22 July 2011

98% Rakyat Malaysia Bakal Beralih Kepada Media Baru


KUALA LUMPUR: Kira-kira 98 peratus daripada 26 juta penduduk negara ini akan beralih kepada sumber media baru dan laman sosial seperti blog, Facebook serta Twitter sebelum November tahun ini.

Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, jumlah itu tidak mustahil dicapai kerana saluran media baru merupakan landasan paling berpengaruh yangberupaya melakukan perubahan sosial di negara ini.

"Perkara itu bukan mitos tetapi realiti. Saluran media baru berjaya mencetuskan revolusi sosial di Mesir, Tunisia, Amenia dan Ukraine.

"Kini media mempunyai kuasa sepenuhnya malah ia begitu kompleks dan boleh menyebarkan maklumat kepada sesiapa saja setiap saat. Perkara itu turut diakui kebanyakan ahli falsafah," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk 'Nations On Fire: ThePower Of New Media di sini, Khamis.

Menurut beliau, peralihan tersebut turut didorong oleh beberapa faktor seperti rakyat mahukan ruang untuk berkongsi pendapat dan terlibat dalam sesuatu perkara kerana dunia sekarang bersifat terbuka.

Sehubungan itu, Abu Hassan menggesa media konvensional supaya berubah daripada bersifat primitif dalam menyampaikan maklumat kepada lebih interaktif, terbuka dan menekankan kepelbagaian.

"Kita perlu menerima perubahan ini. Kita sudah memasuki era perundingan... media moden mesti mengamalkan kepelbagaian.

"Stesen radio sudah melalui proses perubahan ini. Pelbagai topik turut dibincangkan oleh penyampai radio. Mereka akan berinteraksi secara interaktif bersama pendengar menerusi telefon," jelasnya.

Katanya, jika kita tidak melakukan perubahan dari segi politik, ekonomi dan tingkah laku sosial, saluran media baru akan digunakan untuk merencanakan perubahan.

"Oleh itu, kita perlu menerima Internet sebagai peradaban manusia yang positif. Kita perlu berkongsi emosi, karakter, teknologi sains dan menerima kehadiran media baru," ujarnya.

Berdasarkan penelitiannya, beliau percaya kira-kira 92 peratus wartawan di negara ini berkhidmat bersama media konvensional berbanding saluran media baru.

"Kita mempunyai sebilangan besar para wartawan dari media konvensional. Saya yakin anda merujuk kepada Internet kerana ia dapat menjimatkan masa, ruang dan kos.

"Orang pertama yang menyebarkan maklumat akan dapat menguasai dunia. Saya pasti media konvensional tidak dapat mengatasinya kerana perlu melalui proses cetakan dan edaran," katanya.

Sementara itu, beliau mencadangkan supaya media konvensional bekerjasama dengan media baru dalam menyediakan lebih banyak ruanguntuk bersuara dan tidak membataskan hubungan dengan sesiapa saja.

"Media konvensional tidak seharusnya menjadi alat propaganda kepada sesiapa saja. Jika ingin bersaing dengan media baru, media konvensional perlu bersikap lebih terbuka dalam penyampaian berita,"ujarnya.

18 July 2011

Tiga tahun Dr Lo’ Lo’ MP pikat kawan dan lawan

KUALA LUMPUR, 18 Julai — Sejak berita kematian muncul lewat malam tadi, mesej menerusi Twitter tidak putus-putus dihantar oleh pelbagai pihak, tidak kira fahaman politik.

Meskipun Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali merupakan wakil rakyat kerusi Parlimen Titiwangsa dari PAS, namun mesej mengucapkan takziah turut diucapkan oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN).

Salah seorang daripada mereka, Datuk Saifuddin Abdullah yang merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno antara lain menyifatkan Dr Lo’ Lo’ sebagai “antara MP wanita yg bersuara, bernas di Dewan Rakyat. Al-Fatihah.”

Ratusan rakyat mengiringi jenazah Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ ke Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat. — Foto oleh Choo Choy MayBerita kematian beliau juga menarik perhatian Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong, yang turut mengucapkan takziah sambil berkata sumbangan dan jasa Dr Lo’ Lo’ akan sentiasa dikenang.

Wakil rakyat BN dari Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan, Ahli Parlimen Kota Belud dalam laman Twitter berkata Dr Lo’ Lo’ merupakan seorang “pemimpin yang baik selain berpidato secara berhemah (di Dewan Rakayt) dan bertanggungjawab.”

Beliau juga berkata Dr Lo’ Lo’ merupakan kenalannya dan pemergian bekas timbalan ketua Dewan Muslimat PAS itu amat dirasai.

Selain itu, dalam satu laman Twitter yang dinamakan “premesh” berkata, Dr Lo’ Lo’ merupakan antara individu yang memainkan peranan besar untuk membolehkan wanita bertanding dalam pilihan raya mewakili PAS.

Allahyarhamah merupakan antara dua wakil rakyat daripada kalangan doktor, memenangi pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Namun bagi Pakatan Rakyat terutamanya PAS, pemergian Dr Lo’ Lo’ merupakan satu kehilangan besar sambil menyifatkan wakil rakyat penggal pertama itu sebagai “sebutir permata yang sangat bernilai dan tidak boleh diganti.”

Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Siti Zailah Mohd Yusof, Dr Lo’ Lo’ merupakan seorang individu yang tegas, tabah dan cekal dalam perjuangan terutamanya yang melibatkan kebajikan rakyat.

