung rumah saya dan saya masih berada di dalam dan mereka di luar. Mereka berkata akan menjamin keselamatan saya. Mereka mengepung rumah saya," katanya menerusi panggilan telefon dari Tripoli.

Bunyi tembakan boleh didengar semasa perbualan itu.

"Ya, tembakan itu dalam rumah saya," katanya sebelum talian tiba-tiba terputus.

AP pula melaporkan harga minyak global dijangka mula mencatatkan penurunan sekiranya pemberontak Libya berjaya menggulingkan Gaddafi; namun kesan keseluruhannya tidak akan dirasai untuk tempoh beberapa bulan.

Malam Ahad (waktu tempatan), pasukan pemberontak bergerak ke Tripoli tanpa berdepan dengan tentangan, ia selepas beberapa jam pangkalan tentera yang mempertahankan ibu kota negara itu dimusnahkan.

Penganalisis bebas, Lipow Andrew, berkata pasaran minyak dijangka akan bertindak balas hari ini dengan mengunjurkan harga yang lebih rendah dalam "tanda lega selepas konflik semakin berakhir."

Namun, Lipow berkata, ia akan mengambil masa untuk pasaran kembali stabil selepas kenaikan harga yang besar terhasil dari penggantungan eksport minyak Libya sejak pemberontakan bermula pada Februari lalu.

Susulan pemberontakan itu, minyak diniagakan pada sekitar AS$84 setong dan menokok di atas AS$93 dan terus meningkat tinggi melebihi AS$110 pada akhir April. Permintaan dari pasaran baru muncul termasuk China juga mendorong harga yang semakin meningkat.

Harga minyak jatuh baru-baru ini bersama stok susulan kebimbangan mengenai ekonomi global.

TERKINI