“Kematian beliau (Dr Lo’ Lo’) adalah satu kehilangan yang cukup besar kepada PAS terutamanya Dewan Muslimat kerana beliau diibaratkan sebagai permata yang cukup berharga dan seorang pejuang yang cukup tegas dan gigih.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga beliau dan juga kepada rakyat di (Parlimen) Titiwangsa kerana kehilangan pemimpin yang disegani,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian Dr Lo’ Lo’ di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat di sini.

Jenazah Dr Lo’ Lo’ terlebih dahulu disembahyangkan di Masjid Al-Akram dengan diimamkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Dr Lo’ Lo’, 54, telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang pada pukul 10.13 malam tadi kerana menghidap kanser.

Selain Hadi, pimpinan tertinggi PAS turut hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Dr Lo’ Lo’.

Jenazah Dr Lo’ Lo’ selamat dikebumikan kira-kira pukul 11.10 pagi tadi dengan ribuan orang hadir memberikan penghormatan terakhir.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ahli parlimen Pakatan Rakyat dan juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

“Sepanjang persahabatan saya, beliau adalah seorang pemimpin yang baik, tegas, berdisiplin dan sentiasa menghadapi cabaran dengan hati terbuka.

“Beliau adalah pemimpin yang sentiasa memperjuangkan hak rakyat, menjaga kebajikan rakyat... beliau juga ada berpesan supaya meneruskan mana-mana perjuangan yang belum selesai terutamanya isu Kampung Baru yang diperjuang beliau selama ini,” kata Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Exco kerajaan negeri Selangor yang juga exco Dewan Muslimat PAS Dr Halimah Ali berkata, Dr Lo’ Lo’ adalah seorang pemimpin yang teguh berpegang kepada prinsip perjuangan demi rakyat.

“Bagi saya beliau adalah seorang pemimpin yang berprinsip, beliau bukan pemimpin yang hanya tahu bercakap, tapi beliau adalah pemimpin yang bercakap atas dasar fakta dan apa yang beliau mahu katakan akan dikaji terlebih dahulu.

“Beliau bukan sahaja boleh diibaratkan sebagai sebutir permata tetapi seorang pejuang yang berilmu, apa yang beliau lakukan adalah demi rakyat bahkan semasa sakit pun beliau tetap gagahkan diri untuk bersama dengan rakyat,” katanya.

Allahyarhamah merupakan anak perempuan bekas mufti Perak, Datuk Mohd Ghazali Abdullah.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, pemergian Dr Lo’ Lo’ akan terus dikenang, bukan sahaja pengorbanannya, malah leterannya diibarat sebagai “seorang ibu” dalam menjalankan tugasnya akan terus dirindui.

“Bukan hanya penduduk Titiwangsa, ahli dan penyokong PAS dan gagasan Pakatan Rakyat yang terasa kehilangan satu permata, tetapi saya selaku sahabat ahli Parlimen, masih terasa kata-kata rangsangan, nasihat dan motivasi yang disampaikan arwah dalam bentuk leteran.

“Beliau tampil dalam memberi khidmatnya seperti seorang ibu kepada anak-anak (rakyat) dalam bentuk leteran kerana bagi saya leteran itu sangat bermakna untuk kita bekerja lebih kuat,” katanya.

Datuk Shahrizat Abdul Jalil turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ di Masjid Al-Akram, Datuk Keramat. — Foto oleh Choo Choy MayAhli jawatankuasa kerja pusat Dr Mujahid Yusof Rawa pula berkata jasa dan pengorbanan Dr Lo’ Lo’ akan terus dikenang.

“Ia adalah satu kehilangan besar dan jasa beliau kepada parti dan masyarakat akan terus dikenang, malah perjuangan beliau dalam isu tanah Kampung Baru akan terus kami perjuangkan,” katanya.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sumbangan Dr Lo’ Lo’ kepada parti dan rakyat akan terus diperjuangan parti Islam itu.

“Saya merasakan satu kehilangan besar kerana jasa dan perkhidmatan beliau, malah sumbangan beliau ini akan dikenang sepanjang zaman.

“Beliau seperti sebutir permata yang berharga, beliau juga seorang pemimpin yang tegas, berpegang kepada prinsip dan sentiasa kental dalam memperjuangkan nasib rakyat walaupun berada dalam keadaan tidak sihat,” katanya.

Dr Lo’ Lo’ aktif dalam Dewan Muslimat PAS tetapi sejak 8 Mac 2008, banyak menumpukan perhatiannya ke atas kawasan Parlimen Tititwangsa yang dimenanginya, dengan menewaskan calon BN, Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Menurut Ahli Parlimen Subang dari PKR Sivarasa Rasiah, beliau memahami penderitaan yang dihadapi Dr Lo’ Lo’ kerana turut menderita kanser lebih 10 tahun lalu.

“Bila saya mendapat tahu mengenai kematian beliau, saya rasa sangat sedih kerana saya dan beliau ada persamaan... saya juga pernah menderita kanser lebih 10 tahun lalu tapi kanser yang dihadapi beliau lebih teruk.

“Dr Lo’ Lo’ adalah seorang pemimpin yang dihormati di Parlimen, beliau bukan sahaja dihormati pimpinan Pakatan Rakyat tetapi Barisan Nasional (BN) juga,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata kematian Dr Lo’ Lo’ merupakan satu kehilangan besar kepada penduduk di Kampung Baru.

“Selama ini beliau memperjuangkan isu Kampung Baru dan ia satu kehilangan yang besar kepada kami.

“Beliau juga antara pemimpin yang langtang bersuara di Parlimen,” katanya.

TERKINI